Sabtu, 25 November 2017

Sathia mahu panggil Indra Putra

ARKIB : 09/05/2008
PETALING JAYA - Jurulatih negara, B. Sathianathan berhasrat memanggil pemain Selangor, Indra Putra Mahayuddin bagi persediaan menghadapi Piala Antara Benua di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dari 15 hingga 25 Mei ini selepas terpaksa melupakan khidmat Safee Sali akibat kecederaan.

Nama Indra yang kerap bermain sebagai pemain tengah menyerang atau sayap kiri Gergasi Merah sepanjang Liga Malaysia, bakal dipertimbangkan untuk kejohanan bola sepak bawah 23 tahun itu bagi memenuhi kuota tiga pemain lebih usia yang disyaratkan bagi setiap pasukan.

Dua lagi pemain lebih usia yang kini menyertai 27 pemain yang berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya ialah bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah dari Pahang dan ketua pasukan Selangor, Shukor Adan.

"Saya akan cuba mengkaji prestasi pasukan dalam perlawanan persahabatan dengan Maldives (hari ini) terlebih dulu. Buat sementara, saya mungkin mencuba Khyril Muhymeen Zambri sebagai penyerang di samping Zaquan Adha Radzak," kata Sathianathan.

Safee dan abang kembar Zaquan yang juga bek tengah, Aidil Zafuan Radzak memerlukan tempoh seminggu untuk pulih daripada kecederaan ketika Liga Super, Ahad lalu sekali gus tidak sempat menghadapi kejohanan melibatkan lapan negara yang julung kali diadakan itu.

"Saya mempunyai pilihan penyerang tempatan yang terhad apatah lagi dari kalangan mereka yang berusia bawah 23 tahun," katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zRqIFxA9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan