ARKIB : 29/10/2010
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
Skuad Kelantan giat menjalani
latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Penampilan kali
keempat di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia mahu digunakan sebaik mungkin
oleh ketua pasukan The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin membantu pasukannya
meraih kejayaan musim ini.
Menurut Indra, dia yakin pasukan
yang diwakilinya mampu menempa kejayaan kali ini selepas dikecewakan 1-3 oleh
Negeri Sembilan di hadapan lebih 50,000 penyokong setia The Red Warriors musim
lalu.
"Tahun lepas kita tewas dan
peluang kali ini merupakan perlawanan ulangan bagi kami. Lantaran itu saya dan
rakan-rakan akan buat yang terbaik untuk perlawanan tersebut.
"Saya yakin kita mampu
muncul juara berdasarkan kepada pemain yang ada. Saya mohon rakan-rakan
sepasukan untuk memberikan tumpuan yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut
berlangsung," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Dia menjangkakan perlawanan kali
ini sengit dan Negeri Sembilan tidak akan memberikan laluan mudah buat
Kelantan.
"Kita akui Negeri Sembilan
sebuah pasukan yang kuat, mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman
serta mereka berjaya mendakap Piala FA musim ini," katanya.
Sementara itu, bagi perancang
tengah Kelantan, Mohd. Badri Radzi yang tidak beraksi pada perlawanan akhir
lalu menyimpul azam untuk membantu pasukannya merangkul kejuaraan piala
berprestij itu buat kali pertama.
"Musim lalu saya tidak dapat
beraksi kerana mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat panjang.
Peluang beraksi yang diberikan kali ini akan digunakan sebaik-baik mungkin.
"Ini merupakan penampilan
pertama di pentas akhir Piala Malaysia bersama Kelantan dan peluang ini tidak
harus dibiarkan begitu sahaja," katanya ketika di temui.
Sebagai anak jati Kelantan beliau
bertekad untuk menebus kembali maruah pasukannya selepas aib kepada Negeri
Sembilan pada perlawanan akhir tahun lalu.
"Jika sebelum ini kita
tewas, tahun ini saya mahu buktikan bahawa kita mampu mencipta sejarah buat
kali pertama sebagai hadiah buat peminat setia.
"Untuk itu, saya dan
rakan-rakan telah bersiap sedia turun berjuang dan berdepan dengan lawan yang
sama pada tahun lalu," ujarnya.
Ditanya mengenai peluang
Kelantan, Badri memberitahu kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang.
"Walaupun rekod sebelum ini
agak berpihak kepada Negeri Sembilan, namun berdasarkan pengalaman lalu, kita
maklum di mana letaknya kelemahan dan kelebihan pasukan lawan.
"Pada perlawanan kali ini,
saya dan semua pemain kami akan berjuang habis-habisan dan memastikan kejuaraan
menjadi milik Kelantan," ujarnya penh semangat.
Malah, katanya dia dan
rakan-rakan sepasukan tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan Sabtu
ini.
"Jika Negeri Sembilan mahu
mengekalkan piala tersebut di tangan mereka, kami pemain The Red Warriors pula
bertekad untuk rampas piala tersebut dan membawanya pulang ke Kota Bharu,"
tegasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxHK2UDt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan