Selasa, 22 Januari 2019

Indra azam ledak 100 gol Liga Super

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Hanya lima jaringan lagi diperlukan oleh bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin untuk mencapai 100 gol dalam saingan Liga Super.

Mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 95 gol setakat ini, penggempur Kuala Lumpur itu bagaimanapun menegaskan ia bukan satu tugas mudah meskipun dia hanya memerlukan lima gol bagi mencapai angka bertuah itu.

Jadi, penyerang veteran berusia 38 tahun itu mengakui perlu terus bekerja keras bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), sekali gus memastikan cita-cita yang diimpikan itu dapat dicapai pada musim ini.

"Saya rasa saingan pada tahun ini lebih sengit dan untuk mendapatkan gol, ia bukannya mudah dan memerlukan usaha yang lebih tinggi.

"Saya akan cuba untuk mencapai sasaran 100 gol itu dan jika lebih banyak, ia lebih baik untuk pencapaian diri sendiri.

“Ini mungkin lebih kepada kepuasan diri sendiri dan apabila berada pada tahap tertinggi, ia akan lebih bermakna," katanya.

Sebagai rekod, 95 gol yang diledak oleh Indra itu dilakar ketika bersama dia beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perak, Pahang, Selangor dan juga Kelantan.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Indra mengharapkan skuad The Hawks itu dapat tampil dengan aksi yang lebih mantap, selepas muncul pasukan pasukan paling banyak dibolosi dalam saingan liga musim lalu.

"Banyak yang perlu diperbaiki dan kita tahu kita perlu beraksi dengan lebih baik supaya tidak lagi mudah dibolosi. Jurulatih juga tentu ada perancangan untuk memastikan Kuala Lumpur akan bertambah baik bagi musim 2019.

"Semua pemain tentunya mengimpikan sesuatu dan begitu juga saya, jadi saya mengharapkan pemain dapat memberikan kerjasama dengan bersatu hati untuk meraih sesuatu pada musim ini," katanya.

Rekod musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur dibolosi 51 gol, lebih buruk berbanding dua pasukan yang tersingkir iaitu Kelantan (43 gol) dan Negeri Sembilan (47 gol).
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:27 PM

Sabtu, 19 Januari 2019

Amri tersenarai, Indra gugur

ARKIB : 29/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Amri Yahyah (kanan) tersenarai dalam skuad kebangsaan ke kejohanan Piala Suzuki AFF manakala Indra Putra tercicir atas alasan kecergasannya diragui.
NASIB BERBEZA

KUALA LUMPUR - Tanpa diduga, ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah berada dalam senarai akhir 22 pemain yang akan ke Jakarta hari ini, bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, yang akan bermula Rabu.

Keputusan mengejut penyenaraian Amri itu diiringi pengguguran pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, yang sebelum ini disebut-sebut akan terpilih selain tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar ekoran kecederaan yang masih belum pulih.

Bagi posisi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mempamer prestasi mantap pada Sukan Asia di Guangzhou, terus menjadi pilihan jurulatih, K. Rajagobal dan satu lagi slot diisi Sharbinee Allawee, yang mengenepikan Farizal Marlias.

Menurut Rajagobal, pemilihan Amri berdasarkan faktor pengalaman dan keperluan skuad kebangsaan yang amat kritikal di bahagian serangan.

''Amri diserapkan kerana dengan pengalamannya yang luas dia mampu membimbing pemain muda di bahagian tengah dan serangan.

''Saya memikirkan bahagian serangan adalah posisi paling penting pada masa sekarang dan atas faktor saya terpaksa memilih Amri berbanding Indra yang lebih bertindak sebagai pemain sayap.

''Saya juga tidak dapat memasukkan Indra kerana dia baru sahaja menjalani latihan dengan skuad kebangsaan hari ini. Jadi saya bimbang dengan tahap kecergasannya sama ada dia benar-benar bersedia atau tidak beraksi di sana, '' katanya yang dihubungi, semalam.

Selain itu, Rajagobal turut menyandarkan harapan kepada beberapa pemain muda yang beraksi cemerlang pada Sukan Asia seperti Muslim Ahmad, Faizal Abu Bakar, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd. Fadhli Shas.

Safiq Rahim dan Amri dijangka memegang peranan utama bahagian tengah, sementara Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha mengemudi jentera serangan.

Skuad kebangsaan akan membuka cabaran Piala Suzuki AFF Rabu ini, bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d49ogFm6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Malaya boleh tunjuk belang

ARKIB : 27/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Barisan pemain yang dijangka turun dalam kesebelasan pasukan Harimau Malaya.

MISI di Sukan Asia sudah dipenuhi. Skuad Harimau Malaya berjaya mara ke pusingan kedua dalam tempoh 32 tahun. Ia adalah satu peningkatan yang baik buat bola sepak negara di pentas antarabangsa selepas menggenggam kejuaraan Sukan Sea 2009.

Kini, cabaran seterusnya buat Malaysia adalah di pentas Piala Kejohanan Bolasepak ASEAN (AFF) yang akan membuka gelanggang pada 1 Disember ini.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Laos dan Indonesia selaku tuan rumah.

Sepanjang penyertaan Malaysia di AFF, pencapaian terbaik hanyalah layak ke perlawanan akhir tahun 1996 iaitu pada penganjuran kali pertama kejohanan itu sebelum tunduk kepada Thailand 0-1.

Semenjak detik itu, tiada sebarang pencapaian istimewa yang boleh dibanggakan kerana Malaysia empat kali tersekat di separuh akhir dan gagal melepasi peringkat kumpulan pada tahun 2008.

Sedangkan pasukan jiran, Singapura dan Thailand begitu berbangga dengan kejayaan menjulang trofi itu sebanyak tiga kali sementara Vietnam akhirnya merasai nikmat bergelar juara buat pertama kali dua tahun lalu.

Membuka tirai saingan pada 1 Disember ini pasukan negara berhadapan Indonesia. Skuad kendalian K. Rajagobal itu berdepan ranjau berduri untuk membenam cabaran tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno kerana sudah pasti Indonesia akan bersemangat tinggi mahu menewaskan Malaysia.

Apa yang jelas, Harimau Malaya jelas tiada pilihan lain kerana perlu mengalahkan Sang Garuda jika berhasrat mahu membuka laluan ke separuh akhir dengan lebih mudah.

Selepas berdepan Indonesia, satu lagi cabaran besar menanti anak-anak buah Rajagobal iaitu mendapatkan tiga mata ketika melayani skuad Gajah Putih yang dibimbing oleh bintang legenda England, Bryan Robson.

Seandainya Malaysia mampu mencatatkan dua kemenangan atau mencatat satu menang dan satu seri, bekalan itu sudah cukup selesa kerana pada perlawanan terakhir yang dijadualkan di Palembang, skuad negara akan bertemu Laos.

Percaturan Rajagobal di AFF perlu berbeza dengan Sukan Asia kerana tenaga pemain Bawah 23 tidak boleh dipertaruhkan sepenuhnya apabila semua negara bertanding menghantar skuad senior menggalas cabaran di kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara.

Antara tonggak senior yang mungkin menjadi harapan Malaysia ketika aksi kumpulan di Jakarta adalah Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan S. Kunanlan bagi mengekang kekuatan Sang Garuda dan Gajah Putih.

Malah kebenaran jawatankuasa AFF untuk membuka kelonggaran menggantikan tiga pemain yang cedera adalah satu berita yang menggembirakan buat kem Malaysia yang kehilangan Ahmad Fakri Saarani, Norhafiz Zamani Misbah dan Nasriq Baharom ekoran kecederaan di saat akhir.

Tiga nama baru yang menjadi ganti ialah bintang Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Razman Roslan dan pemain Harimau Muda B, A.Thamil Arasu.

Menilai aksi Malaysia di Sukan Asia, beberapa posisi harus diberikan pujian seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pertahanan yang memberikan aksi cukup positif.

Prestasi cemerlang itu memungkinkan Rajagobal akan memilih Khairul Fahmi sekali lagi menjadi pengawal di gawang negara yang mungkin menyukarkan peluang buat Sharbinee Allawee dan Farizal Marlias kembali mencuri slot penjaga gol nombor utama.

Tiga nama menjadi calon pilihan utama iaitu Mohd. Sabre Mat Abu, Khairul Helmi Johari dan Razman Roslan untuk menjaga benteng negara daripada dibolosi lawan di samping Azmi di bek kiri serta Mahalli Jasuli mengisi bahagian bek kanan.

Dua tonggak Harimau Muda, Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas yang beraksi sebahagian besar perlawanan di Sukan Asia mungkin perlu direhatkan di bangku simpanan kerana jelas pengalaman masih belum memihak kepada mereka.

Di bahagian tengah, Baddrol Bakhtiar yang terlepas aksi di Sukan Asia kerana faktor kecederaan dan kapten, Safiq Rahim sambil dibantu S. Kunanlan akan menjadi watak penting sebagai perancang utama kepada serangan skuad negara.

Rajagobal dijangka akan menurunkan Norshahrul dan Safee mengemudi bahagian serangan selepas kehilangan Fakri Saarani yang terpaksa berehat panjang kerana kecederaan.

Apa yang pasti, kelibat Malaysia pada masa kini sememangnya amat digeruni oleh lawan terutamanya Indonesia dan ia terbukti menerusi kenyataan pengurusnya, Andi Darussalam Tabussala.

Menurutnya, kekuatan Malaysia selaku juara Sukan Sea 2010 wajar dihormati dan ia satu tugas berat buat negaranya kerana perlu berdepan skuad negara pada perlawanan pembukaan Kumpulan A.

‘‘Perlawanan dengan Malaysia menjadi kunci utama kepada kemaraan Indonesia ke pusingan separuh akhir dan kami akan cuba menggunakan kelebihan selaku pasukan tuan rumah, ’’ jelasnya.

Jika dinilai kenyataan itu, kekuatan Malaysia jelas semakin dihormati lawan di benua Asia Tenggara dan inilah peluang terbaik skuad negara meraih kejayaan pertama menjulang trofi Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun.

Tiada apa yang mustahil buat skuad negara kerana kekuatan Thailand dan Indonesia sebenarnya begitu seimbang dan melalui semangat Malaysia Boleh!, kedua-dua lawan itu mampu dijinakkan dan seterusnya membuka pintu separuh akhir.

Separuh akhir dan perlawanan akhir akan dijalankan secara format timbal balik iaitu di venue negara yang layak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_01.htm#ixzz5d48JmOv3
© Utusan Melayu (M) Bhd

AFF beri kelonggaran


ARKIB : 26/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
khidmat pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin diperlukan bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera untuk aksi Piala AFF di Jakarta, Indonesia, Disember ini.

PETALING JAYA - Hasrat jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk menggantikan tiga pemain tercedera akhirnya tercapai apabila mesyuarat Perwakilan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memberi kelonggaran kepada Malaysia menyenaraikan tiga pemain baru.

Berita gembira itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir selaku wakil FAM untuk mendengar hasil keputusan yang dibentangkan oleh perwakilan AFF, semalam.

Menurutnya, Malaysia diberi masa sehingga esok untuk mendaftarkan tiga pemain tersebut sebelum pukul 5 petang.

''Perwakilan AFF hanya membenarkan tiga sahaja pemain baru untuk didaftarkan setelah meneliti rayuan yang kami kemukakan.

''Saya akan berbincang bersama K. Rajagobal terlebih dahulu mengenai senarai tiga pemain tersebut kerana mungkin dia mempunyai strategi lain di saat akhir.

''Bukan sahaja skuad kebangsaan kita yang menghadapi masalah, Thailand dan Vietnam juga turut mengemukakan rayuan yang sama,'' katanya.

Baru-baru ini, Rajagobal mendedahkan bahawa dia telah menghantar tiga nama pemain baru iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Razman Roslan dan A. Thamil Arasu bagi menggantikan pemain yang tercedera kepada jawatankuasa pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.

Antara tiga tonggak yang cedera itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nasriq Baharom.

Malaysia akan menghadapi Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno pada 1 Disember ini sebelum bertemu Thailand (4 Disember) dan Laos (7 Disember).

Selain itu, Azzuddin berkata FAM mempunyai perancangan untuk berjumpa wakil Brendan Gan, 24, yang difahamkan berminat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sekiranya diberikan peluang.

''FAM akan usahakan dalam masa terdekat menemui Brendan, namun ia perlu mendapat makluman Jawatankuasa Teknikal terlebih dahulu dan mendapat perkenan Presiden, Sultan Ahmad Shah.

''Banyak perkara perlu kami teliti terlebih dahulu seperti profil dan laporan prestasi Brendan sebelum kami mengemukakan tawaran bermain bersama skuad kebangsaan, '' katanya.

Brendan yang beraksi di posisi tengah dilahirkan di Australia namun ayahnya berasal dari Negeri Sembilan dan kini sedang beraksi bersama Sydney United dalam Liga Australia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5d46MfK7D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Indra dalam senarai Rajagobal


ARKIB : 24/11/2010
KUALA LUMPUR - Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan dan A. Thamil Arasu dicalonkan jurulatih K. Rajagobal sebagai pengganti tonggak skuad bola sepak negara yang tercedera dalam senarai awal 30 pemain ke Piala Suzuki AFF yang bermula bulan depan.

Nama pemain Kelantan, Selangor dan Harimau Muda B itu dikemukakan dalam rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu ini kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan keputusan sama ada mereka boleh diterima atau tidak, bakal diketahui esok.

Khidmat mereka amat diperlukan ekoran kecederaan serius yang menimpa Nasriq Baharom, Ahmad Fakri Saarani dan Norhafiz Zamani Misbah sebelum dan ketika Sukan Asia XVI Guangzhou, baru-baru ini.

"Kami masih cuba menyenaraikan tiga pemain baru ini walaupun tarikh penyerahan senarai 30 pemain itu sudah tutup dan kita tengoklah kalau rayuan FAM itu dapat diterima penganjur," katanya dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sebelum ke Guangzhou, skuad negara turut kehilangan ramai tonggak seperti Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Azmi Muslim.

Anak buah Rajagobal bakal beraksi dalam Kumpulan A Piala Suzuki AFF dengan menentang Indonesia (1 Disember) dan Thailand (4 Disember) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan Laos di Stadium Jalak Harupat, Bandung (7 Disember).

Piala Suzuki AFF atau dulunya Piala Tiger atau Kejohanan AFF pernah menyaksikan Malaysia bergelar naib juara 1996 di Singapura tetapi kita terkandas di peringkat kumpulan di Phuket, dua tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5d3gVgPie
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2019

Indra, Aidil tagih komitmen tinggi


ARKIB : 30/10/2010
Indra, Aidil tagih komitmen tinggi
KUALA LUMPUR - Indra Putra Mahayuddin dan Aidil Zafuan Radzak pernah sama-sama menyarung jersi negara di pentas antarabangsa dan cukup arif dengan asam garam bola sepak biarpun masing-masing bakal bertembung sebagai dua pihak yang bertentangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu akur dengan kesulitan jurulatih kedua-duanya dalam menampilkan barisan terbaik dalam merebut Piala Malaysia pada edisi ke-44, namun lebih yakin bahawa hanya prestasi malam ini yang bakal lebih dikenang peminat dan bukannya atas alasan siapa yang turun tanpa pemain bintang.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Kalau tiada yang utama (Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam), yang kedua pun masih tidak kurang hebatnya dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan jurulatih dengan baik. Yang penting kami kena fokus dan belajar daripada pengalaman perlawanan akhir tahun lalu,'' katanya.

Indra Putra pernah menjulang Piala Malaysia 2000 dengan Perak tetapi tuahnya itu belum berulang ketika berhijrah ke Pahang dan Selangor, malah sempat menjaringkan gol tunggal Kelantan yang dikecewakan Negeri Sembilan 3-1, tahun lalu dengan jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha.

''Saya akui sedikit sebanyak kehilangan tonggak senior (Rezal Zambery Yahya) pasti dirasai pasukan malah tanpa Zaquan (Adha Radzak, adik kembarnya), kami masih mara sejauh ini kerana kami sentiasa percayakan kerja sepasukan dan tidak terlalu bergantung kepada seseorang. Apa yang turut akan diutamakan (malam ini) ialah mengelakkan sebarang kesilapan,'' jelas Aidil Zafuan.

Indra Putra yang dihampakan Rezal dan rakan sepasukan Si Rusa 3-1 di gelanggang sama, tahun lalu, mengakui faktor pengalaman masih memainkan peranan dalam persembahan mereka malam ini, namun ia turut mampu ditampung dengan komitmen tinggi setiap pemain dalam memastikan Kelantan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal pada 1955 dan 1970.

"Mungkin masih yang beranggapan bahawa tahun lepas kami kalah kerana ramai pemain muda yang belum pernah merasai pengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia apatah lagi dengan dikelilingi ribuan penyokong sendiri dan lawan yang jumlahnya luar biasa.

"Kesilapan memang mudah berlaku dalam perlawanan segenting ini tetapi ingatan saya kepada rakan sepasukan ialah jangan terlalu takut jika tersilap kerana ia bakal mengundang kesilapan lebih besar, cuma sentiasa kena fokus permainan,'' kata Indra Putra.

Sementara itu, seorang lagi tonggak senior Piala Malaysia yang sudah enam kali merasai enam perlawanan akhir kejohanan berprestij kebangsaan ini, Shukor Adan secara berseloroh berkata, kelainan kali ini mungkin Hairuddin Omar bermain dengan Kelantan pula berbanding pada tahun lalu kerana bersama kami, Negeri Sembilan.

"Saya harap pasukan kami mengekalkan momentum permainan seperti menjuarai Piala Malaysia tahun lalu yang berasaskan semangat sepasukan dan hasil pengalaman dan kemampuan ketika berjaya berdepan ribuan penyokong Kelantan dalam Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Kami perlu kekang barisan serangan Kelantan yang diakui lebih berbisa bagi saya, tugas di bek tengah akan tetap ditunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxIW5Pwa
© Utusan Melayu (M) Bhd


Pisang tidak berbuah dua kali - Indra


ARKIB : 29/10/2010
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
 
Skuad Kelantan giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Penampilan kali keempat di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia mahu digunakan sebaik mungkin oleh ketua pasukan The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin membantu pasukannya meraih kejayaan musim ini.

Menurut Indra, dia yakin pasukan yang diwakilinya mampu menempa kejayaan kali ini selepas dikecewakan 1-3 oleh Negeri Sembilan di hadapan lebih 50,000 penyokong setia The Red Warriors musim lalu.

"Tahun lepas kita tewas dan peluang kali ini merupakan perlawanan ulangan bagi kami. Lantaran itu saya dan rakan-rakan akan buat yang terbaik untuk perlawanan tersebut.

"Saya yakin kita mampu muncul juara berdasarkan kepada pemain yang ada. Saya mohon rakan-rakan sepasukan untuk memberikan tumpuan yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut berlangsung," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Dia menjangkakan perlawanan kali ini sengit dan Negeri Sembilan tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.

"Kita akui Negeri Sembilan sebuah pasukan yang kuat, mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman serta mereka berjaya mendakap Piala FA musim ini," katanya.

Sementara itu, bagi perancang tengah Kelantan, Mohd. Badri Radzi yang tidak beraksi pada perlawanan akhir lalu menyimpul azam untuk membantu pasukannya merangkul kejuaraan piala berprestij itu buat kali pertama.

"Musim lalu saya tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat panjang. Peluang beraksi yang diberikan kali ini akan digunakan sebaik-baik mungkin.

"Ini merupakan penampilan pertama di pentas akhir Piala Malaysia bersama Kelantan dan peluang ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja," katanya ketika di temui.

Sebagai anak jati Kelantan beliau bertekad untuk menebus kembali maruah pasukannya selepas aib kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir tahun lalu.

"Jika sebelum ini kita tewas, tahun ini saya mahu buktikan bahawa kita mampu mencipta sejarah buat kali pertama sebagai hadiah buat peminat setia.

"Untuk itu, saya dan rakan-rakan telah bersiap sedia turun berjuang dan berdepan dengan lawan yang sama pada tahun lalu," ujarnya.

Ditanya mengenai peluang Kelantan, Badri memberitahu kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang.

"Walaupun rekod sebelum ini agak berpihak kepada Negeri Sembilan, namun berdasarkan pengalaman lalu, kita maklum di mana letaknya kelemahan dan kelebihan pasukan lawan.

"Pada perlawanan kali ini, saya dan semua pemain kami akan berjuang habis-habisan dan memastikan kejuaraan menjadi milik Kelantan," ujarnya penh semangat.

Malah, katanya dia dan rakan-rakan sepasukan tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan Sabtu ini.

"Jika Negeri Sembilan mahu mengekalkan piala tersebut di tangan mereka, kami pemain The Red Warriors pula bertekad untuk rampas piala tersebut dan membawanya pulang ke Kota Bharu," tegasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxHK2UDt
© Utusan Melayu (M) Bhd