Jumaat, 4 Ogos 2017

Impian Malaysia musnah


 

ARKIB : 28/08/2006
Oleh: AMRAN MULUP
KECEWA...Norhafiz Zamani Misbah (tengah) bersama rakan sepasukan lain berjalan keluar dari padang selepas pasukan negara tewas 2-1 kepada Myanmar dalam perlawanan Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam.- Gambar ASWAD YAHYA.

SHAH ALAM - Impian Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir musnah berikutan kekalahan 1-2 kepada Myanmar dalam perlawanan terakhir Pestabola Merdeka ke-38 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketika para peminat kembali yakin berikutan persembahan bertenaga anak didik Norizan Bakar sewaktu menumbangkan Thailand 2-1 Jumaat lalu, kira-kira 25,000 penonton yang datang menyaksikan perlawanan semalam ternyata kecewa.

Ejekan bagaikan menjadi habuan apabila para penyokong mula menghamburkan kata-kata penuh kehampaan terhadap para pemain negara yang masuk ke bilik persalinan sejurus berakhir perlawanan menandakan kekecewaan apalagi tumbang kepada Myanmar yang dibarisi rata-rata pemain bawah 23 tahun.

Mendahului lawan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-16 seakan membuka laluan mudah untuk Malaysia layak ke perlawanan akhir.

Namun Myanmar yang dilatih dalam tempoh dua bulan untuk menghadapi kejohanan ini memalitkan malu bukan kepalang.

Malaysia hanya perlu seri untuk layak ke akhir tetapi tersentak dengan dua gol jaringan Kyaw Thu Ra pada minit ke-52 dan Soe Myat Min (57).

Dua jaringan itu sudah cukup untuk memastikan Myanmar melangkah ke perlawanan akhir dan akan bertemu Indonesia Selasa ini. Indonesia mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Thailand 1-0.

Begitupun, barisan pemain negara masih layak mendapat sedikit pujian walaupun ketinggalan 1-2 apabila bangkit menggandakan asakan meskipun gagal mencari jaringan.

Pada babak pertama, Malaysia memecah kebuntuan dengan jaringan gol pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Indra Putra Mahayuddin.

Sepakan penalti itu diperoleh selepas salah seorang pemain pertahanan Myanmar menjatuhkan Mohd. Nor Farhan Muhammad. Pengadil perlawanan, Zhang Lei dari China tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti.

Jaringan awal itu menyemarakkan semangat para pemain yang menyaksikan penguasaan penuh skuad kebangsaan selepas itu.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-31 apabila Indra Putra yang melepasi perangkap ofsaid membuat larian solo ke dalam kotak penalti Myanmar.

Namun kegopohan penyerang Pahang itu melihat bola sepakannya sekadar singgah tepi jaring walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Aung Aung Oo.

Pada minit ke-35, giliran Mohd. Nor Farhan untuk merasai kehampaan apabila sepakan kencangnya berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Myanmar.

Myanmar bangkit pada babak kedua dengan pemain gantian, Khaw Thu Ra mengikat kedudukan 1-1 apabila menjaringkan gol pada minit ke-52.

Lima minit selepas itu, pintu gol Malaysia bocor lagi. Kali ini giliran Soe Myat Min meledakkan jaringan selepas mendapat bola hantaran Si Thu Win.

Dalam perlawanan terdahulu Indonesia layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Myanmar 1-0 dengan gol kemenangan dijaringkan oleh Bayus Sutha pada minit ke-26.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4om0zsozM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan