Selasa, 3 Oktober 2017

Norizan terpaksa buat rombakan



 
ARKIB : 12/07/2007
Norizan terpaksa buat rombakan
PENJAGA gol kedua Malaysia, Suffian Ab. Rahman gigih menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam untuk mengintai peluang diturunkan menentang Uzbekistan dalam Piala Asia, Sabtu ini.

KUALA LUMPUR – Beberapa pemain bakal kehilangan posisi kesebelasan utama skuad negara jika jurulatih Norizan Bakar mahu memberikan mereka pengajaran drastik ekoran kekalahan besar 5-1 kepada China dalam perlawanan Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia, kelmarin.

Hilangnya disiplin bermain sebagai sepasukan dan melakukan kesilapan individu dikenal pasti sebagai faktor kekalahan itu yang perlu diatasi segera apabila Malaysia mengharungi perlawanan kedua Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia menentang Uzbekistan, Sabtu ini.

Kata Norizan, “China menguasai bola dan kami hilang disiplin sehingga membuka luas kawasan yang dimanfaatkan lawan dengan hantaran jauh dan tinggi. Kami terus gagal mengekang umpanan dari kedua-dua sayap lawan. Akibatnya kami kalah besar dan ia ternyata bukan satu permulaan yang baik.

“Kami perlu berdisiplin sejak awal dan bekerjasama sebagai sepasukan tetapi akibat kesilapan individu, seluruh pasukan yang menanggung padahnya (dengan lima gol),” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan yang turut dihadiri hampir 30,000 penyokong negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Walau apa pun, kami perlu melupakannya dan kami akan cuba memulihkan semangat untuk menghadapi perlawanan kedua,” katanya yang membuat tiga pertukaran pemain negara kelmarin iaitu Akmal Rizal Rakhli dengan Indra Putra Mahayuddin, Fadzli Saari (K. Nantha Kumar) dan Shahrulnizam Mustapa (Eddy Helmi Manan).

Seperti biasa, Norizan tetap enggan menamakan anak buahnya yang dianggap penyumbang kekalahan tersebut terutama sekali di bahagian benteng yang dikemudikan ketua pasukan, Kaironnisam Sahabuddin Hussain sambil dibantu Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib dan Fauzie Nan selain penjaga gol, Azizon Kadir.

Namun China begitu unggul dengan memanfaatkan ketinggian dan tubuh tegap pemainnya yang rata-rata hampir 2 meter untuk memperbudakkan Malaysia yang cuba turun dengan berbekalkan semangat dan pemikiran positif dalam usaha menandingi naib juara Piala Asia 2004 itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uRJ8tWUF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan