Ahad, 10 Disember 2017

Brunei tawar gaji lumayan

ARKIB : 14/10/2008
KUALA LUMPUR - Pasukan Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota (Brunei DPMM) telah membuat tawaran kepada dua bekas penyerang Selangor, Indra Putra Mahayuddin dan Muhammad Shukor Adan untuk membantu pasukan itu mengharungi Liga Malaysia musim 2009.

Pengurus pasukan, Pengiran Muhd. Waslimin Pengiran Abdul Momin berkata, kedua-dua pemain itu menjadi pilihan kerana mempunyai kualiti yang diperlukan Brunei DPMM.

"Kita telah menghubungi ejen mereka termasuk menghantar surat tawaran. Kita akan berjumpa mereka selepas kejohanan Pestabola Merdeka, di mana kedua-dua mereka mewakili pasukan kebangsaan Malaysia," katanya.

Pengiran Muhd. Waslimin memberitahu, selain menawarkan gaji lumayan, Indra Putra dan Shukor Adan akan diberi insentif seperti bonus tambahan bagi setiap kemenangan di samping memenuhi permintaan mereka yang lain.

"Sekiranya mereka bersetuju, mereka boleh menyertai sesi latihan kita November ini di Bandar Seri Begawan," katanya.

Selain Indra Putra dan Shukor Adan, Pengiran Muhd. Waslimin berkata, pasukannya juga cuba mendapatkan penjaga gol UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussain.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50vqk7mgf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan