ARKIB : 07/10/2009
Pemain Kelantan, Indra Putra
Mahayuddin (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pulau Pinang ketika kedua-dua
pasukan bertemu dalam perlawanan Kumpulan E Piala Malaysia di Stadium Muhammed
IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 2-1. - UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR - Saingan peringkat
kumpulan Piala Malaysia, semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan berpesta
gol dengan menang jaringan besar.
Pasukan yang menang bergaya
adalah Terengganu, Perak, Perlis, Johor FC, Selangor Kedah dan Kuala Muda Naza.
Pasukan yang mencatat kemenangan
paling besar, semalam adalah Terengganu yang membelasah Sarawak 7-0 pada
perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu.
Bagaimanapun kejayaan Terengganu
itu masih meletakkan kedudukan mereka di bawah Negeri Sembilan yang terus
mencatat kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Johor
1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk mengungguli Kumpulan B.
Perak pula merampas teraju
Kumpulan C daripada Johor FC dengan membelasah UPB-MyTeam 6-1 di Stadium Perak
dengan Razali Umar Kandasamy dan Azrul Azran Aminuddin masing-masing menyumbang
dua gol.
Johor FC walaupun turut mencatat
kemenangan yang agak besar iaitu 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium JCorp,
Pasir Gudang tetapi terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan yang
dimiliki Perak.
Perlis pula membelasah Melaka 5-0
di Stadium Utama Negeri, Kangar dengan Nizaruddin Yusof menyumbat dua gol di
samping masing-masing satu gol menerusi Azmizi Azmi, Mohd. Badrul Azam Zamri
dan Mohd. Firdaus Fauzi.
Bagaimanapun, kemenangan itu
gagal membantu Perlis memintas KL Plus yang terus menerajui Kumpulan A hasil
kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Kumpulan D menyaksikan Selangor
mengekalkan penguasaan di tempat teratas selepas menewaskan Sabah 4-1 di
Stadium Shah Alam.
Walaupun ketinggalan hasil gol
Zainizam Marjan namun juara Liga Super itu bangkit dengan empat gol menerusi
Mohd. Amri Yahyah (2), Safee Sali dan Hardi Jaafar.
Kuala Muda Naza pula mengekori
belakang Selangor hasil kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di
Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan Farderin Kadir menjaringkan dua gol
sambil dibantu jaringan Akmal Rizal.
Kelantan biar pun mencatat
kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota
Bharu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk menjadi pasukan pertama layak
ke suku akhir.
Pasukan paling lega semalam sudah
pasti Kedah yang akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala
Malaysia musim ini dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaHYrziN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan