ARKIB : 08/10/2009
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
sukanutusan.com.my
KOTA BHARU - Muncul sebagai
pasukan terawal menempah tiket ke suku akhir dengan rekod tanpa kalah, ia
mungkin menggembirakan penyokong skuad Kijang tetapi ia kelihatan masih
meresahkan B. Sathianathan.
Pasukan bimbingannya menang tipis
2-1 ketika menentang Pulau Pinang, kelmarin ketika banyak lagi peluang
terhidang untuk menambahkan jaringan kerana kurangnya persefahaman di barisan
penyerang.
Keadaan juga memaksa ketua
pasukan, Indra Putera Mahayuddin berperanan di kebanyakan sudut, sekali gus
menjejaskan tumpuannya manakala Khalid Jamlus yang turut disandarkan harap
telah bertungkus lumus, namun seolah-olah berhadapan masalah stamina.
Ternyata skuad Kelantan bernasib
baik diperkukuhkan oleh dua pemain yang dipinjam daripada Felda United, Mohd.
Nazarul Irwan dan Norhisham Hassan (T. Team).
Menyorot rentetan perlawanan
kelmarin dan sebelum ini, skuad Kijang masih tercari-cari rentak permainan
sendiri, malah terikut-ikut dengan persembahan pasukan lawan sehingga hampir
mengundang padah.
Dengan formasi yang sering tidak
menjadi, hantaran jauh yang tidak kemas, pertahanan yang goyah, tidak sukar
bagi pasukan ini untuk ditewaskan oleh saingan di peringkat suku akhir.
Kelmarin, pengalaman Khalid
Jamlus serta Indra Putra Mahyuddin memberikan kelebihan dengan gol kemenangan
berjaya di peroleh pada minit ke-42 dan 80 sekali gus mematikan semangat
Harimau Kumbang untuk bangkit.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan
itu menyifatkan anak buahnya belum mencapai prestasi kemuncak dan berharap
segala kelemahan dapat diperbaiki segera.
"Malam ini (kelmarin) pemain
saya beraksi dalam keadaan tertekan untuk mengutip tiga mata di depan penyokong
sendiri bagi memastikan tempat ke suku akhir, sepatutnya mereka boleh bermain
dengan lebih baik.
"Saya berharap dalam dua
baki perlawanan lagi, mereka menunjukkan peningkatan," ujarnya.
Sathianathan turut memuji
semangat juang barisan penyerang skuadnya, Khalid, Indra Putra dan Che
Hishammudin Hasan yang berada di kelas tersendiri untuk memastikan tiga mata
penuh berjaya dikutip.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaP2Mqd7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan