Sabtu, 11 Mei 2019

Malaysia terus kempunan

ARKIB : 14/10/2004

PENYERANG pasukan negara, Indra Putra Mahayuddin (13) bersaing untuk merebut bola tinggi dengan dua pemain Hong Kong, Lau Chi-keung (6) dan Au Wai Lun (7) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong semalam. Malaysia kalah 2-0. - Gambar Reuters.



HONG Kong memastikan Malaysia terus kempunan mata apabila menundukkan anak-anak buah Bertalan Bicskei 2-0 dalam perlawanan kelima masing-masing pada saingan kelayakan bola sepak Piala Dunia zon Asia di Stadium Mongkok, Hong Kong semalam.
Hong Kong hanya memerlukan lima minit pertama perlawanan untuk membolosi gawang anak-anak buah Bertalan Bicskei menerusi percubaan Siu Kei Chu.
Lima minit selepas babak kedua disambung, Hong Kong menambah gol kedua melalui Chun Yue Wong sekali gus mengulangi kemenangan 3-1 Wilayah Khas China itu ke atas skuad negara di Kuantan dalam perlawanan di pusingan pertama Februari lepas.
Dengan kekalahan semalam, Malaysia terus terperosok di tangga terakhir kumpulan tanpa mengutip mata.
Hong Kong di tangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan ke atas skuad negara.
China mendahului dalam persaingan kumpulan dengan mengumpul 12 mata setelah menang kesemua empat perlawanannya sebelum ini.
Kuwait di tangga kedua dengan sembilan mata setelah hanya kalah kepada China. Malaysia masih mempunyai baki satu perlawanan, melawat Kuwait.
Sementara itu, Korea Utara mencipta kejutan apabila mara ke pusingan akhir kelayakan setelah menang 2-1 ke atas Yemen di Pyongyang.
Kemenangan 3-0 Thailand ke atas Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam satu lagi perlawanan memastikan Korea Utara mara tanpa perlu mengambil kira lagi apa yang akan berlaku apabila mereka bertemu UAE dalam perlawanan terakhir kumpulan lima itu bulan depan.
Korea Utara sentiasa menjadi misteri sejak mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir Piala Dunia 1966 di England - pencapaian yang gagal diulangi oleh mana-mana negara lain di Asia sehinggalah tahun 2002.
Dalam perlawanan lain, negara kecil Maldives, pada satu waktu menjadi gurauan kerana dibelasah 17-0 oleh Iran pada 1997, mencipta kejayaan manis apabila menundukkan Vietnam 3-0 di Male dalam saingan kumpulan tujuh yang tidak lagi membawa makna besar kepada kedua-dua pasukan.
Setakat ini hanya Arab Saudi yang telah layak ke pusingan akhir kelayakan setelah menang 3-1 ke atas Indonesia dalam aksi kumpulan lapan kelmarin.
Jordan pula menghidupkan peluang apabila menang 3-2 ke atas Laos dalam kumpulan satu manakala Singapura membalas dendam ke atas India apabila menang 2-0 di tempat sendiri dalam kumpulan tiga.
Dalam saingan kumpulan enam, Tajikistan menundukkan Kyrgyzstan 2-1. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan