Jumaat, 20 Oktober 2017

Selangor selesa menghuni puncak liga -- Saingan bola sepak Liga Super



ARKIB : 24/12/2007
 
Tonggak Selangor, Indra Putra Mahayuddin (kiri) diasak oleh dua pemain Pulang Pinang di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM – Penyerang utama negara, Safee Sali membuktikan sentuhannya masih berbisa biar pun turun sebagai pemain gantian apabila jaringannya pada minit ke-64 membantu Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah persaingan bola sepak Liga Super 2007/2008 dengan menumpaskan Pulau Pinang 2-1, semalam.

Rembatan kaki kirinya yang tepat sambil berlari kencang sudah memadai untuk mencatat kemenangan sulung Red Giants di Stadium Shah Alam selepas empat perlawanan saja masuk menggantikan sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin kurang seminit sebelum itu.

Malah, dia nyaris menambah gol Selangor sekiranya rembatan kaki kanan dalam masa kecederaan babak kedua perlawanan tidak terkena tiang gol Pulau Pinang.

Namun, igauan ngeri Selangor tiba-tiba muncul pada minit ke-53 apabila pemain gantian Pulau Pinang, S. Thiagaran melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol, Megat.

Selangor bagaimanapun cuma membenarkan gol pendahuluan lawan bertahan selama seminit apabila ketua pasukannya, Fadzli Saari merembat gol penyamaan dari jarak dekat hasil sepak bebas Frank Seator.

Minit ke-10 menyaksikan Selangor terlepas peluang keemasan untuk membuka jaringan selepas penyerang import dari Liberia, Seator gagal menyudahkan situasi satu sama satu ketika berdepan penjaga gol Penang, Faizal Yusuf.

Bola kawalan bekas pemain import Perak itu dengan pantas dikuis lawan biar pun sempat diperoleh semula sebelum disepak tinggi dari gawang pasukan pelawat.

Pada minit ke-16, Seator sekali lagi dikecewakan oleh Faizal, yang berjaya menumbuk keluar sepakan percumanya yang deras dari sebelah kanan di luar kotak penalti Pulau Pinang.

Pasukan pelawat bimbingan Mohamad Bakar sempat melakukan serangan balas dan cuba mengejutkan tuan rumah tetapi tolakan Azrul Ahmad masih dapat ditampan bek tuan rumah, Razman Roslan, dua minit kemudian.

Tolakan ke kiri gol Pulau Pinang pada minit ke-30 oleh pemain lincah Selangor, Mohd. Amri Yahyah juga tidak banyak merubah keadaan apabila sekadar tersasar beberapa inci.

Faizal pula terus menjadi batu penghalang Selangor apabila tumbukannya menyekat sepakan bebas dan percubaan jarak jauh oleh pemain tuan rumah, Shafiq Rahim dan Nasriq Baharom minit ke-32 dan 33.

BARISAN PEMAIN

SELANGOR: Megat Amir Faizal Al Khalidy Ibrahim, Razman Roslan, Ivan Chi Hulo, Frank Seator, R. Surendren, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin (Safie Sali), Nasriq Baharom, Shafiq Rahim

PULAU PINANG: Faizal Yusuf, Mat Saiful Mohamed, Suhaidi Akmal Md. Noor, M. Prakash, K. Puvinderan Naidu, Azrul Ahmad, Farizal Rozali, Zailani Jaafar, Farkhis Fisol (S. Thiagaran), Zulhisham Jamaluddin, Amir Shahreen Mubin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3iFrQ5H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan