SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 11
Februari 2020
“INSYA-ALLAH, saya masih mahu
terus beraksi, masih mahu bermain bola sepak dan kalau rezeki saya masih
bersama Kuala Lumpur, saya akan bersara di sini (bersama Kuala Lumpur).”
Itu reaksi awal bekas penyerang
skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin ketika ditanya sasaran peribadinya
menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bakal membuka tirainya secara
rasmi pada 28 Februari ini.
Nama Indra sudah tidak perlu
diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pemain kelahiran
Ipoh, Perak ini sudah membuat penampilan di pentas liga tempatan lebih 20
tahun.
Sepanjang kariernya setakat ini,
Indra boleh berbangga dengan pengalamannya mewakili lapan pasukan berbeza bermula
dengan menyarung jersi Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United
dan Kuala Lumpur.
Bersandarkan pengalaman luasnya
itu, maka bukan sesuatu mengejutkan apabila Indra kini meletakkan namanya
sebagai antara penyerang tersohor yang pernah dimiliki Malaysia.
Bagi Indra selagi kudrat masih
ada, dia tetap mahu menabur bakti dan mengerah keringat bersama pasukan yang
diwakilinya biarpun usianya kini sudah mencecah 38 tahun.
“Sebagai pemain sudah pasti saya
sentiasa mempunyai misi dan sasaran tersendiri. Selagi khidmat saya diperlukan,
saya akan terus membantu pasukan. Insya-ALLAH, saya akan cuba menjaringkan gol
semampu yang boleh.
“Saya juga ada sasaran tersendiri
untuk Kuala Lumpur dengan membantu pasukan kembali beraksi dalam saingan Liga Super
tahun depan. Itulah sasaran utama saya ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian
baru-baru ini.
Pada masa sama, Indra
memberitahu, dia tidak memikirkan soal persaraan buat masa ini kerana menyedari
tugas dan tanggungjawabnya bersama skuad The City Boys masih belum selesai.
Menurutnya lagi, kehadiran bekas
kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan mampu menambahkan lagi kekuatan Kuala
Lumpur bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.
“Saya percaya dengan pengalaman
yang dimilikinya, Shukor mampu membawa impak positif kepada pasukan. Saya juga
berharap Shukor dapat membimbing pemain lain khususnya pemain muda,” ujarnya.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan