Sabtu, 13 Mei 2017

'Mahu pergi mana Indra?'




         
Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Khabar angin mengenai kemungkinan Indra Putra Mahayuddin meninggalkan Kelantan ketika jendela perpindahan kedua, 15 Mei ini semakin hangat diperkatakan penyokong The Red Warriors (TRW).

Difahamkan, pasukan yang berminat dengan bintang TRW itu sedia menebus baki kontrak pemain terbabit jika mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan mereka.

Sumber rapat TRW berkata, beliau difahamkan bahawa Indra, 36, sudah hampir pasti menyarung jersi pasukan baru terbabit tetapi pemain itu mengambil jalan selamat dengan tidak memberikan apa-apa komen mengenai khabar berkenaan.

“Andai khabar angin itu betul, kita bakal kehilangan seorang pemain senior berpengalaman ketika kudratnya masih diperlukan Kelantan untuk menghadapi baki saingan Liga Super.

“Sama ada disebabkan masalah gaji atau sebaliknya hingga mendorongnya untuk berhijrah ke pasukan lain, saya tidak pasti tetapi saya berharap Indra kekal bersama pasukan hingga penghujung musim,” kata sumber berkenaan.

Selain Indra, dua pertahanan TRW Mohd Qayyum Marjoni Sabil, 23 dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim, 27, turut berada dalam radar pasukan lain di Liga Super.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi menafikan khabar angin berhubung perpindahan ketiga-tiga pemain berkenaan ke pasukan lain.

Ismail menjelaskan mereka akan kekal bersama Kelantan hingga hujung musim dan berkemungkinan besar khabar angin itu sengaja direka pihak tertentu bagi melemahkan semangat pasukan.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 2:57 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan