ARKIB : 12/09/2007
KUALA LUMPUR Jurulatih skuad
negara, B. Sathianathan memanggil empat tonggak skuad Piala Asia, Julai lalu
iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, K. Nanthakumar dan Shukor
Adan bagi menguatkan cabaran Malaysia menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2010,
bulan depan.
Mereka akan menyertai
kebanyakan pemain skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang menjulang trofi Pestabola
Merdeka ke-39 pada 29 Ogos lalu untuk menghadapi pilihan keenam Asia, Bahrain
dalam pusingan pertama timbal balik kelayakan pada 21 dan 28 Oktober ini.
Shukor dan Norhafiz Zamani
sebelum ini turut membarisi skuad juara Pestabola tetapi tempat dalam skuad
negara kali ini tiada bagi bek kanan, V. Thirumurugan yang membantu Kedah
menjulang tiga gelaran sepanjang musim 2006-2007, Piala FA, Liga Super dan
Piala Malaysia.
Latihan
Sathianathan menyenaraikan 24
pemain lain yang bakal melapor diri bagi sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya
mulai Isnin ini dengan empat tonggak Kedah pada perlawanan akhir Piala
Malaysia, Sabtu lalu - Khyril Muhymeen Zambri, Samransak Kram, Sabre Mat Abu
dan Bunyamin Omar.
Turut disenaraikan ialah
penjaring terbanyak Malaysia dalam Pestabola, Safee Sali yang turut beraksi
pada Piala Asia bersama-sama Nor Farhan Muhammad selain pasangan kembar Bawah
23, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak (Pemain Paling Berbakat Anugerah
Bola Sepak Kebangsaan).
Lain-lain pemain termasuk Safiq
Rahim, Amirulhadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein, Syamsol Sabtu, Shahurain Abu
Samah, Norshahrul Idlan Talaha, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Nasril
Nourdin, Daudsu Jamaluddin, Sumardi Hajalan, Azamuddin Akil, Farizal Marlias,
Zamri Chin, Chun Keng Hong, K. Thanaraj.
Kata beliau, mereka akan
menjalani latihan di Wisma FAM hingga 23 September ini sebelum berlepas ke
Perth, Australia bagi siri empat perlawanan persahabatan dengan Pilihan
Australia Barat (28 atau 29 September), Perth Glory (2 Oktober), Ashfield FC (5
Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).
Daripada 28 pelatih ini, saya
akan memilih 20 orang sahaja bagi menghadapi Bahrain dalam Kelayakan Piala
Dunia, katanya yang dilantik sebagai pengganti Norizan Bakar sejurus selepas
perlawanan akhir Pestabola, kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sathianathan yang bakal dibantu
Zaki Sheikh Ahmad berkata, mereka sepasukan hanya mempunyai 32 hari untuk
membuat persediaan menentang Bahrain yang nyaris layak ke Piala Dunia 2006 jika
tidak kalah dalam perlawanan penentuan dengan wakil Concacaf, Trinidad &
Tobago.
Saya menggunakan khidmat
ramai pemain Bawah 23 kerana matlamat utama saya ialah Sukan SEA Korat (6
hingga 15 Disember ini), katanya yang enggan mengulas mengapa tidak
menyertakan Penyerang Pilihan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, Khalid Jamlus ke
Kelayakan Piala Dunia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vZXYpsNU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan