Selasa, 5 Disember 2017

Tanggungjawab punca Shukor, Indra diketepi

ARKIB : 17/09/2008
KUALA LUMPUR - Selangor tidak melanjutkan khidmat dua pemain kebangsaan, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin bagi menghadapi musim baru persaingan bola sepak Liga Malaysia kerana gagal menunaikan tanggungjawab di atas padang setelah sekian banyak peluang diberikan kepada mereka, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Khidmat mereka di samping empat lagi pemain musim 2007-2008 iaitu Akmal Rizal Rakhli, Nuraizat Aziz, Wan Hoesne Wan Hussein dan Megat Amir Faisal Al Khalidy Ibrahim juga diberhentikan demi memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan mereka.

Alasan pengguguran ini dinyatakan oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Zakaria Ab. Rahim sambil menafikannya ada kaitan dengan insiden Shukor dan Indra memukul penyokong di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi selepas perlawanan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan, Jun lalu.

Malah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad menambah: "Antara sebab lain ialah kami tidak dapat memenuhi hasrat mereka yang berkaitan gaji apabila khidmat pemain import ditiadakan sehingga gaji pemain tempatan pula naik melambung."

Sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam, turut mengumumkan pelanjutan 13 pemain musim lalu dan menaikkan tiga pemain skuad Bawah 21 tahun Selangor yang menjulang Piala Presiden serta jurulatihnya, P. Maniam ke skuad Liga Malaysia.

Penyerang negara, Safee Sali mengetuai senarai mereka yang dikekalkan selain R. Surendren, P. Gunalan, Amri Yahyah, D. Surendran, Razman Roslan, Amirulhadi Zainal, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Fazilidin Khalid, S. Sritharan, Zaiza Zainal Abidin dan Fadzirul Zakaria.

"Khidmat tiga pemain skuad Piala Presiden ialah Faizul Azwan Shahrullai (penjaga gol), Fitri Shazwan Raduwan dan Fauzan Dzulkifli (pemain tengah) akan digunakan," kata Mokhtar sambil menambah, pencarian ketua jurulatih Selangor menggantikan Dollah Salleh bagaimanapun masih terbuka di kalangan orang tempatan atau warga asing.

"Saya tidak mahu mendedahkan siapa calon atau pasukan asal mereka yang kini dipertimbangkan oleh FAS kerana ia mungkin melibatkan kontrak mereka dengan majikan sekarang. Jawatan ini masih kosong buat sementara kerana ia mungkin sensitif dengan majikannya," kata Mokhtar.

Katanya, Safiq Rahim, Fadzli Saari, Ghani Rahman dan Suffian Ab. Rahman Kungi Raman merupakan empat pemain Selangor musim lalu yang masih belum menandatangani kontrak lanjutan yang ditawarkan oleh FAS tetapi mereka kini diberikan tempoh tertentu untuk memutuskannya.

Sementara itu, Zakaria meletakkan sasaran meraih Piala Malaysia dan Liga Super musim depan yang bermula 3 Januari ini buat skuad Merah Kuning tetapi ia tidak bererti trofi lain seperti Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah diabaikan kepentingannya.

"Ia hanya sasaran minimum kerana memanglah kalau boleh saya mahu mengumpul kesemua kejuaraan Liga M tetapi keutamaan kejayaan menjuarai Liga Super ialah bakal memudahkan Selangor menyertai Piala AFC 2010," katanya yang sanggup mempertaruhkan jawatannya jika gagal mencapainya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50RSrqCPV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan