Rabu, 6 Disember 2017

Brunei pancing Indra, Shukor

ARKIB : 24/09/2008
KUALA LUMPUR - Dua bekas pemain Selangor, Indra Putra Mahayuddin dan Muhammad Shukor Adan berada dalam senarai teratas pemain yang diburu kelab DPMM FC dari Brunei dalam usaha pasukan itu mengukuhkan cabaran mereka dalam Liga Super Malaysia musim depan.

Perkara ini didedahkan oleh pengurus pasukan, Eady Sardi Abdul Razak yang mengatakan kedua-dua pemain kebangsaan Malaysia itu merupakan pemain berkualiti.

''Kami ingin cuba mendapatkan kedua-dua pemain," kata Eady Sardi ketika dihubungi semalam bagi mengesahkan laporan dalam laman web kelab itu.

Ditanya sama ada mereka telah berhubung dengan kedua-dua pemain itu, beliau berkata: " Kami belum lagi berhubung dengan mereka kerana mereka mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan di Eropah."

"Kami merancang untuk berbincang dengan mereka selepas Hari Raya Aidilfitri.''

Dalam pada itu, Eady enggan memberikan maklumat berkenaan gaji yang akan ditawarkan kepada Indra Putra and Muhammad Shukor.

Permintaan terhadap pemain tempatan mula meningkat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan pada Ogos lepas untuk melarang khidmat pemain import dalam Liga Malaysia bermula musim depan.

Dalam saingan Liga Super musim lepas, DPMM, yang menduduki tempat ke-10 liga, menggunakan khidmat dua pemain import iaitu penyerang Keita Mandjou dari Guinea dan pertahanan Croatia Rene Komar.

Selain Indra Putra dan Muhammad Shukor, Eady Sardi juga mendedahkan bahawa kelab itu dalam tempoh dua minggu lepas telah menguji empat pemain Malaysia - penjaga gol Khairul Izwan Jamaluddin (Melaka), pemain midfield Md Norhisham Hassan dan pertahanan tengah Durahim Jamaludin (kedua-duanya dari Polis Diraja Malaysia) serta penyerang Sarawak Md Irme Mat.

Sementara itu, pemain tengah Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya dijangka tiba tidak lama lagi untuk ujian.

"Buat masa ini kami belum memutuskan pemain yang akan dipilih," katanya sambil menambah, usaha mendapatkan khidmat penyerang Sabah Bobby Gonzalez masih tidak mencapai kata putus kerana pemain itu belum lagi memberikan jawapan.

DPMM kini dilatih oleh Vjeran Simunic dari Croatia.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50T9IURru

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan