Isnin, 22
Januari 2018 | 6:57pm
KAPTEN Kuala
Lumpur, Indra Putra Mahayuddin (kanan) mengekang pemain PKNS FC pada aksi
pemanas badan menjelang saingan Liga Super 2018 di Stadium Kuala Lumpur, malam
tadi. - Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
Saya akan
bersara bersama KL - Indra Putra Mahayuddin
Oleh Syafiq
Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR:
Bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin membuktikan betapa dia masih
kuat untuk mengetuai pasukan baharunya, Kuala Lumpur menjadi antara pencabar
utama Liga Super musim ini.
Meskipun sudah
menginjak usia 37 tahun, namun anak kelahiran Perak itu tetap diberi
kepercayaan selepas dilantik menjadi kapten pasukan skuad 'The Hawks' dengan
dia kini memikul tanggungjawab untuk membantu perkembangan pemain muda pasukan
itu.
Justeru, dia
akan terus memperjuangkan kariernya namun mengakui perjalanan karier bola
sepaknya kian menghampiri penghujung dan sudah memberi bayangan untuk bersedia
menggantung butnya.
"Sebagai
pemain bola sepak, sudah pasti saya mahu terus mencapai banyak lagi kejayaan
dan memburu penamat karier yang manis.
"Dilihat
kepada kemampuan saya, saya masih boleh beraksi selama dua tahun lagi dan jika
Kuala Lumpur terus mahukan khidmat saya pada musim hadapan, berkemungkinan besar
saya akan menamatkan karier saya bersama pasukan ini," katanya ketika
dihubungi hari ini.
Pemilihan
Indra untuk memegang lilitan kapten dilihat sebagai keputusan yang tepat apatah
lagi berdasarkan pengalaman luasnya selaku pemain bola sepak bersama pelbagai
kelab di negara ini selain pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini.
Mengulas
lanjut mengenai pasukan bimbingan Fabio Maciel itu, Indra mengakui Kuala Lumpur
adalah pasukan yang 'kerdil' namun memiliki semangat yang besar untuk menyaingi
pasukan gergasi bola sepak tempatan yang lain.
"Secara
dasarnya, pasukan ini dibarisi dengan kombinasi pemain muda dan pemain
berpengalaman jadi sedikit sebanyak faktor ini dapat membantu perkembangan
pemain muda.
"Kekuatan
pasukan Kuala Lumpur adalah sifat kekeluargaan yang ada dalam pasukan ini dan
kami akan pastikan Stadium Cheras menjadi kubu kuat kami pada musim ini,"
katanya.
Kuala Lumpur
layak ke saingan Liga Super 2018 selaku juara Liga Perdana musim lalu dengan
mengetepikan Terengganu sekali gus menamatkan penantian lima tahun pasukan
terbabit selepas tersingkir ke Liga Perdana pada 2013.
SUMBER- SINAR
HARIAN ONLINE Isnin, 22 Januari 2018 | 6:57pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan