Selasa, 31 Januari 2017

Tak mustahil mampu kalahkan JDT: Indra Putra

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
31 JANUARI 2017
Tak mustahil mampu kalahkan JDT: Indra Putra
Tak mustahil mampu kalahkan JDT: Indra Putra Indra Putra menerima tajaan berupa kasut jenama Nike disampaikan Mohd Rowi selepas sesi latihan Kelantan di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di Kota Bharu, semalam.
“TAK mustahil mampu kalahkan JDT” Itu komen Indra Putra Mahayuddin menjelang aksi berprofil tinggi Liga Super, Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.

Walaupun JDT dilabelkan pasukan  cukup sempurna semua posisi namun Indra Putra menegaskan, betapa Kelantan tidak akan merendah diri malah akan tampil semangat berpasukan tambahan pula beraksi di  depan penyokong sendiri.

Menurut pemain sayap The Red Warriors  (TRW) itu, semangat tersebut menjadi kekuatan skuad pantai timur itu yang berazam mahu meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan sejak musim lalu, di gelanggang keramat mereka nanti.  

“Ia perlawanan dinanti-nantikan, menentang JDT adalah ujian terpenting bagi semua pemain dalam memastikan Kelantan berada pada tahap mana dalam saingan liga musim ini.

“Kalau kita bermain lebih baik, tak mustahil boleh menewaskan JDT.  Namun apa yang penting, semangat berpasukan perlu dipamerkan, Sabtu ini,” katanya selepas menerima kasut jenama Nike disumbangkan Pengarah Urusan Glow Glowing, Datuk Mohd

Rowi Dollah selaku penaja bersama pasukan itu, semalam.

Jelas Indra Putra, kemenangan ke atas PKNS di Shah Alam, baru-baru ini, turut menjadi suntikan semangat bagi rakan sepasukannya untuk bertemu skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Sementara itu, Mohd Rowi memberitahu, Indra Putra pemain kedua selepas penyerang, Norfarhan Muhammad dan pihaknya bercadang meneruskan sumbangan kepada pemain pasukan itu sekurang-kurangnya, sebulan sekali.

“Kita serah kasut kepada Indra Putra dan minyak wangi untuk semua pemain dan pegawai sebagai semangat awal kepada mereka,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 31 JANUARI 2017

Ahad, 29 Januari 2017

Kita bergaya belasah Macau

ARKIB : 27/06/2000
MALAYSIA memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak Asia Bawah 19 Tahun dengan bergaya apabila menumpaskan Macau 10-0 pada perlawanan pembukaan di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketiadaan bintang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang tidak diturunkan kerana masalah berkenaan taraf kelayakannya, memberi peluang kepada dua penyerang utama, Rudie Ramli dan Azralan Azmi menonjolkan kehebatan, menjadi penyumbang gol terbanyak pasukan negara dengan masing-masing mengambil peluang atas kelemahan pertahanan lawan untuk mencipta jaringan hatrik.

Pemain dari Selangor, Rudie memulakan pesta gol Malaysia dengan jaringan sulung kejohanan ke-32 ini pada minit keempat sebelum dua gol lagi menyusul pada minit ke-10 dan 31.

Azralan pula menyusul dengan gol pada minit ke-18, 57 dan 61. Tiga gol lagi dihasilkan oleh Indra Putra Mahayuddin, Muhammad Juzaili Samion dan Mohamad Fadzli Shaari masing-masing pada minit ke-62, 64 dan 90.

Skuad negara nyata terlalu kuat untuk disaingi oleh para pemain Macau yang kurang cergas dan kemahiran individu, menyaksikan penjaga gol Malaysia, Mohd. Syamsuri Mustafa langsung tidak diuji.

Malah, anak buah Allan Harris sepatutnya menang dengan jumlah gol lebih besar, tetapi sikap terlalu yakin menyaksikan banyak percubaan mereka ke arah gol dilakukan secara sambil lewa sehingga melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

''Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan kita, kita menang 10-0 dan ia adalah permulaan yang cukup baik.

''Walaupun pemain banyak membuat kesilapan, tetapi saya masih gembira dengan persembahan mereka,'' kata Harris selepas perlawanan.

Mengenai nasib malang Akmal yang tidak dapat diturunkan, jurulatih dari England itu berkata, beliau amat kesal kerana pemain yang berbakat sepertinya dan telah berusaha keras menjalani latihan tidak dapat bermain.

''Saya fikir apabila kita ada seorang pemain yang bagus, kenapa pula dia tidak dapat diturunkan. Akmal masih di bawah umur dan dia cukup berbakat dan sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk kejohanan ini,'' kata beliau.

Akmal tidak dapat diturunkan kerana pemain itu pernah beraksi dalam kejohanan bawah 23 tahun dan mengikut kebiasaan, pemain yang pernah beraksi pada kejohanan bertaraf lebih tinggi tidak dibenarkan oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) menyertai pertandingan lebih rendah.

Keputusan mengenai Akmal diterima oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan kelmarin.

Harris bagaimanapun tidak mahu pasukannya terganggu dengan masalah itu dan menurutnya mereka akan bersedia untuk perlawanan kedua, menentang Singapura esok.

A. JAILANI ABDULLAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4XDJPdhSb © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 28 Januari 2017

FAM: Indra Putra tidak akan didakwa

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
8 Oktober 2013
indra
indra
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin mampu menarik nafas lega apabila beliau tidak akan dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan insiden menyiku penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Indra Putra tidak akan didakwa apabila tiada laporan yang diterima pihaknya daripada pegawai perlawanan mengenai insiden tersebut.

"Laporan mengenai perlawanan tersebut saya sudah terima semalam (Isnin) tetapi laporan untuk insiden itu tiada.

"Malah laporan dari kedua-dua pasukan juga tidak diterima, jadi setakat ini tiada apa tindakan yang akan diambil kepada Indra Putra.

"Bagaimanapun, sekiranya ada laporan selepas ini kita akan melihat berdasarkan peraturan yang ada kerana kita perlu adil kepada kedua-dua pihak. Namun setakat ini tiada kes atau laporan," katanya selepas sidang media mengenai Persiapan Harimau Muda A ke Sukan Sea di Wisma FAM, hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini melaporkan Indra Putra bakal berdepan tindakan FAM selepas dia didakwa menyiku Norshahrul ketika pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV.

Ekoran insiden itu, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu mengalami kecederaan hidung dan terpaksa mendapatkan rawatan susulan.

Malah difahamkan kecederaan yang menimpa Norshahrul mungkin lebih serius daripada yang dijangka selepas dia difahamkan tidak berlepas ke Shenzhen, China bersama Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu.

Bagaimanapun, penyerang Kelantan itu menafikan dia sengaja menyiku muka Norshahrul mahupun menyimpan niat jahat untuk mencederakan bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu.

Indra Putra berkata, sebagai pemain profesional, dia menghormati peraturan bola sepak negara dan sedar sebarang kekasaran yang dilakukan secara sengaja boleh mengundang padah.

RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE 8.10.13

Indra anggap ugutan hanya gurauan

Indra Putra (kanan) menasihati peminat-peminat agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial facebook kerana ia boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.
KUALA LUMPUR - Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menegaskan, dia tidak mahu ambil kisah dengan ugutan bunuh seperti dalam akaun seorang individu dalam laman facebook, malah menganggap apa yang diperkatakan itu tidak lebih daripada sekadar gurauan semata-mata.
Walaupun tidak akan membuat laporan polis, Indra pada masa yang sama menasihatkan kepada para peminat supaya berhati-hati jika mahu mengeluarkan sebarang kenyataan dalam laman sosial kerana ia boleh mengundang rasa permusuhan dan pelbagai persepsi negatif.
Tambahnya, persaingan dalam bola sepak adalah sesuatu yang normal, namun tidak wajar ia dicemari dengan perkara-perkara sedemikian yang boleh merosakkan kemeriahan sukan nombor satu negara.
“Secara jujur, saya tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana kata-katanya mungkin berbentuk gurauan cuma saya nasihatkan kepada para peminat tidak perlu berasa obses sehingga menjadikan facebook sebagai medan melepaskan rasa geram.
“Bagi saya, mengeluarkan kenyataan sehingga ada motif mahu bunuh itu memang tidak patut serta gurauan yang tidak kena tempat kerana mungkin pada pandangan orang lain, ia boleh disalah erti," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kebanyakan media laman sosial di facebook sedikit kecoh dalam masa beberapa hari ini apabila seorang peminat bola sepak mengeluarkan ugutan mahu membunuh dan bersedia mengupah mana-mana individu yang berminat.
Semuanya gara-gara insiden Indra yang turut menjaringkan salah satu gol ketika menang besar 6-1 ke atas Johor DT di Stadium Sultan Muhammad IV, telah menyiku Norshahrul Idlan Talaha sehingga hidungnya mendapat luka.
Menjelaskan isunya dengan Norshahrul, Indra mengakui dia tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan benci kepada bekas rakan sepasukannya di Kelantan itu sambil menjelaskan ia bukan disengajakan.
“Sebenarnya saya tidak sengaja menyiku dia kerana semuanya berlaku dengan pantas semasa di dalam padang ketika perebutan bola yang berada dalam kedudukan 50-50.
“Di luar padang, kami tetap berkawan seperti biasa jadi peminat harus faham atas dasar semangat kesukanan dan bukannya mengeluarkan sebarang kenyataan emosi semata-mata," katanya.
Mengulas isu berkenaan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya bersedia membuka siasatan jika mendapat laporan daripada mana-mana pihak.
“Laporan daripada pegawai perlawanan kami telah terima cuma perkara itu (Norshahrul disiku) tidak disentuh dalam laporan itu jadi tiada kes mengenai isu terbabit setakat ini.
“Namun, jika ada mana-mana pihak mengemukakan aduan, FAM sedia mempertimbangkan siasatan dan kes ini boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_03/Indra-anggap-ugutan-hanya-gurauan#ixzz2hDVgV2pd

© Utusan Melayu (M) Bhd