Khamis, 30 Mac 2017

Gol Indra Putra letak Perak di puncak liga



ARKIB : 09/04/2003
PERAK kembali merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Walaupun permainan tergendala kira-kira 45 minit akibat lampu limpah tidak menyala tetapi semangat pemain tuan rumah berjaya menyemarakkan nyalaan kemenangan sebaik permainan dimulakan pada pukul 9.30 malam ketika pencabar terdekat mereka, Perlis tumpas.

`Pengantin baru', Indra Putra Mahayuddin muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 ketika gol awal Flavio Rocha Galvao (m19) dan gol penyamaan Jonathan Ben Angelucci (m74) mengikat kedudukan 1-1.

Perlis pula perlu menyalahkan diri sendiri selepas tewas 0-1 kepada jirannya, Kedah di Stadium Utama, Kangar angkara kad merah yang diterima pemainnya, Adrian Jurad Chamrong pada minit ke-67.

Ini sekaligus membolehkan Kedah mengambil kesempatan daripada kepincangan 10 pemain Perlis untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi Zainuddin Ariffin pada minit ke-87.

Pahang turut mengambil kesempatan daripada kekalahan Perlis itu untuk merapatkan jurang perbezaan mata dalam kedudukan liga selepas menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pahang yang kini hanya dipisahkan satu mata daripada Perlis memperolehi gol menerusi Christano Da Silva (m50) dan Fadzli Shaari (m58) manakala gol tunggal Selangor dijaringkan Mass Sarr Jr. (m65).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tuan rumah mencatat kemenangan ketiga mereka musim ini selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0.

Gol tunggal Sabah itu dijaringkan K. Sanbagamaran pada minit ke- 78 selepas menerima umpanan menerusi sepakan sudut Asmawi Bakiri.

Dalam persaingan dua pasukan terbawa Liga Perdana Satu, Terengganu terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Melaka di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah bagaimanapun mendahului pada minit ke-47 menerusi Tengku Md. Adam Rosli sebelum Melaka membalas dua gol menerusi Halim Jantan (m80) dan Md. Sufian Samsubari (m90).

Satu-satunya perlawanan yang mencatat keputusan seri semalam ialah pertemuan Telekom Melaka dan Kelantan yang terikat 1-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi Khairu Zal Azmi Zahimuddin pada minit ke-23 sebelum Nazzab Hidzan menyamakan kedudukan pada minit ke-44.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cpGpgVOX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Mac 2017

Indra, Akmal popular di Jakarta



ARKIB : 27/12/2002
JAKARTA - Dua pemain Malaysia, Indra Putra Mahayuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini amat popular di Indonesia selepas menunjukkan persembahan yang memberangsangkan di Singapura.

Akmal bersama Indra telah menjaringkan sejumlah lima gol daripada lapan gol yang diperoleh oleh skuad negara dalam tiga perlawanan ketika kempen peringkat Kumpulan B di Singapura.

Kepantasan Akmal membuat larian dan menggelecek telah menjadikan dia pemain yang sentiasa menyukarkan pasukan lawan.

Dan, sokongan yang diterimanya daripada Indra telah menambah tekanan kepada pemain-pemain pertahanan pasukan lawan.

Indra, yang membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 2001, telah semakin meningkat sejak berada di bawah bimbingan jurulatih Allan Harris.

Jurulatih skuad negara ke Piala Dunia Belia, Hatem Soussi pernah berkata bahawa Akmal akan muncul sebagai pemain yang hebat.

Ulasan Hatem itu diucapkannya pada 1999 dan kini, apa yang difikirkannya telah menjadi kenyataan.

Akmal membuktikan bakatnya ketika menimba pengalaman di Perancis dengan kelab FC Strasbourg bersama seorang lagi bakat muda, Juzaili Samion.

Tahun lepas, Akmal telah membuktikan kehebatannya kepada Indonesia ketika membantu skuad negara menewaskan pasukan bawah 23 negara itu pada separuh akhir bola sepak Sukan SEA.

Dengan Akmal dan Indra berada pada tahap terbaik, pasukan Indonesia bakal menghadapi kemungkinan serupa. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cQ8ARKDF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 24 Mac 2017

Perak makin kukuh



ARKIB : 12/08/2002
PEMAIN kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menjaringkan dua gol untuk membantu Perak menundukkan juara Perdana Dua, Kedah 2-1 pada perlawanan tunggal Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak di tangga teratas Kumpulan D dengan sembilan mata selepas menamatkan pusingan pertama.

Kedah seperti berupaya untuk sekurang-kurangnya mencipta keputusan seri, namun Indra Putra jelas terlalu licik untuk dikekang.

Pemain sayap kiri itu meletakkan pasukannyadi depan seawal minit kesembilan selepas mendapat hantaran daripada tengah padang.

Bagaimanapun, keghairahan mengatur gerakan ke kubu lawan membuatkan Perak sedikit alpa di bahagian bawah ketika babak pertama sudah menuju penghujung.

Kesempatan itu dipergunakan dengan baik oleh skuad Kenari untuk menghasilkan gol penyamaan apabila penyerang, Che Hishamuddin Hassan menolak bola ke depan gol lawan untuk mencipta suasana kelam-kabut.

Pemain import Kedah, Matar Diop hadir tepat pada masanya untuk menolak bola masuk pada minit ke-45.

Kedah tampak bersemangat apabila memulakan babak kedua tetapi Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd. Rafdi Rashid yang diturunkan semula selepas lama berehat jelas belum cukup lincah untuk mengasak pertahanan lawan.

Sebaliknya, Indra Putra yang lebih menyerlah apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-73.

Gol berpunca daripada salah faham Mazlan yang menyangka pengadil akan memberikan sepakan percuma kepada Perak selepas Indra Putra dijatuhkan di luar kotak penalti.

Namun, pengadil meneruskan permainan dan Indra Putra bangkit serta mengejar bola sebelum menyepak masuk ke dalam gawang sementara Mazlan hanya mampu melihat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cFbHXzA8
© Utusan Melayu (M) Bhd