MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 15
Disember 2014 1:02 AMSEPANG - Dua kali beraksi di tempat lawan, kedua-duanya
berakhir dengan kemenangan.Atas faktor tersebut, tonggak veteran, Indra Putra
Mahayuddin mempunyai naluri yang kuat bahawa Thailand mampu menjadi mangsa
ketiga Harimau Malaya selepas Singapura dan Vietnam dalam kempen Piala AFF.
Tidak langsung tertekan beraksi
di laman orang, Indra sebaliknya berkata, suasana ‘panas’ itu menjadi kelebihan
tanpa disedari apabila mereka mampu beraksi positif dan mengikut segala arahan
jurulatih.
Pemain berusia 33 tahun itu juga
menegaskan, tiada ada yang perlu digentarkan apabila berdepan anak-anak buah
Kiatisuk Senamuang walaupun skuad Gajah Putih masih belum kalah sepanjang edisi
ke-10 Piala AFF.
“Dua kali kami berjaya menang
ketika beraksi di gelanggang luar dan itu memberi satu petanda baik.
“Ia juga meningkatkan motivasi
kami menjelang perlawanan paling penting menentang Thailand.
“Tidak mustahil Thailand boleh
dijinakkan di laman sendiri jika kami mempamerkan aksi yang sama.
“Apa saja orang cakap mengenai
mereka, saya dan rakan-rakan tidak kisah.
“Kami telah membuktikan kepada
mereka pada ketika ramai yang tidak meletakkan harapan,” katanya di klia2
sebelum berlepas ke Bangkok, semalam.
Selepas tewas 1-2 kepada Vietnam
dalam separuh akhir pertama di Shah Alam, Malaysia mengejutkan mereka 4-2 di
Hanoi.
Pasukan negara sebelum itu juga
menundukkan penyandang juara, Singapura 3-1 dalam aksi terakhir peringkat
kumpulan.
Indra yang dipertaruhkan oleh
jurulatih, Dollah Salleh dalam kesebelasan utama di Stadium Nasional My Dinh,
Hanoi, Khamis lalu membalas kepercayaan apabila menjadi watak penting kepada
dua daripada empat gol Malaysia.
Sepakan penalti yang
disempurnakan Safiq Rahim berpunca akibat Indra dijatuhkan pada minit ketiga,
sebelum bola hantaran lintangnya mengenai badan pertahanan Vietnam, Dinh Tien
Thanh dan melantun masuk ke gawang pada minit ke-29.
Berdepan Singapura, Indra muncul
penjaring gol terakhir selepas memanfaatkan ketiadaan penjaga gol, Hassan Sunny
yang naik ke atas pada masa kecederaan.
Bertemu Thailand, misi Indra
hanya satu iaitu mendapatkan gol awal buat Harimau Malaya bagi memudahkan tugas
apabila beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Sebaik sahaja perlawanan
bermula, saya rasa kita kena dapatkan jaringan awal supaya memberi tekanan
kepada tuan rumah, selain membawa pulang gol di tempat lawan,” kata pemain
Felda United itu.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-hebat-di-tempat-lawan-8232-1.36504#sthash.sr51x5tu.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan