Ahad, 25 November 2018

Perlis terus berkuasa


 
ARKIB : 20/05/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) diasak pemain Perlis, Chan Wing Hoong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/Mohd. Nazudeen Mahmud.

KUALA LUMPUR - Perlis terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super apabila menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua gol pasukan pelawat yang disumbang K.Soley dan Zuraindey Jumai manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Indra Putra Mahayuddin.

Kelantan yang masih belum mencatatkan kemenangan sejak tewas pada perlawanan akhir Piala FA kepada Selangor bulan lepas gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri.

Corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan sejak sepak mula dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Perlis terlebih dahulu memperoleh peluang membuka jaringan pada minit keempat namun rembatan Ahmad Shazwan Zainol tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail.

Selang seminit kemudian Kelantan pula mendapat peluang untuk berada di depan namun rembatan Norfarhan Mohamad yang memperoleh hantaran dari Indra tersasar tatkala penjaga gol Perlis, Farizal Marlias yang meluru keluar sudah tertewas.

Pasukan Singa Utara akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ketujuh apabila Soley menghukum kesilapan pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menerusi rembatan jarak dekat.

Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila Norfarhan melakukan hantaran pendek dalam petak penalti kepada Indra yang tidak teragak-agak melakukan rembatan deras menewaskan Farizal.

Wira Merah hampir menambah gol kedua pada minit ke-35 tetapi sepakan Indra dari sudut sukar di sebelah kanan pintu gol Perlis berjaya ditepis keluar Farizal.

Empat minit sebelum babak pertama tamat, Perlis memperoleh gol kedua apabila Sharizan gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Fauzie Nan membolehkan Zuraindey Jumai yang tidak dikawal menolak mudah bola ke dalam gawang.

Pada separuh masa kedua Kelantan mengasak bertubi-tubi ke gawang Perlis namun gandingan pertahanan, Fauzie dan Amzar Junaidi Abd. Jalil kental bertahan.

Pada minit ke-60 Kelantan memperoleh peluang untuk menjaringkan gol apabila sepakan percuma yang diambil Azlan menuju tepat kepada Norfarhan namun rembatan pemain kelahiran Terengganu itu tepat ke arah Farizal.

Pasukan di tangga kedua liga, Selangor pula dipaksa berhempas pulas sebelum menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Kemenangan hasil jaringan Safee Sali (m-56) itu membolehkan skuad bimbingan K. Devan terus menekan Perlis dalam perebutan takhta liga.

Negeri Sembilan pula mempersia-siakan peluang melonjak ke tangga ketiga liga apabila tewas mengejut kepada pasukan kedua tercorot, Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Xv9P0pcw
© Utusan Melayu (M) Bhd