ARKIB : 26/08/2006
Oleh: AMRAN MULUP
INDRA Putra Mahayuddin (kanan)
melepaskan rembatan walaupun diasak pemain Thailand, Teravit Junsom dalam aksi
bola sepak Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Malaysia menang 2-1
menerusi dua gol jaringan Indra.
SHAH ALAM Dua gol menarik
menerusi penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin memastikan Malaysia mengukir
kemenangan paling menarik apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan
kedua Kejohanan Pestabola Merdeka ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kelibat Indra Putra yang
kembali mendapat kepercayaan menyarung jersi kebangsaan nyata tidak sia-sia
menerusi dua golnya pada minit ke-40 dan 77, sekali gus memahatkan kemenangan
paling manis ketika skuad kebangsaan dikecam hebat sebelum ini.
Kemenangan ini turut
mencerahkan laluan skuad kebangsaan untuk layak ke perlawanan akhir apabila
mengutip empat mata setelah seri 1-1 bertemu Indonesia dalam perlawanan
pembukaan Rabu lepas.
Skuad bimbingan Norizan Bakar
hanya memerlukan keputusan seri apabila menentang Myanmar dalam perlawanan
terakhir malam esok bagi mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir pada 29 Ogos
ini.
Ini adalah kemenangan pertama
skuad kebangsaan daripada enam perlawanan yang diharungi setakat ini.
Sebelum ini skuad kebangsaan
tewas empat perlawanan kepada New Zealand 1-0 dan 2-1 disusuli kekecewaan
menerusi penentuan sepakan penalti menentang Singapura di tempat lawan serta di
gelanggang sendiri.
Dalam tempoh 10 minit babak
berlangsung jelas dikuasai oleh Thailand dengan gerakan kemas serta
hantaran-hantaran tepat gagal disaingi oleh anak didik Norizan Bakar.
Begitupun gandingan Indra Putra
dan Saramsak Kram jelas bertenaga seringkali mencemaskan benteng pertahanan
Thailand.
Pada minit ke-13 peluang
terbaik hadir hasil lorongan Muhamad Nor Farhan Muhammad tetapi Saramsak dan
IndraPutra lewat menerpa bola yang melintas di hadapan mereka.
Permainan kedua-dua pasukan
jelas seimbang tetapi asakan skuad kebangsaan tambah bersemangat apabila
Saramsak berjaya melepasi pertahanan lawan tetapisepakan kencang pemain itu
terus ke dakapan penjaga gol Thailand, Narit Taweekul pada minit ke-31.
Lima minit sebelum rehat
Stadium Shah Alam gamat apabila Indra Putra Mahayuddin memecah kebuntuan
jaringan gol.
Bermula daripada sepakan
percuma dari sebelah kanan diambil oleh Muhammad Hardi Jaafar bola tepat ke
arah Indra Putra biarpun dicabar pertahanan Thailand tetapi penyerang Pahang
itu mudah menolak masuk menewaskan Taweekul.
Thailand yang ketinggalan 0-1
pada babak pertama bangkit menggandakan asakan dan gol penyamaan yang dicari
diperoleh menerusi jaringan Tana Chanabut pada minit ke-62.
Stadium Shah Alam kembali
bergegar buat kali kedua apabila Indra Putra meledakkan jaringan kedua selepas
mendapat hantaran satu dua dengan Saramsak dan tolakan mudah menewaskan
Taweekul pada minit ke-77.
Dalam perlawanan terdahulu,
ketangkasan penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo menjadi penyelamat apabila
memastikan pasukan mereka berjaya mengikat Indonesia dengan keputusan seri 0-0.
Kecekapan Aung Oo ternyata
mengecewakan banyak percubaan serangan Indonesia yang diketuai oleh Bambang
Pamungkas dan Boas Salosa.
Kerancakan permainan kedua-dua
pasukan pada awal babak pertama terencat akibat hujan lebat hingga memaksa
perlawanan babak kedua lewat setengah jam sebelum bermula.
Buat kedua-dua pasukan
keputusan seri tersebut adalah kali kedua setelah Myanmar seri 2-2 bertemu
Thailand manakala Indonesia pula mencatat keputusan 1-1 berdepan Malaysia.
Ini sekali gus membuka peluang
buat kedua-dua pasukan untuk mara ke perlawanan akhir dan perlu memenangi
perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam esok.
KEPUTUSAN
MALAYSIA 2
Indra Putra Mahayuddin (40,77)
THAILAND 1
Tana Chanabut (62)
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oIbDM600
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan