Khamis, 30 Mac 2017

Gol Indra Putra letak Perak di puncak liga



ARKIB : 09/04/2003
PERAK kembali merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Walaupun permainan tergendala kira-kira 45 minit akibat lampu limpah tidak menyala tetapi semangat pemain tuan rumah berjaya menyemarakkan nyalaan kemenangan sebaik permainan dimulakan pada pukul 9.30 malam ketika pencabar terdekat mereka, Perlis tumpas.

`Pengantin baru', Indra Putra Mahayuddin muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 ketika gol awal Flavio Rocha Galvao (m19) dan gol penyamaan Jonathan Ben Angelucci (m74) mengikat kedudukan 1-1.

Perlis pula perlu menyalahkan diri sendiri selepas tewas 0-1 kepada jirannya, Kedah di Stadium Utama, Kangar angkara kad merah yang diterima pemainnya, Adrian Jurad Chamrong pada minit ke-67.

Ini sekaligus membolehkan Kedah mengambil kesempatan daripada kepincangan 10 pemain Perlis untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi Zainuddin Ariffin pada minit ke-87.

Pahang turut mengambil kesempatan daripada kekalahan Perlis itu untuk merapatkan jurang perbezaan mata dalam kedudukan liga selepas menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pahang yang kini hanya dipisahkan satu mata daripada Perlis memperolehi gol menerusi Christano Da Silva (m50) dan Fadzli Shaari (m58) manakala gol tunggal Selangor dijaringkan Mass Sarr Jr. (m65).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tuan rumah mencatat kemenangan ketiga mereka musim ini selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0.

Gol tunggal Sabah itu dijaringkan K. Sanbagamaran pada minit ke- 78 selepas menerima umpanan menerusi sepakan sudut Asmawi Bakiri.

Dalam persaingan dua pasukan terbawa Liga Perdana Satu, Terengganu terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Melaka di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah bagaimanapun mendahului pada minit ke-47 menerusi Tengku Md. Adam Rosli sebelum Melaka membalas dua gol menerusi Halim Jantan (m80) dan Md. Sufian Samsubari (m90).

Satu-satunya perlawanan yang mencatat keputusan seri semalam ialah pertemuan Telekom Melaka dan Kelantan yang terikat 1-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi Khairu Zal Azmi Zahimuddin pada minit ke-23 sebelum Nazzab Hidzan menyamakan kedudukan pada minit ke-44.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cpGpgVOX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan