Khamis, 12 Mac 2020

KL sekat JDT II

MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
 
JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) gagal melakar kemenangan ketika beraksi buat pertama kali di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada pertembungan Liga Perdana, hari ini.

Skuad Merah Biru mengundang cemas di gawang gol Kuala Lumpur seawal minit keempat selepas Arif Aiman Mohd Hanapi bertindak berani apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti namun hanya sipi di penjuru kanan gol ketika penjaga gol, Zamir Selamat sudah tertewas.

Sepanjang 20 minit babak pertama, penguasaan milik anak didik Rafae Gil Sanchez yang mengasak ke kubu skuad Warga Kota yang tampak kerap bermain dengan corak bertahan dan hanya sekali sekala melakukan percubaan berbahaya.

Kelibat Indra Putra Mahayuddin masih berbisa tatkala hampir membuka tirai jaringan buat Kuala Lumpur pada minit ke-24 apabila bola rembatan deras di luar kotak penalti sempat ditepis penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

Penantian tuan rumah mencipta jaringan hadir pada minit ke-33 selepas Fernando Rodriguez yang bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum mengumpan bola ke belakang dan Ramadan Saifullah Ishak yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Zamir.

Keberanian Gil Sanchez mempertaruhkan dua pemain muda, Firdaus Ramli dan Feroz Baharuddin mengemudi bek tengah nyata tidak mengecewakan selepas kedua-dua pemain membentuk kombinasi mantap memastikan gawang skuad Merah Biru tidak dibolosi sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-55 selepas Arif Aiman memberanikan diri dengan merembat bola tepat ke penjuru kanan gawang namun Zamir sempat menepis bola keluar.

Namun kedudukan 1-0 yang cuba dipertahankan tuan rumah terlerai pada minit ke-76 selepas Fakrul Aiman Aidid menanduk bola kemas berpunca daripada sepakan sudut kapten Paulo Dos Reis untuk mengikat kedudukan 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.[1]


[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/03/553611/kl-sekat-jdt-ii