Rabu, 19 Februari 2020

Shukor, Indra Putra mampu realisasikan misi Kuala Lumpur

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 17 Februari 2020


Indra Putra (belakang tiga dari kiri) dan Shukor Adan (belakang tiga dari kanan) sebelum aksi persahabatan menentang Kedah di Alor Setar baru-baru ini. - Foto Kuala Lumpur FA
GANDINGAN dua pemain ‘otai’ Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin mampu memperkuatkan cabaran Kuala Lumpur dalam merealisasikan misi ke Liga Super 2021.


Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Ketua Jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff berkata, kehadiran bekas pemain kebangsaan itu juga diharapkan menjadi inspirasi kepada para pemain muda skuad The Hawks musim ini.

Malah menurut Muhammad Nidzam, pengalaman luas kedua-dua pemain itu boleh dimanfaatkan bagi membimbing pemain-pemain muda berkenaan seterusnya memacu skuad warga kota itu.

“Shukor dan Indra Putra adalah pemain yang bagus. Usia ternyata bukan penghalang untuk mereka terus beraksi cemerlang sehingga ke hari ini.

“Secara peribadi, saya melihat kedua-dua pemain ini dapat membantu pasukan terutamanya membimbing pemain-pemain muda Kuala Lumpur sekali gus membantu kita untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, Shukor, 40 dan Indra Putra, 39, adalah antara pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pernah digandingkan bersama bermula ketika mewakili skuad Bawah 23 tahun negara pada saingan Sukan SEA 2001 lalu.

Sementara itu, Muhammad Nidzam berkata, dia masih perlu melakukan beberapa penambahbaikan terhadap skuad kendaliannya itu bagi membolehkan mereka lebih berdaya saing pada saingan musim ini.

Katanya, dia mengenalpasti terdapat beberapa kelemahan yang harus dibaiki selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.[1]


[1] https://www.sinarharian.com.my/article/70388/BERITA/Sukan/Shukor-Indra-Putra-mampu-realisasikan-misi-Kuala-Lumpur

Ahad, 16 Februari 2020

Indra Putra pemain unik


SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 16 Februari 2020
 
Sathiananthan menyifatkan Indra Putra sebagai seorang pemain yang unik dan sukar ditemui di negara ini.
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan Indra Putra Mahayuddin seorang pemain yang unik dan sukar ditemui di negara ini.


Menurutnya, peluang membimbing pemain itu ketika mengemudi Kelantan pada musim 2009/2010 lalu jelas menunjukkan Indra Putra sebagai seorang pemain yang memiliki komitmen tinggi terhadap dunia bola sepaknya.

Menurutnya, komitmen itu dapat dilihat menerusi tahap disiplin ditunjukkannya pada sesi latihan termasuk dalam perlawanan sebenar.

“Sepanjang mengenali Indra Putra, saya dapati dia seorang pemain yang betul-betul komited. Semasa latihan dan juga ketika bermain dia serius.

“Dia pemain yang mula-mula datang pada sesi latihan dan berlatih bersungguh-sungguh. Pada saya, dia boleh jadi role model terbaik kepada pemain muda.

“Sudah tentu kalau saya jurulatih, pasti saya berbangga kalau dia ada dalam pasukan saya,” katanya,” kepada Sukan Sinar.

Sathianathan berkata demikian bagi mengulas keazaman pemain skuad Liga Super, Kuala Lumpur itu yang mahu terus beraksi dalam kancah liga di negara ini.

Malah Indra Putra juga sebelum ini dikhabarkan bertekad untuk menjaringkan lebih banyak gol pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

“Pada usia 39 tahun, saya tidak lihat dia seakan mahu berhenti bermain. Dia kelihatan tidak pernah mahu berhenti dan dia telah berjaya jaringkan gol yang ke-100 dalam Liga Malaysia.

“Dia juga sentiasa diberi kepercayaan beraksi selama 90 minit. Bukannya sebagai pemain gantian atau beraksi selama 20 minit, 30 minit.

“Sebab itulah saya juga percaya, dia pasti mahu dan mampu menjaringkan lebih banyak gol musim ini,” ujar Sathianathan.

Sementara itu, Sathianathan menyifatkan gandingan Indra Putra bersama Shukor Adan sebagai gandingan yang perlu diberikan perhatian pasukan lawan. Katanya, kedua-dua pemain yang pernah beraksi bersama ketika mewakili skuad kebangsaan dan Felda United itu mampu memberikan semangat kepada pemain muda Kuala Lumpur.

“Saya lihat gandingan mereka ini sebagai gandingan mantap. Lagipun mereka sudah lama bermain bersama-sama,” katanya.[1]



[1] https://www.sinarharian.com.my/article/70373/BERITA/Sukan/Indra-Putra-pemain-unik

Rabu, 12 Februari 2020

Keringat Indra cukup berharga


SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 11 Februari 2020


“INSYA-ALLAH, saya masih mahu terus beraksi, masih mahu bermain bola sepak dan kalau rezeki saya masih bersama Kuala Lumpur, saya akan bersara di sini (bersama Kuala Lumpur).”


Itu reaksi awal bekas penyerang skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin ketika ditanya sasaran peribadinya menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bakal membuka tirainya secara rasmi pada 28 Februari ini.

Nama Indra sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pemain kelahiran Ipoh, Perak ini sudah membuat penampilan di pentas liga tempatan lebih 20 tahun.

Sepanjang kariernya setakat ini, Indra boleh berbangga dengan pengalamannya mewakili lapan pasukan berbeza bermula dengan menyarung jersi Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan Kuala Lumpur.

Bersandarkan pengalaman luasnya itu, maka bukan sesuatu mengejutkan apabila Indra kini meletakkan namanya sebagai antara penyerang tersohor yang pernah dimiliki Malaysia.

Bagi Indra selagi kudrat masih ada, dia tetap mahu menabur bakti dan mengerah keringat bersama pasukan yang diwakilinya biarpun usianya kini sudah mencecah 38 tahun.

“Sebagai pemain sudah pasti saya sentiasa mempunyai misi dan sasaran tersendiri. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus membantu pasukan. Insya-ALLAH, saya akan cuba menjaringkan gol semampu yang boleh.

“Saya juga ada sasaran tersendiri untuk Kuala Lumpur dengan membantu pasukan kembali beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan. Itulah sasaran utama saya ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pada masa sama, Indra memberitahu, dia tidak memikirkan soal persaraan buat masa ini kerana menyedari tugas dan tanggungjawabnya bersama skuad The City Boys masih belum selesai.

Menurutnya lagi, kehadiran bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan mampu menambahkan lagi kekuatan Kuala Lumpur bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya, Shukor mampu membawa impak positif kepada pasukan. Saya juga berharap Shukor dapat membimbing pemain lain khususnya pemain muda,” ujarnya.[1]




[1] https://www.sinarharian.com.my/article/69521/BERITA/Sukan/Keringat-Indra-cukup-berharga