PEMAIN Kelantan, Indra Putra
Mahayuddin (kiri) akhirnya menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya bersama
Kelantan apabila mengesahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak
menawarkan kontrak baharu kepadanya. - Foto Syamsi Suhaimi
Jodoh Indra bersama Kelantan
berakhir
Oleh Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
KOTA BHARU: Pemain veteran, Indra
Putra Mahayuddin akhirnya menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya bersama
Kelantan apabila mengesahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak
menawarkan kontrak baharu kepadanya.
Menerusi entri terbaru di laman
sosial Instagramnya, Indra, 36, memberitahu perjanjian bagi menentukan masa
depannya bersama The Red Warriors (TRW) sepatutnya ditentukan selepas dia
kembali daripada bercuti pada 20 November ini dan perkara itu sudah
dipersetujui kedua-dua pihak.
Namun, katanya, KAFA bertindak
lebih awal dengan mengumumkan tidak menawarkan kontrak tanpa memaklumkan
perkara itu terlebih dahulu kepadanya.
"Saya nak betulkan banyak
salah faham dekat media sosial mengenai status (tawaran kontrak) yang diumumkan
presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan.
"(Sebenarnya) perjanjian
untuk memuktamadkan dan berbincang mengenai hala tuju saya (bersama TRW)
sepatutnya diputuskan selepas saya pulang dari bercuti pada 20 November ini dan
itu pun sudah dipersetujui oleh presiden.
"(Namun) keputusan terbabit
sudah dibuat awal tanpa memaklumkan terlebih dahulu, jadi tiada istilah KAFA
mengemukakan kontrak kepada saya," katanya.
Beliau yang pernah menyarung
jersi kebangsaan itu turut dukacita dengan keputusan yang dibuat, namun tetap
menerima dengan hati terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
"Walau apapun yang sudah
terjadi, saya sebagai pemain profesional menerima dengan hati yang terbuka dan
apa juga keputusan dibuat demi kebaikan pasukan.
"Saya rasa sudah cukup
setakat ini untuk saya jelaskan dan sila hentikan spekulasi dan salah faham
ini," katanya.
Pada masa sama, Indra juga
memberitahu keputusannya untuk mengadakan rundingan dengan pasukan lain musim
depan tidak perlu dipersoalkan kerana kontraknya bersama TRW sudah berakhir.
"Soal rundingan dengan
pasukan lain itu berhak saya buat kerana kontrak saya bersama Kelantan sudah
tamat pada musim ini," katanya.
Sebelum ini, BH Sukan melaporkan
khidmat pemain kelahiran Ipoh, Perak itu diintai oleh pendatang baharu Liga
Super musim depan, Kuala Lumpur.
Indra sebelum ini pernah mewakili
beberapa pasukan antaranya Perak, Pahang, Selangor, T-Team dan FELDA United.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu,
18 November 2017 | 8:36pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan