Sabtu, 30 September 2017

Malaysia tunjuk garang, belasah Kemboja

ARKIB : 19/06/2007
 
Penyerang negara, Indra Putra Mahayuddin (kiri) mengasak keras pemain Kemboja, Thui Sothearith pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. Malaysia menang 6-0.

SHAH ALAM – Jurulatih kebangsaan, Norizan bakar nyata lega dengan kemenangan 6-0 Malaysia ke atas Kemboja dalam perlawanan persahabatan fasa terakhir menjelang Piala Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Buat Norizan, selepas kecewa dengan tiga perlawanan persahabatan di Australia tanpa sebarang kemenangan, kejayaan itu menjadi elemen positif kepada skuad seramai 23 pemain itu yang akan mengalas cabaran berdepan China, Uzbekistan dan Iran dalam kumpulan C.

Menurut Norizan, kemenangan itu menyuntik semangat pemain menjelang dua lagi perlawanan persahabatan menentang UAE pada Khamis ini dan Jamaica pada 28 Jun di Stadium MPPJ.

“Perlawanan malam ini saya cukup puas hati kerana memperoleh kemenangan walaupun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

“Saya harap kemenangan ini akan membangkitkan semangat pemain selepas kita mengharungi perlawanan persahabatan tanpa sebarang kemenangan yang boleh dibanggakan,” ujarnya selepas perlawanan.

Lima minit babak pertama berlangsung, tiga percubaan menerusi Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin yang mengemudi jentera serangan skuad kebangsaan gagal menepati sasaran.

Namun pada minit ke-23, pintu gol Kemboja bocor hasil sepakan jauh bek kiri Malaysia, Rosdi Talib dari jarak 30 meter membbolehkan skuad kebangsaan mendahului 1-0.

Biarpun skuad kebangsaan menguasai pentas saingan namun gandingan Hairuddin dan Indra Putra tampak kurang menyengat apabila berada di depan pintu gol Kemboja.

Pada minit ke-47, selepas gagal menyempurnakan tiga peluang terbaik menambah jaringan, pemain gantian, Ivan Yusof mudah menolak masuk gol kedua skuad negara hasil sepakan sudut Hardi Jaafar.

kedudukan skuad kebangsaan tambah yakin apabila Hairuddin Omar pula menanduk masuk gol ketiga selepas menyambut hantaran jauh Ivan pada minit ke-58.

Tiga minit selepas itu, Eddy Helmi Manan yang masuk menggantikan Shahrulnizam Mustafa menanduk masuk gol keempat Malaysia.

Di penghujung permainan, Eddy Helmi meletakkan gol peribadi kedua yang juga gol kelima pada minit ke-88 manakala gol keenam menyusul selepas itu hasil jaringan Mohd. Aidil Zaquan pada minit ke-90.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9jNDuwU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

Indra sedia isi slot penyudah



ARKIB : 13/06/2007
PULAU PINANG – Penyerang, Indra Putra Mahyuddin mengimpikan kembali posisinya dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia bulan depan selepas sekian lama bergelut dengan kecederaan.

Menurut Indra, walaupun lama tidak bermain di dalam perlawanan kompetitif terutamanya Liga Super, itu bukan bermakna tahap kecergasannya telah menurun.

Sambil mengakui masih terasa sengal pada kecederaan lamanya, dia dilihat mampu mengikut semua arahan jurulatih pada sesi latihan taktikal.

‘‘Saya akui agak penat sikit tapi itu bukan bermakna saya tidak cergas, saya mampu mengikuti keseluruhan latihan secara berterusan di bawah kendalian Norizan Bakar.

‘‘Latihan itu begitu penting untuk memastikan tahap kecergasan saya sekarang ini dapat ditingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas sesi latihan di sini, semalam.

Tambah Indra, dia sangat berharap untuk mendapat semula tempatnya dalam kesebelasan utama bagi membantu kejayaan skuad negara.

Dia mengakui memerlukan beberapa perlawanan ujian untuk membuktikan dirinya pulih.

Indra tercicir daripada sesi latihan skuad negara di Australia bulan lalu.

Sementara itu, Norizan yang ditemui selepas sesi latihan berkata, beliau sedang memerhati tahap kecergasan Indra dan beberapa pemain lain sebelum keputusan akhir dibuat.

‘‘Dari apa yang saya perhatikan, dia (Indra) sudah boleh berlatih sepenuhnya adn mengikuti latihan kecergasan di tepi padang. Saya harap dia sudah pulih,” katanya.

Latihan semalam juga menyaksikan kehadiran beberapa pemain dari skuad Olimpik yang baru menghabiskan tugasan di Jepun minggu lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u8tGWCb9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad negara cari kombinasi di Pulau Pinang



ARKIB : 10/06/2007

PULAU PINANG - Skuad bola sepak senior bimbingan Norizan Bakar (gambar) meneruskan latihan fasa terakhir di Pulau Pinang bagi mencari kombinasi terbaik dan persefahaman jitu antara pemain selepas menamatkan siri kunjungan ke Sydney, Australia baru-baru ini.

Barisan bimbingan Norizan mengakhiri kesemua perlawanan ujian tanpa mampu menyumbat walau satu jaringan pun selepas tewas kepada kelab Liga Juara-Juara Asia dan bekas juara Australia, Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3 dan Bankstown FC 0-1.

Norizan berkata, latihan di Australia lebih mementingkan kepada kecergasan pemain dan tiga perlawanan ujian itu anak didiknya telah membuktikan mereka berjaya melepasi tahap yang diperlukan untuk sesuatu perlawanan kompetitif.

Walaupun terdapat beberapa pemain yang dilanda kecederaan, itu langsung tidak membimbangkan jurulatih kebangsaan kerana percaya mereka mampu sembuh menjelang pusingan akhir Piala Asia yang akan bermula 10 Julai ini.

Menurut Norizan, latihan yang diadakan di luar Kuala Lumpur bertujuan bagi memberi ketenangan jauh dari suasana hiruk-pikuk dan tekanan selain mengeratkan lagi hubungan antara pemain dan pegawai pasukan.

‘‘Kita mahukan suasana harmoni di dalam pasukan selain sasaran utama adalah untuk mencari dan membentuk kombinasi terbaik serta persefahaman antara pemain yang akan dipilih nanti,” katanya selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bandaraya di sini semalam.

Malaysia - tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam, menganggotai Kumpulan C bersama-sama pasukan yang mara ke Piala Dunia 2006, Iran; naib juara Piala Asia 2004, China dan Uzbekistan yang mara ke suku akhir kejohanan ini tiga tahun lalu.

Latihan di Pulau Pinang bermula 7 hingga 15 Jun ini adalah kesinambungan dari sesi latihan di Australia dan akan kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa perlawanan ujian yang telah diatur sebelum aksi sulung Piala Asia - menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Julai ini.

Menurut Norizan, beliau masih menunggu beberapa pemain dari skuad Olimpik untuk turut serta di dalam sesi latihan kali ini dan dari situ beliau mampu untuk menilai prestasi terbaik yang akan dipilih bagi menganggotai skuad kebangsaan.

Dalam latihan itu juga, Norizan dilihat banyak kali mencuba ketajaman penyerang Akmal Rizal Rakhli serta Safee Sali dan beberapa pemain yang baru dipanggil seperti Indra Putra Mahyuddin dan lain-lain.

Selain itu beberapa pemain lain seperti Hairudin Omar dilihat masih menjalani proses pemulihan di tepi padang selepas cedera ketika aksi ujian di Australia dan kecederaannya masih tidak membimbangkan Norizan.

Sesi latihan skuad kebangsaan di Pulau Pinang akan berlangsung di dalam dua sesi pagi dan malam selain para peain akan menjalani latihan ringan di pantai Batu Ferringhi pada sesi latihan pagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4u8lFsiYl
© Utusan Melayu (M) Bhd