Isnin, 3 Disember 2018

Kelantan peroleh gol tunggal perlawanan


ARKIB : 07/11/2009
07/11/2009 10:37pm

Kelantan memperoleh gol saguhati menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahyudin pada masa kecederaan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_45.htm#ixzz5YcCw8zRg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kekuatan Kelantan, NS seimbang


 
ARKIB : 06/11/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Gandingan serangan mantap Indra Putra Mahayuddin bakal diperkuatkan dengan adanya Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad dan Che Hishamuddin Hassan untuk memperkuatkan Kelantan.

KUALA LUMPUR - Walaupun Kelantan bakal mendapat sokongan padu daripada peminat fanatik mereka dalam saingan akhir Piala Malaysia esok tetapi pakar bola sepak menganggap Negeri Sembilan juga mempunyai peluang.

Para jurulatih tempatan dalam Liga Malaysia yakin kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dalam saingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bagi mereka, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan ini diakui Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.

"Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi," katanya.

Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.

Jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula memilih Kelantan akan muncul sebagai juara dengan jaringan 2-1, ia berdasarkan semangat juang dan kepakaran B. Sathianathan dalam merancang taktikal permainan.

Sementara itu, Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris pula berkata: "Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan 2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka."

Bagi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail, kedua-dua pasukan dianggapnya mempunyai peluang seimbang tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan kerana mempunyai ramai bekas dan pemain kebangsaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Selangor, K. Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.

Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.

"Negeri Sembilan pula dilihat hanya mengharapkan kepada kemampuan Zaquan Adha Abd. Radzak," kata bekas jurulatih Kedah itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid pula memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat," katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcBXcKpG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Indra, Nizaruddin jadi tumpuan


ARKIB : 27/10/2009
KOTA BHARU - Perhitungan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Skuad Kijang menentang Singa Utara di Stadium Sultan Muhamad IV malam ini pasti menjadi tumpuan peminat-peminat.

Bagi penyokong, ia bukan setakat pertarungan menegakkan maruah pasukan tetapi ia turut menampilkan pertembungan antara kapten Kelantan, Indra Putra Mahyuddin dengan seterunya, Nizaruddin Yusof.

Gandingan dua penggempur ini pernah membawa pasukan kebangsaan ke perlawanan akhir Sukan SEA edisi ke-21 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum skuad negara tewas kepada Thailand dengan jaringan 0-1.

Bagaimanapun, malam ini, mereka hadir dengan pasukan berbeza yang membawa satu misi iaitu untuk ke pentas akhir Piala Malaysia.

Nizaruddin tampil dengan reputasi 'Kasut Emas' Liga Super musim ini dengan 18 gol yang disumbangkan berjaya membawa Perlis menjadi naib juara kejohanan tersebut.

Ketajaman Indra di pintu gol juga tidak boleh dipertikaikan terutama dengan rekod 14 gol dalam kejohanan sama, berjaya membawa pasukannya menjadi antara yang digeruni.

Sementara itu, dalam kejohanan piala terulung negara pula, kedua pemain ini telah pun berkongsi 15 gol antara mereka dengan Indra menyumbat sembilan.

"Saya tidak nafikan penyokong mungkin akan menilai antara saya dengan Nizaruddin kerana jumlah gol yang telah kami jaringkan.

"Tetapi bagi saya sendiri, ia lebih tertumpu kepada bagaimana pasukan kami bermain dan mencari bekalan yang selesa untuk di bawa ke Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini," kata Indra ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Penjaring terbanyak Liga Malaysia ini turut mengingatkan rakan sepasukannya agar memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut dan tidak terbawa-bawa dengan tekanan.

Separuh akhir hari ini merupakan penampilan pertama skuad Kijang selepas kali terakhir berada di pentas tersebut pada tahun 2000 ketika ditewaskan oleh pasukan Terengganu yang berjaya mendakap piala pada musim itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YburYpO7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Kemenangan yang masih meresahkan


ARKIB : 08/10/2009
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
sukanutusan.com.my
KOTA BHARU - Muncul sebagai pasukan terawal menempah tiket ke suku akhir dengan rekod tanpa kalah, ia mungkin menggembirakan penyokong skuad Kijang tetapi ia kelihatan masih meresahkan B. Sathianathan.

Pasukan bimbingannya menang tipis 2-1 ketika menentang Pulau Pinang, kelmarin ketika banyak lagi peluang terhidang untuk menambahkan jaringan kerana kurangnya persefahaman di barisan penyerang.

Keadaan juga memaksa ketua pasukan, Indra Putera Mahayuddin berperanan di kebanyakan sudut, sekali gus menjejaskan tumpuannya manakala Khalid Jamlus yang turut disandarkan harap telah bertungkus lumus, namun seolah-olah berhadapan masalah stamina.

Ternyata skuad Kelantan bernasib baik diperkukuhkan oleh dua pemain yang dipinjam daripada Felda United, Mohd. Nazarul Irwan dan Norhisham Hassan (T. Team).

Menyorot rentetan perlawanan kelmarin dan sebelum ini, skuad Kijang masih tercari-cari rentak permainan sendiri, malah terikut-ikut dengan persembahan pasukan lawan sehingga hampir mengundang padah.

Dengan formasi yang sering tidak menjadi, hantaran jauh yang tidak kemas, pertahanan yang goyah, tidak sukar bagi pasukan ini untuk ditewaskan oleh saingan di peringkat suku akhir.

Kelmarin, pengalaman Khalid Jamlus serta Indra Putra Mahyuddin memberikan kelebihan dengan gol kemenangan berjaya di peroleh pada minit ke-42 dan 80 sekali gus mematikan semangat Harimau Kumbang untuk bangkit.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menyifatkan anak buahnya belum mencapai prestasi kemuncak dan berharap segala kelemahan dapat diperbaiki segera.

"Malam ini (kelmarin) pemain saya beraksi dalam keadaan tertekan untuk mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri bagi memastikan tempat ke suku akhir, sepatutnya mereka boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya berharap dalam dua baki perlawanan lagi, mereka menunjukkan peningkatan," ujarnya.

Sathianathan turut memuji semangat juang barisan penyerang skuadnya, Khalid, Indra Putra dan Che Hishammudin Hasan yang berada di kelas tersendiri untuk memastikan tiga mata penuh berjaya dikutip.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaP2Mqd7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malam pesta gol


 
ARKIB : 07/10/2009
Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pulau Pinang ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan Kumpulan E Piala Malaysia di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 2-1. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan berpesta gol dengan menang jaringan besar.

Pasukan yang menang bergaya adalah Terengganu, Perak, Perlis, Johor FC, Selangor Kedah dan Kuala Muda Naza.

Pasukan yang mencatat kemenangan paling besar, semalam adalah Terengganu yang membelasah Sarawak 7-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun kejayaan Terengganu itu masih meletakkan kedudukan mereka di bawah Negeri Sembilan yang terus mencatat kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Johor 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk mengungguli Kumpulan B.

Perak pula merampas teraju Kumpulan C daripada Johor FC dengan membelasah UPB-MyTeam 6-1 di Stadium Perak dengan Razali Umar Kandasamy dan Azrul Azran Aminuddin masing-masing menyumbang dua gol.

Johor FC walaupun turut mencatat kemenangan yang agak besar iaitu 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium JCorp, Pasir Gudang tetapi terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan yang dimiliki Perak.

Perlis pula membelasah Melaka 5-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar dengan Nizaruddin Yusof menyumbat dua gol di samping masing-masing satu gol menerusi Azmizi Azmi, Mohd. Badrul Azam Zamri dan Mohd. Firdaus Fauzi.

Bagaimanapun, kemenangan itu gagal membantu Perlis memintas KL Plus yang terus menerajui Kumpulan A hasil kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kumpulan D menyaksikan Selangor mengekalkan penguasaan di tempat teratas selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Shah Alam.

Walaupun ketinggalan hasil gol Zainizam Marjan namun juara Liga Super itu bangkit dengan empat gol menerusi Mohd. Amri Yahyah (2), Safee Sali dan Hardi Jaafar.

Kuala Muda Naza pula mengekori belakang Selangor hasil kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan Farderin Kadir menjaringkan dua gol sambil dibantu jaringan Akmal Rizal.

Kelantan biar pun mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir.

Pasukan paling lega semalam sudah pasti Kedah yang akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia musim ini dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaHYrziN
© Utusan Melayu (M) Bhd