KAPTEN Kuala Lumpur, Indra Putra
Mahayuddin (kanan) mengekang pemain PKNS FC pada aksi pemanas badan menjelang
saingan Liga Super 2018 di Stadium Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mohd
Badlishah Mohd Ali
Saya akan bersara bersama KL -
Indra Putra Mahayuddin
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang
kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin membuktikan betapa dia masih kuat untuk
mengetuai pasukan baharunya, Kuala Lumpur menjadi antara pencabar utama Liga
Super musim ini.
Meskipun sudah menginjak usia 37
tahun, namun anak kelahiran Perak itu tetap diberi kepercayaan selepas dilantik
menjadi kapten pasukan skuad 'The Hawks' dengan dia kini memikul tanggungjawab
untuk membantu perkembangan pemain muda pasukan itu.
Justeru, dia akan terus
memperjuangkan kariernya namun mengakui perjalanan karier bola sepaknya kian
menghampiri penghujung dan sudah memberi bayangan untuk bersedia menggantung
butnya.
"Sebagai pemain bola sepak,
sudah pasti saya mahu terus mencapai banyak lagi kejayaan dan memburu penamat
karier yang manis.
"Dilihat kepada kemampuan
saya, saya masih boleh beraksi selama dua tahun lagi dan jika Kuala Lumpur
terus mahukan khidmat saya pada musim hadapan, berkemungkinan besar saya akan
menamatkan karier saya bersama pasukan ini," katanya ketika dihubungi hari
ini.
Pemilihan Indra untuk memegang
lilitan kapten dilihat sebagai keputusan yang tepat apatah lagi berdasarkan
pengalaman luasnya selaku pemain bola sepak bersama pelbagai kelab di negara
ini selain pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai pasukan
bimbingan Fabio Maciel itu, Indra mengakui Kuala Lumpur adalah pasukan yang
'kerdil' namun memiliki semangat yang besar untuk menyaingi pasukan gergasi
bola sepak tempatan yang lain.
"Secara dasarnya, pasukan
ini dibarisi dengan kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman jadi sedikit
sebanyak faktor ini dapat membantu perkembangan pemain muda.
"Kekuatan pasukan Kuala
Lumpur adalah sifat kekeluargaan yang ada dalam pasukan ini dan kami akan
pastikan Stadium Cheras menjadi kubu kuat kami pada musim ini," katanya.
Kuala Lumpur layak ke saingan
Liga Super 2018 selaku juara Liga Perdana musim lalu dengan mengetepikan
Terengganu sekali gus menamatkan penantian lima tahun pasukan terbabit selepas
tersingkir ke Liga Perdana pada 2013.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
22 Januari 2018 | 6:57pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan