Jumaat, 29 September 2017

Skuad negara cari kombinasi di Pulau Pinang



ARKIB : 10/06/2007

PULAU PINANG - Skuad bola sepak senior bimbingan Norizan Bakar (gambar) meneruskan latihan fasa terakhir di Pulau Pinang bagi mencari kombinasi terbaik dan persefahaman jitu antara pemain selepas menamatkan siri kunjungan ke Sydney, Australia baru-baru ini.

Barisan bimbingan Norizan mengakhiri kesemua perlawanan ujian tanpa mampu menyumbat walau satu jaringan pun selepas tewas kepada kelab Liga Juara-Juara Asia dan bekas juara Australia, Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3 dan Bankstown FC 0-1.

Norizan berkata, latihan di Australia lebih mementingkan kepada kecergasan pemain dan tiga perlawanan ujian itu anak didiknya telah membuktikan mereka berjaya melepasi tahap yang diperlukan untuk sesuatu perlawanan kompetitif.

Walaupun terdapat beberapa pemain yang dilanda kecederaan, itu langsung tidak membimbangkan jurulatih kebangsaan kerana percaya mereka mampu sembuh menjelang pusingan akhir Piala Asia yang akan bermula 10 Julai ini.

Menurut Norizan, latihan yang diadakan di luar Kuala Lumpur bertujuan bagi memberi ketenangan jauh dari suasana hiruk-pikuk dan tekanan selain mengeratkan lagi hubungan antara pemain dan pegawai pasukan.

‘‘Kita mahukan suasana harmoni di dalam pasukan selain sasaran utama adalah untuk mencari dan membentuk kombinasi terbaik serta persefahaman antara pemain yang akan dipilih nanti,” katanya selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bandaraya di sini semalam.

Malaysia - tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam, menganggotai Kumpulan C bersama-sama pasukan yang mara ke Piala Dunia 2006, Iran; naib juara Piala Asia 2004, China dan Uzbekistan yang mara ke suku akhir kejohanan ini tiga tahun lalu.

Latihan di Pulau Pinang bermula 7 hingga 15 Jun ini adalah kesinambungan dari sesi latihan di Australia dan akan kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa perlawanan ujian yang telah diatur sebelum aksi sulung Piala Asia - menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Julai ini.

Menurut Norizan, beliau masih menunggu beberapa pemain dari skuad Olimpik untuk turut serta di dalam sesi latihan kali ini dan dari situ beliau mampu untuk menilai prestasi terbaik yang akan dipilih bagi menganggotai skuad kebangsaan.

Dalam latihan itu juga, Norizan dilihat banyak kali mencuba ketajaman penyerang Akmal Rizal Rakhli serta Safee Sali dan beberapa pemain yang baru dipanggil seperti Indra Putra Mahyuddin dan lain-lain.

Selain itu beberapa pemain lain seperti Hairudin Omar dilihat masih menjalani proses pemulihan di tepi padang selepas cedera ketika aksi ujian di Australia dan kecederaannya masih tidak membimbangkan Norizan.

Sesi latihan skuad kebangsaan di Pulau Pinang akan berlangsung di dalam dua sesi pagi dan malam selain para peain akan menjalani latihan ringan di pantai Batu Ferringhi pada sesi latihan pagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4u8lFsiYl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan