Sabtu, 29 April 2017

Kebangkitan dari utara

ARKIB : 07/10/2004

Pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin (tengah) meraikan gol pertama yang dijaringkannya ketika bertemu Selangor dalam perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam semalam. Pahang menang 2-0 untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1. - Gambar Abd. Rahman Saleh.



KEDAH menamatkan kemaraan pasukan kelab apabila menundukkan Public Bank 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.
Kemenangan itu membolehkan Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2, dan akan bertemu Perlis yang menumpaskan Negeri Sembilan 5-4 menerusi sepakan penalti.
Marcos Magno menyemarakkan perjuangan skuad Kenari apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 dan kemudian Cristiano Selbach meletakkan namanya dalam senarai penjaring hanya lima minit selepas babak kedua bermula, sekali gus menyamakan kedudukan agregat.
Ketika Public Bank kelihatan lebih rela menentukan keputusan pada masa tambahan, Magno memusnahkan hajat mereka apabila percubaannya menerjah ke dalam gawang sembilan minit sebelum wisel penamat dibunyikan.
Perlis, yang kalah 3-2 pada perlawanan pertama menyamakan agregat menerusi Yusri Che Lah pada minit ke-79 di Stadium Utama, Kangar. Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Penentuan penalti selepas itu menyaksikan Effandi Malek gagal menyempurnakan sepakan penalti kelima untuk Perlis menang 5-4.
Sementara itu juara Liga Super 2004, Pahang mengesahkan kemaraan apabila menjinakkan Selangor dengan kemenangan mudah 2-0 di Stadium Shah Alam.
Dua penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar muncul wira Pahang dengan masing-masing mencipta jaringan pada minit ke-26 dan 59.
Kemenangan itu mengesahkan kemaraan Pahang ke peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 selepas terikat dengan kedudukan 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Darulmakmur Sabtu lalu.
Pahang akan bertemu naib juara 2002-2004, Sabah yang meleburkan impian Pulau Pinang apabila menang 2-1 dalam permainan yang disulami aksi kasar di Stadium Bandaraya, untuk mara dengan agregat 3-1.
Skuad Harimau Kumbang yang ketinggalan satu jaringan pada perlawanan pertama di Stadium Likas pada Sabtu lalu memulakan permainan dengan agresif.
Sabah menyusun semula rangkaian serangan selepas rehat setelah dilihat tidak bermaya pada babak pertama dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-61 menerusi Zaykiel Leong.
Tersentak dengan jaringan itu, Pulau Pinang melakukan serangan pantas sehingga memaksa pemain Sabah mengasari M. Nagaraja dalam kotak penalti. Marcio Barreto yang diberi tanggungjawab mudah menewaskan Khairul Azman.
Pada minit ke-77, Andre Reinaldo Esposito menghapuskan semangat juang Pulau Pinang apabila menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Ahad, 16 April 2017

Malaysia kecundang

 
 PEMAIN Korea Selatan, Kim Do-heon cuba menyekat kemaraan pemain Malaysia, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dalam saingan Kumpulan A bola sepak kelayakan Sukan Olimpik Zon Asia di Stadium Petaling Jaya, semalam. Malaysia tewas 0-1. - Gambar ASWAD YAHYA.
BEKAS musuh tradisi, Korea Selatan terus mengukuhkan tempatnya di tangga teratas dalam kedudukan Kumpulan A bola sepak kelayakan Olimpik apabila menewaskan Malaysia 1-0 hasil sepakan penalti Cho Jae-jin pada minit ke-43, di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.
Jae-jin kemudian terpaksa melangkah keluar pada pada masa kecederaan setelah dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil, Ala Abdul Kadir Nema dari Iraq kerana cuba melambat-lambatkan permainan. Kekalahan tipis itu bagaimanapun telah membuktikan bahawa bola sepak Malaysia mampu berdepan dengan pasukan handalan walaupun terdapat kelemahan khususnya kegopohan pemain ketika mengawal bola.
Korea Selatan yang merupakan musuh tradisi Malaysia suatu ketika dulu, kelihatan masih dibayangi oleh kehebatan masa lampau bola sepak negara di zaman Mokhtar Dahari apatah lagi lawan mereka kali ini mencipta keputusan luar jangka apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan China sekali pun sebelum itu tunduk 4-1 kepada Iran.
Namun, permainan Korea Selatan agak hambar pada awal permainan setelah menyaksikan kesungguhan dan kemampuan anak-anak buah Allan Harris memberikan saingan serta sokongan padu kira-kira 14,000 penyokong tempatan.
Ini membuka ruang buat Akmal Rizal Rakhli dan rakan-rakan membuat gerakan yang sekali-sekala meresahkan kira-kira 1,500 penyokong setia Korea Selatan yang tidak henti-henti bersorak. Korea Selatan yang dijangka mudah meratah Malaysia setelah menundukkan pasukan pilihan utama Iran, dan China dengan keputusan 1-0, gagal mempamerkan permainan hebat seperti ramalan awal.
Malah mereka nyaris menerima padah apabila tandukan ketua pasukan, Akmal Rizal tinggi melepasi palang ketika permainan baru berusia tujuh minit, yang juga peluang terbaik skuad negara untuk mencipta gol pendahuluan.
Serangan sekali sekala pasukan Korea Selatan bagaimanapun membuahkan hasil ketika babak pertama berbaki dua minit apabila pemain tengah dari Terengganu, Mohd. Norhisham Hassan menjatuhkan Choi Sung-uk di dalam kawasan penalti.
Cho Jae-jin yang mengambil tanggungjawab membuat sepakan tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Mohamad Syamsuri Mustafa dengan rembatan kencang ke penjuru kanan gol.
Malaysia berusaha bangkit selepas rehat tetapi sering kehilangan bola.
Percubaan terbaik skuad negara pada babak kedua dilakukan oleh K. Rajan pada minit ke-70 apabila sepakan percumanya terpaksa ditepis oleh penjaga gol, Kim Young-kwang dan kemudian menangkap kemas satu lagi sepakan percuma pemain pertahanan itu pada minit ke-89.
MALAYSIA - Mohd. Syamsuri Mustafa, M. Ravinthiran, Norhafiz Zamani Misbah, Fadzli Saari, Irwan Fadzli Idrus, K. Rajan, Indra Putra Mahayuddin (Mohd. Safee Sali), Akmal Rizal Rakhli, R. Surendran, Mohd. Norhisham Hassan (Tengku Alias Tengku Ibrahim), Yosri Derma Raju (Rezuan Radzy)
KOREA SELATAN - Kim Young-kwang, Cho Byung-kuk, Kim Chi-gon, Park Yong-ho, Kim Do-heon, Choi Sung-uk, Choi Won-kwon, Kim Dong-jin, Kim Jung-woo (Oh Seun-bum), Choi Tae-uk (Kim Dong-hun), Cho Jae-jin

Jumaat, 14 April 2017

Malaysia bukan tandingan Iran

 
PEMAIN Malaysia, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dibentes oleh pemain Iran, Kabei Hossein dalam perlawanan bola sepak kelayakan Kumpulan A Sukan Olimpik, di Kelana Jaya, semalam. Iran menang 4-1.
MALAYSIA jelas bukan tandingan Iran dalam aksi bola sepak kelayakan Kumpulan A Sukan Olimpik apabila tunduk mudah 4-1 dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, semalam.
Biarpun menggamatkan kira-kira 10,000 penyokong sendiri apabila Mohd. Fadzli Saari membuka jaringan pada minit ke-34, skuad juara Sukan Asia mudah membalas dengan empat gol dengan dua gol dihasilkan pada baki lima minit babak pertama dan dua lagi menyusul pada separuh masa kedua.
Arash Borhani menyamakan kedudukan pada minit ke-41 dan Mehrzad meletakkan Iran di depan sebelum waktu rehat dua minit kemudian. Pemain tengah berbahaya Iran, Iman Mobali menambah dua gol pasukannya pada minit ke-58 dan sepakan penalti minit ke-70. Begitupun, skuad negara bimbingan Allan Harris agak garang pada awal permainan.
Fadzli hampir memberikan gol pendahuluan pada minit kesembilan apabila menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin tetapi percubaan pemain itu tersasar walaupun penjaga gol Iran, Seyed Mahdi Rahmati tidak berada pada posisi yang betul.
Bagaimanapun, Fadzli akhirnya menemui sentuhan yang dicari-cari pada minit ke-34 menerusi satu lagi sepakan percuma. Sepakan Indra ke gawang ditanduk rendah oleh Akmal ke sebelah kiri gawang Iran tetapi Seyed sempat melayangkan badan menguis bola yang mengenai tiang gol. Namun, bola yang melantun kembali ke tengah disambar oleh Fadzli yang mudah menolak masuk untuk menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong tuan rumah.
Iran yang membariskan sekurang-kurangnya enam pemain yang menjuarai Sukan Asia dua tahun lalu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan yang diperoleh pada minitke-41. Mehrzad mengambil peluang daripada keadaan kelam kabut dalam kubu Malaysia dengan merembat kencang yang ditampan Syamsuri tetapi benteng negara gagal mengekang sepakan susulan Arash yang terus menyepak masuk bola muntah.
Gol kedua Iran menyusul dua minit kemudian menerusi tandukan mudah Mehrzad yang langsung tidak dikawal hasil sepakan sudut yang diambil ketua pasukan, Javad Kazemeyan.
Barisan serangan Iran mula mempamerkan mutu aksi sebenar pasukan dari negara Arab itu pada babak kedua yang menambah dua lagi gol. Sepakan terus dari luar kotak penalti dari jarak 30 meter oleh Iman terkena badan Aziz Ismail yang gagal diselamatkan Syamsuri untuk gol ketiga Iran pada minit ke-58.
Iman menambah derita skuad negara dengan gol keempat pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti selepas Arash dikasari.
Skuad negara berusaha merapatkan jaringan tetapi Akmal dan Safee Sali yang masuk menggantikan Surendran gagal melepasi benteng kebal Iran.
MALAYSIA Mohd. Syamsuri Mustafa, Abd. Aziz Ismail, Irwan Fadzli Idrus, Ronny Harun, M. Ravinthiran, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Saari, Horhisham Hassan (Fauzi Saari), K. Rajan, R. Surendran (Mohd. Safee Sali), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
IRAN Seyed Mahdi Rahmati, Jalal Kameli (Morteza Ebrahimi), Morteza Kashi, Mohamad Nosrati, Ali Badavi, Mehrzad Madanchi, Hossein Kobei, Morteza Iazadi, Iman Mobali (Moharram Navidkia), Arash Borhani, Javad Kazemeyan (Seyed Rasool).

Sabtu, 8 April 2017

Indera tetap pilih sarung jersi Pahang



ARKIB : 05/11/2003

PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin tetap menyarung jersi Pahang dalam Liga Super musim depan walaupun Perak berusaha memujuknya untuk terus kekal dengan skuad Seladang bagi tempoh semusim lagi, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, beliau telah berusaha memujuknya tetapi tawaran lumayan daripada Pahang menyebabkan pemain itu sukar menolaknya.

``Saya sudah berusaha memujuknya kerana tidak mahu kehilangan pemain yang berbisa itu tetapi Indera sudah membuat kata putus untuk tetap ke sana,'' jelas Jamal Nasir ketika dihubungi di Hanoi, semalam.

Pengurus pasukan itu bersama-sama skuad Perak berada di Hanoi bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak Jemputan Veitnam yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Vietnam yang bermula Sabtu lalu.

``Kita tidak akan menahan mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke negeri lain jika hati mereka sudah tidak berminat lagi membantu Perak,'' tambah Jamal Nasir.

``Jika kita terus menghalang sudah pasti mereka tidak akan memberi komitmen sepenuhnya kepada skuad Seladang ,'' katanya.

Selain Indera, Jamal Nasir mengesahkan bahawa penjaga gol utamanya, Hamsani Ahmad akan berpindah ke Negeri Sembilan sementara pemain tengah, Yusri Che Lah akan menyarung jersi Perlis musim depan.

Ketiga-tiga pemain itu merupakan tulang belakang skuad Seladang yang mana mereka banyak membantu pasukan itu mengekalkan kejuaraan liga Perdana Satu untuk tempoh dua musim berturut-turut.

``Perpindahan pemain merupakan perkara biasa. Pasukan kami juga menerima kehadiran pemain-pemain dari negeri lain yang mahu berhijrah ke sini,'' jelas Jamal Nasir.

Beliau memberitahu, skuad Seladang sedang mencari pengganti untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh pemain-pemain berkenaan tetapi tidak akan membuat tawaran yang lumayan seperti mana pasukan lain.

``Perak hanya menawarkan gaji mengikut kemampuan kerana tidak mahu terheret dalam perlumbaan tawaran gaji puluhan ribu seperti pasukan-pasukan lain,'' ujarnya.

Mengenai kejohanan di Hanoi, Jamal Nasir memberitahu skuad Seladang terpaksa tunduk kepada kehandalan pasukan tuan rumah, Song Lan Nge An 4-2.

Beliau berkata, perlawanan itu berlangsung selepas 20 minit para pemain Perak berbuka puasa menyebabkan mereka gagal memberi tumpuan yang mantap.

``Skuad Seladang akan menentang pasukan Polis Vietnam dalam perlawanan keduanya esok (hari ini) juga selepas 20 minit berbuka puasa,''jelas Jamal Nasir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4deYgTV3U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 7 April 2017

Perak lega kehadiran Indra, Nantha Kumar



ARKIB : 25/09/2003

KEHADIRAN semula pemain kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin dan K. Nantha Kumar dalam kem Perak memudahkan jurulatih Toni Netto mengatur strategi berkesan bagi menghadapi Sabah pada pertemuan kedua separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Ipoh, Sabtu ini.

Netto jelas begitu lega dengan kehadiran lebih awal kedua-dua pemain tersebut yang sebelum ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Indonesia dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur, esok.

``Saya agak gusar apabila kedua-dua pemain berkenaan dikatakan hanya akan bersama-sama pemain-pemain Perak yang lain pada awal pagi Sabtu ini.

``Tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melepaskan mereka lebih awal dan ia merupakan berita yang menggembirakan,'' jelas Netto di Ipoh semalam.

Kedua-dua pemain tersebut menjalani latihan dengan pemain-pemain lain di Ipoh semalam tetapi Nantha Kumar hanya melakukan latihan ringan kerana masih mengalami kecederaan di lutut kanannya.

``Saya perlukan Indera Putra dan Nantha Kumar lebih awal kerana penyusunan sesuatu strategi itu perlu mengambil masa beberapa hari bagi menjadikannya lebih berkesan,'' tegasnya.

Jurulatih dari Brazil itu memerlukan khidmat Indera bagi menambah sengat barisan serangan yang dibarisi oleh Bhaichung Bhutia dan Frank Seator.

Nantha Kumar pula akan digandingkan dengan Yusri Che Lah dan Ahmad shahrul Azhar bagi menggerakkan serangan di bahagian tengah.

``Saya suka corak permainan Indera Putra yang mirip pemain Brazil, Cafu. Dia mampu menggelecek beberapa pemain lawan bagi mencipta peluang gol.''

Mengenai kecederaan Shahrul, Nantha dan Seator, jurulatih itu berkata ketiga-tiga pemain itu hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu beraksi Sabtu ini.

``Saya meminta mereka menjalani latihan ringan dan mengikuti arahan tertentu sebagai perancangan strategi agar mereka memahami kehendak saya kelak,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir berkata, kawalan ketat akan dilakukan pada hari perlawanan supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, pihak polis akan meletakkan 350 orang anggotanya di dalam stadium, tidak termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain itu, seramai 50 orang pegawai keselamatan Persatuan Bolasepak Perak (PFA) turut terlibat.

``Pihak polis akan mengadakan pemeriksaan rapi ke atas orang ramai di pintu masuk stadium ini supaya mereka tidak membawa masuk barang-barang yang dilarang terutama mercun,'' kata Jamal.

``Berdasarkan pengalaman lalu, pihak polis merampas mercun dalam jumlah yang banyak daripada penonton yang masuk ke stadium itu semasa perlawanan akhir Piala FA antara Negeri Sembilan dengan Perlis, Mei lalu,''katanya.

Jamal Nasir memberitahu, tiket-tiket perlawanan akan mula dijual di Stadium Perak mulai pukul 3 petang esok.

Katanya, PFA hanya akan menjual 30,000 tiket termasuk 500 keping untuk grand stand yang berharga RM10 dan RM20 walaupun stadium berkenaan boleh memuatkan 32,000 orang penonton.

Sebelum ini, lebih 30,000 orang penonton telah menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dengan Sarawak di Ipoh, yang merupakan jumlah penonton terbanyak tahun ini.

PFA memperoleh kutipan tiket sebanyak RM212,000 bagi perlawanan tersebut dan RM207,000 turut dipungut dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Satu antara Perak dengan Melaka yang merupakan jumlah kedua terbanyak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4da0wL5WY
© Utusan Melayu (M) Bhd