Isnin, 29 Mei 2017

Indra Putra, Hairuddin dipanggil semula



ARKIB : 18/05/2005
Oleh AMRAN MULUP 
KUALA LUMPUR - Dua bintang bola sepak Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar kembali mendapat kepercayaan menggalas cabaran skuad kebangsaan ketika penyerang Akmal Rizal Rakhli terpaksa disisihkan akibat belum pulih daripada kecederaan.

Kehadiran kedua-dua pemain yang sebelum ini menjadi pertikaman lidah antara Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pastinya kembali melegakan.

Selain kehadiran semula Indra Putra dan Hairuddin, lima lagi pemain skuad Tok Gajah yang turut dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei antaranya ialah Muhammad Juzaili Samion, Norhafiz Misbah, Rosdi Talib, Fadzli Saari dan Irwan Fadzli Idrus.

Apakah akan wujud rasa tidak puas hati pengurusan Pahang dengan tujuh pemain dipanggil menjalani latihan kebangsaan ketika skuad Tok Gajah menghadapi saat genting mengharungi tujuh lagi saingan sengit Liga Super.

Pahang ketika ini cuba mempertahankan gelaran juara Liga Super yang diraih musim lalu.

Pahang ketika ini menduduki tangga kedua liga di belakang Perlis, kehilangan tujuh pemain mungkin amat dirasakan dalam persiapan rapi untuk memintas skuad Singa Utara.

Begitupun Pahang kena akur dengan keputusan Bertalan untuk membariskan tujuh pemain negeri itu tanpa sebarang alasan lagi.

Pertikaman lidah antara PBNP dan FAM sebelum ini di mana pihak pengurusan skuad Tok Gajah enggan melepaskan pemain kerana terbabit dengan kejohanan Piala AFC.

Melihat barisan pemain yang dipanggil kali ini jelas menampakkan skuad kebangsaan paling mantap dapat disenaraikan oleh Bicskei.

Namun timbul persoalan apakah Bicskei akan dapat mengumpul kesemua pemain yang dipanggil?

Atau keesokan harinya selepas melapor diri ada kemungkinan sebahagian daripada pemain mungkin dilepaskan untuk kembali ke pangkuan skuad masing-masing kerana mengalami kecederaan.

Ini sudah menjadi lumrah bagi mana-mana jurulatih dalam atau luar negara yang melatih skuad kebangsaan.

Beberapa pemain daripada skuad Piala Tiger yang turut disenaraikan ialah Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Liew Kit Kong, Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Nor Ismail dan Nor Fazly Alias.

Mereka adalah antara 36 pemain yang dipanggil menjalani latihan kebangsaan sebagai persediaan dalam dua aksi persahabatan menentang Singapura pada 4 dan 8 Jun ini.

Bertalan Bicskei berkata, beliau melahirkan rasa gembira dapat memanggil Indra Putra dan Hairuddin untuk memperkuatkan skuad kebangsaan berdepan dengan Singapura.

``Sebelum ini mereka tidak dapat hadir kerana masalah kecederaan dan pembabitan pasukan Pahang dalam Piala AFC,'' ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun jurulatih dari Hungary itu agak terkilan terpaksa menyisihkan Akmal Rizal kerana pemain itu masih belum pulih dari kecederaan yang dialami sebelum ini.

Buat Bicskei tanpa Akmal skuad kebangsaan kali ini tidak pincang dengan kehadiran semula Indra Putra dan Hairuddin.

Katanya, dua perlawanan persahabatan dengan Singapura amat penting kerana ia adalah dua aksi terakhir skuad kebangsaan tahun ini.

Ujarnya lagi, pemain daripada Liga Super akan mula melapor diri pada Ahad ini manakala daripada Liga Perdana pula pada keesokan harinya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iUGhY3oi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan