Jumaat, 7 April 2017

Perak lega kehadiran Indra, Nantha Kumar



ARKIB : 25/09/2003

KEHADIRAN semula pemain kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin dan K. Nantha Kumar dalam kem Perak memudahkan jurulatih Toni Netto mengatur strategi berkesan bagi menghadapi Sabah pada pertemuan kedua separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Ipoh, Sabtu ini.

Netto jelas begitu lega dengan kehadiran lebih awal kedua-dua pemain tersebut yang sebelum ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Indonesia dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur, esok.

``Saya agak gusar apabila kedua-dua pemain berkenaan dikatakan hanya akan bersama-sama pemain-pemain Perak yang lain pada awal pagi Sabtu ini.

``Tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melepaskan mereka lebih awal dan ia merupakan berita yang menggembirakan,'' jelas Netto di Ipoh semalam.

Kedua-dua pemain tersebut menjalani latihan dengan pemain-pemain lain di Ipoh semalam tetapi Nantha Kumar hanya melakukan latihan ringan kerana masih mengalami kecederaan di lutut kanannya.

``Saya perlukan Indera Putra dan Nantha Kumar lebih awal kerana penyusunan sesuatu strategi itu perlu mengambil masa beberapa hari bagi menjadikannya lebih berkesan,'' tegasnya.

Jurulatih dari Brazil itu memerlukan khidmat Indera bagi menambah sengat barisan serangan yang dibarisi oleh Bhaichung Bhutia dan Frank Seator.

Nantha Kumar pula akan digandingkan dengan Yusri Che Lah dan Ahmad shahrul Azhar bagi menggerakkan serangan di bahagian tengah.

``Saya suka corak permainan Indera Putra yang mirip pemain Brazil, Cafu. Dia mampu menggelecek beberapa pemain lawan bagi mencipta peluang gol.''

Mengenai kecederaan Shahrul, Nantha dan Seator, jurulatih itu berkata ketiga-tiga pemain itu hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu beraksi Sabtu ini.

``Saya meminta mereka menjalani latihan ringan dan mengikuti arahan tertentu sebagai perancangan strategi agar mereka memahami kehendak saya kelak,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir berkata, kawalan ketat akan dilakukan pada hari perlawanan supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, pihak polis akan meletakkan 350 orang anggotanya di dalam stadium, tidak termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain itu, seramai 50 orang pegawai keselamatan Persatuan Bolasepak Perak (PFA) turut terlibat.

``Pihak polis akan mengadakan pemeriksaan rapi ke atas orang ramai di pintu masuk stadium ini supaya mereka tidak membawa masuk barang-barang yang dilarang terutama mercun,'' kata Jamal.

``Berdasarkan pengalaman lalu, pihak polis merampas mercun dalam jumlah yang banyak daripada penonton yang masuk ke stadium itu semasa perlawanan akhir Piala FA antara Negeri Sembilan dengan Perlis, Mei lalu,''katanya.

Jamal Nasir memberitahu, tiket-tiket perlawanan akan mula dijual di Stadium Perak mulai pukul 3 petang esok.

Katanya, PFA hanya akan menjual 30,000 tiket termasuk 500 keping untuk grand stand yang berharga RM10 dan RM20 walaupun stadium berkenaan boleh memuatkan 32,000 orang penonton.

Sebelum ini, lebih 30,000 orang penonton telah menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dengan Sarawak di Ipoh, yang merupakan jumlah penonton terbanyak tahun ini.

PFA memperoleh kutipan tiket sebanyak RM212,000 bagi perlawanan tersebut dan RM207,000 turut dipungut dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Satu antara Perak dengan Melaka yang merupakan jumlah kedua terbanyak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4da0wL5WY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan