Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Hanya lima jaringan lagi diperlukan oleh bekas penyerang
kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin untuk mencapai 100 gol dalam saingan Liga
Super.
Mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 95 gol setakat ini,
penggempur Kuala Lumpur itu bagaimanapun menegaskan ia bukan satu tugas mudah
meskipun dia hanya memerlukan lima gol bagi mencapai angka bertuah itu.
Jadi, penyerang veteran berusia 38 tahun itu mengakui perlu terus bekerja
keras bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), sekali gus memastikan
cita-cita yang diimpikan itu dapat dicapai pada musim ini.
"Saya rasa saingan pada tahun ini lebih sengit dan untuk mendapatkan
gol, ia bukannya mudah dan memerlukan usaha yang lebih tinggi.
"Saya akan cuba untuk mencapai sasaran 100 gol itu dan jika lebih
banyak, ia lebih baik untuk pencapaian diri sendiri.
“Ini mungkin lebih kepada kepuasan diri sendiri dan apabila berada pada
tahap tertinggi, ia akan lebih bermakna," katanya.
Sebagai rekod, 95 gol yang diledak oleh Indra itu dilakar ketika bersama
dia beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perak, Pahang, Selangor dan juga
Kelantan.
Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Indra mengharapkan skuad The
Hawks itu dapat tampil dengan aksi yang lebih mantap, selepas muncul pasukan
pasukan paling banyak dibolosi dalam saingan liga musim lalu.
"Banyak yang perlu diperbaiki dan kita tahu kita perlu beraksi dengan
lebih baik supaya tidak lagi mudah dibolosi. Jurulatih juga tentu ada
perancangan untuk memastikan Kuala Lumpur akan bertambah baik bagi musim 2019.
"Semua pemain tentunya mengimpikan sesuatu dan begitu juga saya, jadi
saya mengharapkan pemain dapat memberikan kerjasama dengan bersatu hati untuk
meraih sesuatu pada musim ini," katanya.
Rekod musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur dibolosi 51 gol, lebih buruk
berbanding dua pasukan yang tersingkir iaitu Kelantan (43 gol) dan Negeri Sembilan
(47 gol).
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:27 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan