Jumaat, 26 Mei 2017

Bicskei panggil Indra, Hairuddin sertai skuad kebangsaan



ARKIB : 01/03/2005

KUALA LUMPUR - Dua penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar kembali mendapat kepercayaan bagi menggalas cabaran bola sepak kebangsaan menghadapi Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi dari 8 hingga 20 April ini.

Turut disenaraikan ialah penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli selain tiga pemain iaitu Syamsuri Mustafa, Fadzli Shaari dan Lim Chan Yew yang mengikuti latihan tiga minggu dengan kelab divisyen dua Liga Inggeris, Bournemouth FC.

Selain itu, sebahagian besar pemain daripada skuad Piala Tiger yang menduduki tempat ketiga Januari lalu, turut mendapat kepercayaan bersama lima pemain daripada skuad bawah 23 ke Sukan SEA di Manila November ini.

Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei berkata, mereka adalah sebahagian daripada senarai 35 pemain yang akan dipanggil menjalani latihan di Wisma FAM, Ahad ini sebagai persiapan rapi ke Arab Saudi.

``Saya tidak sangsi untuk memanggil semula Indra Putra dan Hairuddin kerana setakat ini mereka mempamerkan permainan bermutu tinggi.

``Begitu juga dengan Akmal, walaupun dia baru pulih daripada kecederaan tetapi dia sudah kembali menemui sentuhan selepas berehat untuk tempoh yang panjang,'' katanya di sini, semalam.

Berbekalkan barisan tersebut kata jurulatih berasal dari Hungary itu, beliau yakin dapat membentuk sebuah pasukan yang cukup mantap berbanding ketika dalam saingan Piala Tiger.

Sewaktu kempen Piala Tiger, Bisckei tidak menyenaraikan Hairuddin dan Indra kerana masalah prestasi manakala Akmal pula ditimpa kecederaan.

``Apa yang saya harapkan agar pemain yang akan dipanggil ini apabila datang menjalani latihan tidak ditimpa kecederaan,'' katanya.

Keadaan itu katanya boleh membantutkan usaha Bicskei untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk mengharungi saingan bersama Maghribi, Kuwait dan Pakistan yang diletakan dalam Kumpulan C di Arab Saudi nanti.

Bicskei menambah, beliau juga akan turut memanggil beberapa muka baru daripada saingan Liga Super dan Liga Perdana yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan menyarung jersi kebangsaan.'

Sesi latihan yang dirancang kata Bicskei hanya akan diadakan tiga hari seminggu tidak melibatkan hujung minggu.

Beliau berkata, pemain akan dibenarkan pulang untuk mewakili pasukan masing-masing menghadapi Liga Super dan Liga Perdana.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai peluang Malaysia yang diletakan dalam Kumpulan C bersama-sama Kuwait, Maghribi dan Pakistan beliau berkata, Malaysia berdepan dengan tugas paling getir.

Ujarnya, Kuwait yang menyingkirkan Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Dunia yang lalu serta Mahgribi adalah dua pasukan yang kuat.

``Atas kertas sukar bagi skuad kebangsaan berdepan dengan Kuwait dan Mahribi,'' ujarnya.

Manakala Pakistan pula kata jurulatih itu, beliau tidak banyak mengetahui akan kekuatan pasukan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iAnAS4To
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan