Isnin, 16 Oktober 2017

Indra kembali ke sayap kiri



ARKIB : 25/09/2007

KUALA LUMPUR – Penjaring tunggal dalam Piala Asia di Malaysia, Julai lalu, Indra Putra Mahayuddin bakal dikembalikan ke posisi asalnya, sayap kiri apabila skuad negara menghadapi Bahrain dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2010, bulan depan.

Kehadiran penyerang Pahang itu bakal bersifat pembantu gandingan depan negara yang produktif ketika Pestabola Merdeka, bulan lalu, Zaquan Adha Radzak dan Safee Sali dalam membolosi gawang Bahrain, pilihan keenam Asia bagi pusingan pertama, 21 dan 28 Oktober ini.

Malaysia kalah kesemua perlawanan kepada China, Kuwait dan Hong Kong dalam kelayakan 2004. Bahrain yang hampir ke Piala Dunia 2006 jika tidak dikalahkan Trinidad & Tobago, menewaskan Malaysia 3-1 dalam pertemuan terakhir mereka pada Kelayakan Piala Asia 2003.

Sebelum ini Indra diletakkan di barisan depan ketika menentang China, Uzbekistan dan Iran dalam Piala Asia dengan gandingannya ialah antara Hairuddin Omar atau Safee Sali namun posisi sayap kiri banyak menjulang namanya ketika Sukan SEA 2001 dan Piala Tiger 2002.

Jurulatih negara, B. Sathianathan berkata, keberkesanan Indra Putra dalam menyokong pemburuan gol Zaquan-Safee bakal teruji lebih awal dalam kunjungan ke Perth, Australia sebagai persediaan ke Kelayakan Piala Dunia mulai semalam.

“Indra tersenarai di antara 26 pemain ke Perth bagi empat siri perlawanan persahabatan menentang Pilihan Bawah 23 Tahun Australia Barat (Jumaat ini), Perth Glory (2 Oktober), Ashfeld (5 Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).

“Saya cuma meninggalkan Shukor Adan (akibat kecederaan groin yang perlu berehat enam minggu) dan Azamuddin Akil kerana baru pulih daripada kecederaan,” katanya sebelum berlepas ke Perth dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Gandingan Zaquan-Safee menghasilkan tujuh gol sehingga menjulang trofi Pestabola dan bakal menjadi pertaruhan utama Sathianathan dan skuad Bawah 23 Tahun Malaysia dalam memburu pingat emas Sukan SEA Korat dari 6 hingga 15 Disember ini.

Safee, penyerang Selangor turut menjaringkan satu gol dalam perlawanan persahabatan dengan skuad Bawah 20 Tahun negara, Sabtu lalu, manakala satu lagi disumbangkan Norshahrul Idlan Talaha yang berpengalaman Sukan Asia Doha tahun lalu.

Sathianathan turut mengesahkan bek tengah Pahang, Norhafiz Zamani Misbah sebagai ketua pasukan baru Malaysia ketika menentang Bahrain sebelum lilit lengan itu diserahkan kepada perantara Perlis, Azi Shahril Azmi apabila skuad Bawah 23 Tahun ke Korat.

Azi Shahril merupakan satu-satunya pemain skuad pemenang pingat gangsa Sukan SEA ke-23 di Filipina pada 2005 malah kerap dipanggil membarisi skuad senior sejak itu dengan yang terakhir ketika membantu Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan AFF, Februari lalu.

Skuad negara

Samransak Kram, Khyril Muhymeen Zambri, Mat Sabre Mat Abu, Bunyamin Umar, Safee Sali, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein, Zaquan Adha Radzak, Aidil Zafuan Radzak, Syamsol Sabtu, Shahurain Abu Samah, Norshahrul Idlan Talaha, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Daudsu Jamaluddin, Sumardi Hajalan, Farizal Marlias, Nor Farhan Muhammad, Zambri Chin, Chun Ken Hong, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, K. Nanthakumar, K. Thanaraj.

SUMBER-
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vfljVA6Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan