Sabtu, 28 Januari 2017

Indra anggap ugutan hanya gurauan

Indra Putra (kanan) menasihati peminat-peminat agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial facebook kerana ia boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.
KUALA LUMPUR - Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menegaskan, dia tidak mahu ambil kisah dengan ugutan bunuh seperti dalam akaun seorang individu dalam laman facebook, malah menganggap apa yang diperkatakan itu tidak lebih daripada sekadar gurauan semata-mata.
Walaupun tidak akan membuat laporan polis, Indra pada masa yang sama menasihatkan kepada para peminat supaya berhati-hati jika mahu mengeluarkan sebarang kenyataan dalam laman sosial kerana ia boleh mengundang rasa permusuhan dan pelbagai persepsi negatif.
Tambahnya, persaingan dalam bola sepak adalah sesuatu yang normal, namun tidak wajar ia dicemari dengan perkara-perkara sedemikian yang boleh merosakkan kemeriahan sukan nombor satu negara.
“Secara jujur, saya tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana kata-katanya mungkin berbentuk gurauan cuma saya nasihatkan kepada para peminat tidak perlu berasa obses sehingga menjadikan facebook sebagai medan melepaskan rasa geram.
“Bagi saya, mengeluarkan kenyataan sehingga ada motif mahu bunuh itu memang tidak patut serta gurauan yang tidak kena tempat kerana mungkin pada pandangan orang lain, ia boleh disalah erti," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kebanyakan media laman sosial di facebook sedikit kecoh dalam masa beberapa hari ini apabila seorang peminat bola sepak mengeluarkan ugutan mahu membunuh dan bersedia mengupah mana-mana individu yang berminat.
Semuanya gara-gara insiden Indra yang turut menjaringkan salah satu gol ketika menang besar 6-1 ke atas Johor DT di Stadium Sultan Muhammad IV, telah menyiku Norshahrul Idlan Talaha sehingga hidungnya mendapat luka.
Menjelaskan isunya dengan Norshahrul, Indra mengakui dia tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan benci kepada bekas rakan sepasukannya di Kelantan itu sambil menjelaskan ia bukan disengajakan.
“Sebenarnya saya tidak sengaja menyiku dia kerana semuanya berlaku dengan pantas semasa di dalam padang ketika perebutan bola yang berada dalam kedudukan 50-50.
“Di luar padang, kami tetap berkawan seperti biasa jadi peminat harus faham atas dasar semangat kesukanan dan bukannya mengeluarkan sebarang kenyataan emosi semata-mata," katanya.
Mengulas isu berkenaan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya bersedia membuka siasatan jika mendapat laporan daripada mana-mana pihak.
“Laporan daripada pegawai perlawanan kami telah terima cuma perkara itu (Norshahrul disiku) tidak disentuh dalam laporan itu jadi tiada kes mengenai isu terbabit setakat ini.
“Namun, jika ada mana-mana pihak mengemukakan aduan, FAM sedia mempertimbangkan siasatan dan kes ini boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_03/Indra-anggap-ugutan-hanya-gurauan#ixzz2hDVgV2pd

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan