ARKIB : 30/10/2010
Indra, Aidil tagih komitmen
tinggi
KUALA LUMPUR - Indra Putra
Mahayuddin dan Aidil Zafuan Radzak pernah sama-sama menyarung jersi negara di
pentas antarabangsa dan cukup arif dengan asam garam bola sepak biarpun
masing-masing bakal bertembung sebagai dua pihak yang bertentangan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Ketua pasukan Kelantan dan Negeri
Sembilan itu akur dengan kesulitan jurulatih kedua-duanya dalam menampilkan
barisan terbaik dalam merebut Piala Malaysia pada edisi ke-44, namun lebih
yakin bahawa hanya prestasi malam ini yang bakal lebih dikenang peminat dan
bukannya atas alasan siapa yang turun tanpa pemain bintang.
"Setiap pemain ada kelebihan
masing-masing. Kalau tiada yang utama (Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam), yang
kedua pun masih tidak kurang hebatnya dan mampu menggalas tugas yang
diamanahkan jurulatih dengan baik. Yang penting kami kena fokus dan belajar
daripada pengalaman perlawanan akhir tahun lalu,'' katanya.
Indra Putra pernah menjulang
Piala Malaysia 2000 dengan Perak tetapi tuahnya itu belum berulang ketika
berhijrah ke Pahang dan Selangor, malah sempat menjaringkan gol tunggal
Kelantan yang dikecewakan Negeri Sembilan 3-1, tahun lalu dengan jaringan
Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha.
''Saya akui sedikit sebanyak
kehilangan tonggak senior (Rezal Zambery Yahya) pasti dirasai pasukan malah
tanpa Zaquan (Adha Radzak, adik kembarnya), kami masih mara sejauh ini kerana
kami sentiasa percayakan kerja sepasukan dan tidak terlalu bergantung kepada
seseorang. Apa yang turut akan diutamakan (malam ini) ialah mengelakkan sebarang
kesilapan,'' jelas Aidil Zafuan.
Indra Putra yang dihampakan Rezal
dan rakan sepasukan Si Rusa 3-1 di gelanggang sama, tahun lalu, mengakui faktor
pengalaman masih memainkan peranan dalam persembahan mereka malam ini, namun ia
turut mampu ditampung dengan komitmen tinggi setiap pemain dalam memastikan
Kelantan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal pada
1955 dan 1970.
"Mungkin masih yang
beranggapan bahawa tahun lepas kami kalah kerana ramai pemain muda yang belum
pernah merasai pengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia apatah lagi dengan
dikelilingi ribuan penyokong sendiri dan lawan yang jumlahnya luar biasa.
"Kesilapan memang mudah
berlaku dalam perlawanan segenting ini tetapi ingatan saya kepada rakan
sepasukan ialah jangan terlalu takut jika tersilap kerana ia bakal mengundang
kesilapan lebih besar, cuma sentiasa kena fokus permainan,'' kata Indra Putra.
Sementara itu, seorang lagi
tonggak senior Piala Malaysia yang sudah enam kali merasai enam perlawanan
akhir kejohanan berprestij kebangsaan ini, Shukor Adan secara berseloroh
berkata, kelainan kali ini mungkin Hairuddin Omar bermain dengan Kelantan pula
berbanding pada tahun lalu kerana bersama kami, Negeri Sembilan.
"Saya harap pasukan kami
mengekalkan momentum permainan seperti menjuarai Piala Malaysia tahun lalu yang
berasaskan semangat sepasukan dan hasil pengalaman dan kemampuan ketika berjaya
berdepan ribuan penyokong Kelantan dalam Liga Super dan peringkat kumpulan
Piala Malaysia.
"Kami perlu kekang barisan
serangan Kelantan yang diakui lebih berbisa bagi saya, tugas di bek tengah akan
tetap ditunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxIW5Pwa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan