Rabu, 30 Disember 2020

Tiga 'kuda tua' bernilai tinggi

Oleh Zulfaizan Mansor - Disember 30, 2020 @ 6:42pm

zulfaizan@bh.com.my



Dari kiri: Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Safee Sali dianggap tetap mempunyai nilai yang tinggi buat Kuala Lumpur United FC. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Walaupun berstatus 'kuda tua', namun Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Safee Sali dianggap tetap mempunyai nilai yang tinggi buat Kuala Lumpur United FC (KLUFC).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Kelab Bolasepak Kuala Lumpur United Sdn Bhd, Stanley Bernard menjelaskan bukan sahaja dari aspek pengalaman di atas padang, malah pemain senior seperti Safee mampu menyumbang kepada nilai komersial kelab itu.

Justeru, beliau berkata pasukan itu mahu menggunakan pengalaman tiga pemain senior berkenaan untuk membina pasukan yang mampu bersaing bagi jangka masa panjang.

"Safee antara kelompok lima atau 10 penyerang terbaik dalam sejarah di negara ini. Dia pemain yang boleh memberi sumbangan dari segi pengalaman dalam Liga Super dan membantu mencapai sasaran yang ditetapkan pengurusan.

"Satu faktor yang menarik Safee kepada Kuala Lumpur ialah kerana ini adalah pasukan asalnya. Saya tidak boleh menafikan dia akan menjadi aset kepada pasukan dari segi permainan di atas padang dan juga nilai komersial.

"Berserta dengan Indra dan Shukor, sukar untuk memperoleh pemain yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti mereka bertiga. Tidak semestinya mereka bermain setiap masa tetapi apabila di atas padang, mahupun di luar padang, mereka boleh memainkan peranan dengan membimbing pemain lain.

"Mereka seolah-olah menjadi pembantu kepada jurulatih apabila berada di atas padang dan menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan," kata Stanley yang secara rasmi akan menjawat jawatan CEO pada 1 Januari ini.

Semalam, BH Sukan melaporkan Shukor, Indra dan Safee menjadi antara pemain berpengalaman yang dipertaruhkan skuad Ibu Kota itu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Faktor umur Shukor yang berusia 41 tahun, Indra (39) dan Safee (36) menjadi perbualan ramai tetapi Stanley menegaskan bahawa Kuala Lumpur juga menyerap enam pemain Piala Presiden ke dalam pasukan Liga Super.

Menurut artikel di laman web rasmi pasukan Kuala Lumpur, kehadiran enam pemain muda itu bersama 12 pemain lain di antara umur 23 dan 30 tahun bermaksud purata umur pemain tempatan dalam pasukan The City Boys adalah 26 tahun.

Jika Shukor, Indra dan Safee tidak di ambil kira, purata umur pemain tempatan menurun kepada 24 tahun.

"Pemain muda ini akan menjadi perbualan ramai di hujung musim apabila mereka diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka dan dengan adanya tiga pemain senior seperti Shukor, Indra dan Safee, pemain muda akan dapat mempelajari sesuatu," kata Stanley.SUMBER BH ONLINE

Sabtu, 26 Disember 2020

'Mahu pergi mana Indra?'

MyMetroArena



Azlan Hafeedz

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Khabar angin mengenai kemungkinan Indra Putra Mahayuddin meninggalkan Kelantan ketika jendela perpindahan kedua, 15 Mei ini semakin hangat diperkatakan penyokong The Red Warriors (TRW).

Difahamkan, pasukan yang berminat dengan bintang TRW itu sedia menebus baki kontrak pemain terbabit jika mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan mereka.

Sumber rapat TRW berkata, beliau difahamkan bahawa Indra, 36, sudah hampir pasti menyarung jersi pasukan baru terbabit tetapi pemain itu mengambil jalan selamat dengan tidak memberikan apa-apa komen mengenai khabar berkenaan.

Andai khabar angin itu betul, kita bakal kehilangan seorang pemain senior berpengalaman ketika kudratnya masih diperlukan Kelantan untuk menghadapi baki saingan Liga Super.

Sama ada disebabkan masalah gaji atau sebaliknya hingga mendorongnya untuk berhijrah ke pasukan lain, saya tidak pasti tetapi saya berharap Indra kekal bersama pasukan hingga penghujung musim,” kata sumber berkenaan.

Selain Indra, dua pertahanan TRW Mohd Qayyum Marjoni Sabil, 23 dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim, 27, turut berada dalam radar pasukan lain di Liga Super.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi menafikan khabar angin berhubung perpindahan ketiga-tiga pemain berkenaan ke pasukan lain.

Ismail menjelaskan mereka akan kekal bersama Kelantan hingga hujung musim dan berkemungkinan besar khabar angin itu sengaja direka pihak tertentu bagi melemahkan semangat pasukan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 2:57 AM