Rabu, 1 Mei 2019

Piala FA: KL, FELDA terikat


SUKAN»Bola
Selasa, 30 April 2019 | 11:11pm
 
PEMAIN Kuala Lumpur Indra Putra Mahayuddin (dua, kiri) mengasak pertahanan Felda United pada Suku Akhir Pertama Shopee Piala FA Malaysia di antara Kuala Lumpur menentang Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Piala FA: KL, FELDA terikat
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
CHERAS: Kuala Lumpur memilih jalan berliku dalam usaha merebut tiket ke separuh akhir Piala FA 2019 apabila terikat 3-3 menentang FELDA United pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Selepas membenarkan lawan beroleh tiga gol di tempat lawan, skuad The Hawks kini tidak berdepan pilihan selain perlu mencatat kemenangan ke atas FELDA United pada aksi suku akhir kedua di Jengka, minggu hadapan.

Sekalipun terikat, skuad The Fighters dilihat memiliki peluang cerah ke separuh akhir dan berbekalkan tiga gol di tempat lawan, mereka hanya perlu sekurang-kurangnya seri tanpa jaringan pada aksi kedua nanti untuk meneruskan kemaraan ke kelompok empat pasukan terbaik.

Pada aksi terbabit, kedua-dua pasukan beroleh beberapa peluang untuk mendahului perlawanan pada 20 minit pertama namun gagal merobek gawang selepas percubaan tersasar dan diselamatkan oleh penjaga gol.

Bagaimanapun, FELDA United akhirnya membuka jaringan selepas Abdul Azim Rahim menyambut percubaan Christie Jayaseelan yang terkena tiang pada minit ke-22 namun Indra Putra Mahayuddin berjaya mengikat kedudukan menerusi satu rembatan deras pada minit ke-40.

Babak kedua bersambung, Kuala Lumpur akhirnya ‘bernafas’ apabila mendahului permainan selepas Indra Putra menanduk masuk hantaran lintang Ashri untuk gol keduanya pada minit ke-53.

Kegembiraan Kuala Lumpur tidak kekal lama apabila Abdul Azim menambah koleksi golnya menerusi tandukan yang menewaskan Sharbinee buat kali kedua untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-59.

Kuala Lumpur terus malang apabila FELDA United memperolehi gol ketiga menerusi hantaran S Chanturu yang disudahkan Jocinei Schad pada minit ke-74 namun tuan rumah memberikan reaksi pantas apabila menghasilkan gol penyamaan sumbangan Paulo Josue lima minit berselang.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLNE Selasa, 30 April 2019 | 11:11pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan