Isnin, 3 Disember 2018

Kelantan peroleh gol tunggal perlawanan


ARKIB : 07/11/2009
07/11/2009 10:37pm

Kelantan memperoleh gol saguhati menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahyudin pada masa kecederaan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_45.htm#ixzz5YcCw8zRg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kekuatan Kelantan, NS seimbang


 
ARKIB : 06/11/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Gandingan serangan mantap Indra Putra Mahayuddin bakal diperkuatkan dengan adanya Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad dan Che Hishamuddin Hassan untuk memperkuatkan Kelantan.

KUALA LUMPUR - Walaupun Kelantan bakal mendapat sokongan padu daripada peminat fanatik mereka dalam saingan akhir Piala Malaysia esok tetapi pakar bola sepak menganggap Negeri Sembilan juga mempunyai peluang.

Para jurulatih tempatan dalam Liga Malaysia yakin kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dalam saingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bagi mereka, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan ini diakui Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.

"Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi," katanya.

Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.

Jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula memilih Kelantan akan muncul sebagai juara dengan jaringan 2-1, ia berdasarkan semangat juang dan kepakaran B. Sathianathan dalam merancang taktikal permainan.

Sementara itu, Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris pula berkata: "Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan 2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka."

Bagi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail, kedua-dua pasukan dianggapnya mempunyai peluang seimbang tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan kerana mempunyai ramai bekas dan pemain kebangsaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Selangor, K. Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.

Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.

"Negeri Sembilan pula dilihat hanya mengharapkan kepada kemampuan Zaquan Adha Abd. Radzak," kata bekas jurulatih Kedah itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid pula memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat," katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcBXcKpG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Indra, Nizaruddin jadi tumpuan


ARKIB : 27/10/2009
KOTA BHARU - Perhitungan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Skuad Kijang menentang Singa Utara di Stadium Sultan Muhamad IV malam ini pasti menjadi tumpuan peminat-peminat.

Bagi penyokong, ia bukan setakat pertarungan menegakkan maruah pasukan tetapi ia turut menampilkan pertembungan antara kapten Kelantan, Indra Putra Mahyuddin dengan seterunya, Nizaruddin Yusof.

Gandingan dua penggempur ini pernah membawa pasukan kebangsaan ke perlawanan akhir Sukan SEA edisi ke-21 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum skuad negara tewas kepada Thailand dengan jaringan 0-1.

Bagaimanapun, malam ini, mereka hadir dengan pasukan berbeza yang membawa satu misi iaitu untuk ke pentas akhir Piala Malaysia.

Nizaruddin tampil dengan reputasi 'Kasut Emas' Liga Super musim ini dengan 18 gol yang disumbangkan berjaya membawa Perlis menjadi naib juara kejohanan tersebut.

Ketajaman Indra di pintu gol juga tidak boleh dipertikaikan terutama dengan rekod 14 gol dalam kejohanan sama, berjaya membawa pasukannya menjadi antara yang digeruni.

Sementara itu, dalam kejohanan piala terulung negara pula, kedua pemain ini telah pun berkongsi 15 gol antara mereka dengan Indra menyumbat sembilan.

"Saya tidak nafikan penyokong mungkin akan menilai antara saya dengan Nizaruddin kerana jumlah gol yang telah kami jaringkan.

"Tetapi bagi saya sendiri, ia lebih tertumpu kepada bagaimana pasukan kami bermain dan mencari bekalan yang selesa untuk di bawa ke Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini," kata Indra ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Penjaring terbanyak Liga Malaysia ini turut mengingatkan rakan sepasukannya agar memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut dan tidak terbawa-bawa dengan tekanan.

Separuh akhir hari ini merupakan penampilan pertama skuad Kijang selepas kali terakhir berada di pentas tersebut pada tahun 2000 ketika ditewaskan oleh pasukan Terengganu yang berjaya mendakap piala pada musim itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YburYpO7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Kemenangan yang masih meresahkan


ARKIB : 08/10/2009
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
sukanutusan.com.my
KOTA BHARU - Muncul sebagai pasukan terawal menempah tiket ke suku akhir dengan rekod tanpa kalah, ia mungkin menggembirakan penyokong skuad Kijang tetapi ia kelihatan masih meresahkan B. Sathianathan.

Pasukan bimbingannya menang tipis 2-1 ketika menentang Pulau Pinang, kelmarin ketika banyak lagi peluang terhidang untuk menambahkan jaringan kerana kurangnya persefahaman di barisan penyerang.

Keadaan juga memaksa ketua pasukan, Indra Putera Mahayuddin berperanan di kebanyakan sudut, sekali gus menjejaskan tumpuannya manakala Khalid Jamlus yang turut disandarkan harap telah bertungkus lumus, namun seolah-olah berhadapan masalah stamina.

Ternyata skuad Kelantan bernasib baik diperkukuhkan oleh dua pemain yang dipinjam daripada Felda United, Mohd. Nazarul Irwan dan Norhisham Hassan (T. Team).

Menyorot rentetan perlawanan kelmarin dan sebelum ini, skuad Kijang masih tercari-cari rentak permainan sendiri, malah terikut-ikut dengan persembahan pasukan lawan sehingga hampir mengundang padah.

Dengan formasi yang sering tidak menjadi, hantaran jauh yang tidak kemas, pertahanan yang goyah, tidak sukar bagi pasukan ini untuk ditewaskan oleh saingan di peringkat suku akhir.

Kelmarin, pengalaman Khalid Jamlus serta Indra Putra Mahyuddin memberikan kelebihan dengan gol kemenangan berjaya di peroleh pada minit ke-42 dan 80 sekali gus mematikan semangat Harimau Kumbang untuk bangkit.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menyifatkan anak buahnya belum mencapai prestasi kemuncak dan berharap segala kelemahan dapat diperbaiki segera.

"Malam ini (kelmarin) pemain saya beraksi dalam keadaan tertekan untuk mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri bagi memastikan tempat ke suku akhir, sepatutnya mereka boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya berharap dalam dua baki perlawanan lagi, mereka menunjukkan peningkatan," ujarnya.

Sathianathan turut memuji semangat juang barisan penyerang skuadnya, Khalid, Indra Putra dan Che Hishammudin Hasan yang berada di kelas tersendiri untuk memastikan tiga mata penuh berjaya dikutip.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaP2Mqd7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malam pesta gol


 
ARKIB : 07/10/2009
Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pulau Pinang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan Kumpulan E Piala Malaysia di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 2-1. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan berpesta gol dengan menang jaringan besar.

Pasukan yang menang bergaya adalah Terengganu, Perak, Perlis, Johor FC, Selangor Kedah dan Kuala Muda Naza.

Pasukan yang mencatat kemenangan paling besar, semalam adalah Terengganu yang membelasah Sarawak 7-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun kejayaan Terengganu itu masih meletakkan kedudukan mereka di bawah Negeri Sembilan yang terus mencatat kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Johor 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk mengungguli Kumpulan B.

Perak pula merampas teraju Kumpulan C daripada Johor FC dengan membelasah UPB-MyTeam 6-1 di Stadium Perak dengan Razali Umar Kandasamy dan Azrul Azran Aminuddin masing-masing menyumbang dua gol.

Johor FC walaupun turut mencatat kemenangan yang agak besar iaitu 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium JCorp, Pasir Gudang tetapi terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan yang dimiliki Perak.

Perlis pula membelasah Melaka 5-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar dengan Nizaruddin Yusof menyumbat dua gol di samping masing-masing satu gol menerusi Azmizi Azmi, Mohd. Badrul Azam Zamri dan Mohd. Firdaus Fauzi.

Bagaimanapun, kemenangan itu gagal membantu Perlis memintas KL Plus yang terus menerajui Kumpulan A hasil kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kumpulan D menyaksikan Selangor mengekalkan penguasaan di tempat teratas selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Shah Alam.

Walaupun ketinggalan hasil gol Zainizam Marjan namun juara Liga Super itu bangkit dengan empat gol menerusi Mohd. Amri Yahyah (2), Safee Sali dan Hardi Jaafar.

Kuala Muda Naza pula mengekori belakang Selangor hasil kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan Farderin Kadir menjaringkan dua gol sambil dibantu jaringan Akmal Rizal.

Kelantan biar pun mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir.

Pasukan paling lega semalam sudah pasti Kedah yang akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia musim ini dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaHYrziN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 November 2018

Perlis terus berkuasa


 
ARKIB : 20/05/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) diasak pemain Perlis, Chan Wing Hoong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/Mohd. Nazudeen Mahmud.

KUALA LUMPUR - Perlis terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super apabila menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua gol pasukan pelawat yang disumbang K.Soley dan Zuraindey Jumai manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Indra Putra Mahayuddin.

Kelantan yang masih belum mencatatkan kemenangan sejak tewas pada perlawanan akhir Piala FA kepada Selangor bulan lepas gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri.

Corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan sejak sepak mula dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Perlis terlebih dahulu memperoleh peluang membuka jaringan pada minit keempat namun rembatan Ahmad Shazwan Zainol tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail.

Selang seminit kemudian Kelantan pula mendapat peluang untuk berada di depan namun rembatan Norfarhan Mohamad yang memperoleh hantaran dari Indra tersasar tatkala penjaga gol Perlis, Farizal Marlias yang meluru keluar sudah tertewas.

Pasukan Singa Utara akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ketujuh apabila Soley menghukum kesilapan pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menerusi rembatan jarak dekat.

Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila Norfarhan melakukan hantaran pendek dalam petak penalti kepada Indra yang tidak teragak-agak melakukan rembatan deras menewaskan Farizal.

Wira Merah hampir menambah gol kedua pada minit ke-35 tetapi sepakan Indra dari sudut sukar di sebelah kanan pintu gol Perlis berjaya ditepis keluar Farizal.

Empat minit sebelum babak pertama tamat, Perlis memperoleh gol kedua apabila Sharizan gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Fauzie Nan membolehkan Zuraindey Jumai yang tidak dikawal menolak mudah bola ke dalam gawang.

Pada separuh masa kedua Kelantan mengasak bertubi-tubi ke gawang Perlis namun gandingan pertahanan, Fauzie dan Amzar Junaidi Abd. Jalil kental bertahan.

Pada minit ke-60 Kelantan memperoleh peluang untuk menjaringkan gol apabila sepakan percuma yang diambil Azlan menuju tepat kepada Norfarhan namun rembatan pemain kelahiran Terengganu itu tepat ke arah Farizal.

Pasukan di tangga kedua liga, Selangor pula dipaksa berhempas pulas sebelum menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Kemenangan hasil jaringan Safee Sali (m-56) itu membolehkan skuad bimbingan K. Devan terus menekan Perlis dalam perebutan takhta liga.

Negeri Sembilan pula mempersia-siakan peluang melonjak ke tangga ketiga liga apabila tewas mengejut kepada pasukan kedua tercorot, Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Xv9P0pcw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Mac 2018

Harapan tinggi penyokong Kelantan


ARKIB : 20/04/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

PENYOKONG-penyokong Kelantan menyambut kepulangan skuad negeri itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Sambutan bagaikan juara! Itu yang diterima oleh para pemain pasukan Kelantan yang melakar sejarah layak ke perlawanan akhir Piala FA setelah menanti sejak 39 tahun untuk menjulang salah satu piala kebanggaan di peringkat negara.

Mereka dikejutkan dengan sambutan penyokong setia dari Kelab Penyokong Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira pukul 3.30 petang, semalam setelah pulang dengan menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Presiden Kelab Penyokong Kelantan, Harun Ali berkata, sambutan itu diadakan bagi meniup semangat para pemain supaya memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir Sabtu ini.

"Mereka telah mencatatkan sejarah yang sekian lama ditunggu-tunggu oleh peminat setia pasukan ini. Jadi sambutan ini hanya penghargaan kami kepada mereka kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah di luar padang.

"Kami amat berharap supaya mereka beraksi dengan baik pada perlawanan akhir dengan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Ismail Petra di sini, semalam.

Pada perlawanan, kelmarin strategi utama Wira Merah berjaya membuahkan hasil walaupun terpaksa bertarung di gelanggang lawan dekat Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Kelantan layak ke perlawanan akhir selepas menang 2-l ke atas Negeri Sembilan menjadikan agregat 2-2 dan mara dengan peraturan jaringan di tempat lawan.

Kejayaan ke perlawanan akhir Piala FA sangat manis bagi pasukan tersebut kerana mereka terpaksa menempuh kepayahan termasuk tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri sehingga ke penghujung musim.

Malah, mereka juga terpaksa melupakan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi yang digantung sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan lagi.

Dalam pada itu, hero Wira Merah, Indra Putra Mahayuddin yang menjaringkan gol kemenangan pasukan itu berkata, kekentalan kesemua barisan pemain yang beraksi tanpa mengenal erti kalah menjadi kunci kemenangan yang penuh gemilang malam, kelmarin.

"Kita juga terkejut dengan gol awal daripada tuan rumah tetapi terus bermain dengan tekad untuk mencipta kemenangan.

"Mujur kita mampu bertahan dengan baik dalam penuh tekanan dan pada masa yang sama berjaya menghasilkan gol untuk memberi kelebihan kepada kita," tambahnya.

Tambahnya, semua pemain pasukan tersebut berada pada tahap moral tertinggi untuk bertemu dengan Selangor pada Sabtu ini dan mahu menyiapkan sejarah yang mula dilakar.

Katanya, semangat anggota pasukan membara untuk memberikan hadiah paling bermakna untuk rakyat Kelantan yang mencintai sukan bola sepak
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5ACsBz7Bu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Kelantan 1 Selangor 1


ARKIB : 12/04/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kiri) diasak oleh lawan dari Selangor, Mohd. Razman Roslan dalam saingan Liga Super di Stadium
Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Mingguan/HAFIZH KHOSMAT

KUALA LUMPUR - Rancak di padang, penonton tenang. Itulah situasi perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan menentang Selangor di Stadium Bukit Jalil yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan tanpa mengundang sebarang insiden tidak diingini, semalam.

Seramai 300 anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal ketat setiap sudut stadium, begitu juga 100 pegawai dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang mahu memastikan peristiwa hitam di Stadium Muhammed IV tidak berulang.

Kelantan yang turun sebagai tuan rumah membuka jaringan menerusi aksi cantik pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin pada masa kecederaan separuh masa pertama, sebelum Mohd. Safee Sali menyamakan kedudukan Selangor pada minit ke-79.

Kehadiran seimbang, 10,000 penyokong tuan rumah dan Selangor menyaksikan tiada insiden balingan objek ke dalam padang seperti yang berlaku pada perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Februari lalu.

Penyokong kedua-dua pasukan kelihatan lebih bersopan menyaksikan perlawanan pantas dan saling menyerang, biarpun pengadil Subkhidin Salleh melayangkan dua kad kuning kepada pemain Kelantan, Indra dan Mohd. Zamri Ramli.

Gol pembukaan Kelantan hadir pada masa kecederaan babak pertama hasil hantaran lambung Mohd. Norfarhan Mohamed yang disambut Indra dalam kotak penalti sebelum dia melakukan aksi akrobatik untuk menewaskan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Ketinggalan 0-1 bagaimanapun tidak mematahkan semangat Selangor untuk bangkit menyamakan kedudukan, 11 minit sebelum tamat permainan selepas Mohd. Safee Sali merembat bola tandukan Rudie Ramli.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A9b9pbaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd