Sabtu, 8 April 2017

Indera tetap pilih sarung jersi Pahang



ARKIB : 05/11/2003

PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin tetap menyarung jersi Pahang dalam Liga Super musim depan walaupun Perak berusaha memujuknya untuk terus kekal dengan skuad Seladang bagi tempoh semusim lagi, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, beliau telah berusaha memujuknya tetapi tawaran lumayan daripada Pahang menyebabkan pemain itu sukar menolaknya.

``Saya sudah berusaha memujuknya kerana tidak mahu kehilangan pemain yang berbisa itu tetapi Indera sudah membuat kata putus untuk tetap ke sana,'' jelas Jamal Nasir ketika dihubungi di Hanoi, semalam.

Pengurus pasukan itu bersama-sama skuad Perak berada di Hanoi bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak Jemputan Veitnam yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Vietnam yang bermula Sabtu lalu.

``Kita tidak akan menahan mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke negeri lain jika hati mereka sudah tidak berminat lagi membantu Perak,'' tambah Jamal Nasir.

``Jika kita terus menghalang sudah pasti mereka tidak akan memberi komitmen sepenuhnya kepada skuad Seladang ,'' katanya.

Selain Indera, Jamal Nasir mengesahkan bahawa penjaga gol utamanya, Hamsani Ahmad akan berpindah ke Negeri Sembilan sementara pemain tengah, Yusri Che Lah akan menyarung jersi Perlis musim depan.

Ketiga-tiga pemain itu merupakan tulang belakang skuad Seladang yang mana mereka banyak membantu pasukan itu mengekalkan kejuaraan liga Perdana Satu untuk tempoh dua musim berturut-turut.

``Perpindahan pemain merupakan perkara biasa. Pasukan kami juga menerima kehadiran pemain-pemain dari negeri lain yang mahu berhijrah ke sini,'' jelas Jamal Nasir.

Beliau memberitahu, skuad Seladang sedang mencari pengganti untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh pemain-pemain berkenaan tetapi tidak akan membuat tawaran yang lumayan seperti mana pasukan lain.

``Perak hanya menawarkan gaji mengikut kemampuan kerana tidak mahu terheret dalam perlumbaan tawaran gaji puluhan ribu seperti pasukan-pasukan lain,'' ujarnya.

Mengenai kejohanan di Hanoi, Jamal Nasir memberitahu skuad Seladang terpaksa tunduk kepada kehandalan pasukan tuan rumah, Song Lan Nge An 4-2.

Beliau berkata, perlawanan itu berlangsung selepas 20 minit para pemain Perak berbuka puasa menyebabkan mereka gagal memberi tumpuan yang mantap.

``Skuad Seladang akan menentang pasukan Polis Vietnam dalam perlawanan keduanya esok (hari ini) juga selepas 20 minit berbuka puasa,''jelas Jamal Nasir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4deYgTV3U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan