Khamis, 23 Mei 2019

'Jagalah prestij Kasut Emas'


MyMetroArena
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
 
KUALA LUMPUR: Trofi Kasut Emas yang diberikan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian hebat penyerang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) sepatutnya diperbuat daripada bahan berkualiti bagi memastikan ia mampu kekal lama dan tidak rosak.

Bekas penggempur kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin berkata, isu kasut emas ‘cabuk’ ini sepatutnya sudah lama didedahkan supaya diambil tindakan oleh pihak berkenaan.

“Bagi saya sepatutnya kasut emas yang dihadiahkan ini mestilah dapat dibanggakan dan berkualiti serta tahan lama.

“Bukan but biasa yang dicat warna keemasan dan bukan hanya boleh didapati di kedai,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan trofi anugerah Kasut Emas Liga M bukanlah tulen ataupun bersadur emas, sebaliknya ia hanya but bola biasa yang disembur warna keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring gol terbanyak.

Lebih mengecewakan, kasut berkenaan sudah rosak walaupun disimpan rapi seperti disahkan tiga bekas pemenangnya, Mohd Nizaruddin Yusof, Mohamad Ashari Samsudin dan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Menurut Indra Putra, dia terkejut mengetahui Kasut Emas diterima bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan sudah rosak.

“Sepatutnya ini tidak berlaku. Biar pemain yang dapat anugerah ini, dapat sesuatu yang boleh diingati dan dibanggakan. Anugerah Kasut Emas ini bagi saya istimewa atas pencapaian yang diraih pemain terbabit.

“Lebih baik anugerahkan dengan bentuk Kasut Emas yang betul-betul berkualiti,” katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu memperhalusi isu berkenaan supaya trofi Kasut Emas itu setaraf dengan anugerah di luar negara.

“Jadi, buat sesuatu yang unik dan berkualiti. Nak cakap lebih-lebih nanti kena ‘gam’ pula,” katanya yang memaklumkan bernasib baik Kasut Emas miliknya masih elok.

Mengikut rekod, Indra Putra merangkul anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Super 2004.

Berita berkaitan

• Nilai Kasut Emas susut

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:59 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan