Ahad, 10 Disember 2017

Indera pelengkap senarai pemain bintang Kelantan?

ARKIB : 15/10/2008
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU - Indera Putra Mahayuddin kini antara yang hangat diperkatakan akan memperkasakan skuad Kelantan dalam musim baru Liga Malaysia.

Sejauh mana kebenarannya, belum disahkan kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) setakat ini masih enggan mendedahkan seorang lagi pemain yang bakal mengisi kesebelasan utamanya.

Apa pun pemain yang masih dirahsiakan itu berpengalaman dan pernah mewakili Selangor.

Kedatangan pemain terbabit akan melengkapkan pasukan tersebut dalam usahanya menyuntik nafas baru dan kembali meletakkan skuad Kijang sebagai salah sebuah pasukan elit di negara ini.

Bekas pemain kebangsaan yang beraksi di bahagian tengah itu dikatakan akan tiba dalam tempoh terdekat selepas urusan mengenai kontraknya selesai.

Beliau adalah antara beberapa pemain luar yang diintai pasukan Kijang bagi mencapai hasrat menggenggam sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Apa pun, Naib Presiden KAFA, Affandi Hamzah masih berteka-teki dan enggan mendedahkan identiti pemain terbabit walaupun antara yang menjadi bualan umum ialah Indera.

"Saya sahkan kita memang dalam proses untuk membawa beberapa lagi pemain luar untuk menyertai pasukan ini, kita akan mengumumkannya selepas mendapat keputusan muktamad daripada mereka dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis suai kenal antara pemain dan jurulatih Kelantan yang baru, Peter James Butler di Majlis Sukan Negeri di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kelantan telah mendapatkan khidmat lima pemain berpengalaman iaitu Khalid Jamlus, Ahmad Azlan Zainal, Che Hishamuddin Hassan, Norfarhan Mohd. dan Daudsu Jamaluddin untuk memperkuatkan pasukan tersebut.

Affandi berkata, Butler masih diberikan kebebasan untuk memilih pemain baru walaupun pihak pengurusan telah membawa beberapa pemain luar ke dalam skuad itu.

"Masih ada beberapa lagi kekosongan yang ada dalam pasukan ini walau pun kita telah membawa beberapa pemain baru, ia disebabkan kita mahu memberi ruang kepada jurulatih untuk mengesan beberapa lagi pemain yang bersesuaian.

"Untuk musim ini kita telah menggugurkan kira-kira 15 pemain yang tidak menunjukkan prestasi terbaik dan hanya memanaskan bangku simpanan pada musim lepas," ujarnya.

Dalam pada itu, Butler berkata, masih terlalu awal baginya untuk meletakkan harapan yang tinggi kepada para pemain pasukan itu pada musim ini.

Jurulatih yang berasal dari England itu berkata, beliau akan berusaha keras dan berharap pemain akan menunjukkan komitmen yang tinggi pada musim ini bagi memastikan mereka layak ke Liga Super pada musim depan.

"Memang sukar untuk saya untuk menerapkan cara latihan di England di sini kerana keadaannya berbeza seperti fasiliti yang tidak lengkap dan pemain memerlukan masa menyesuaikan diri.

"Bagi saya apa yang penting para pemain harus belajar dan berdisiplin tidak kira ketika latihan atau pun diluar. Jika mereka berjaya melakukannya saya yakin kita mampu untuk melangkah ke Liga Super musim depan," katanya yang fasih berbahasa Indonesia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50w1sdu73

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan