Isnin, 3 Disember 2018

Kekuatan Kelantan, NS seimbang


 
ARKIB : 06/11/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Gandingan serangan mantap Indra Putra Mahayuddin bakal diperkuatkan dengan adanya Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad dan Che Hishamuddin Hassan untuk memperkuatkan Kelantan.

KUALA LUMPUR - Walaupun Kelantan bakal mendapat sokongan padu daripada peminat fanatik mereka dalam saingan akhir Piala Malaysia esok tetapi pakar bola sepak menganggap Negeri Sembilan juga mempunyai peluang.

Para jurulatih tempatan dalam Liga Malaysia yakin kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dalam saingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bagi mereka, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan ini diakui Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.

"Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi," katanya.

Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.

Jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula memilih Kelantan akan muncul sebagai juara dengan jaringan 2-1, ia berdasarkan semangat juang dan kepakaran B. Sathianathan dalam merancang taktikal permainan.

Sementara itu, Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris pula berkata: "Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan 2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka."

Bagi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail, kedua-dua pasukan dianggapnya mempunyai peluang seimbang tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan kerana mempunyai ramai bekas dan pemain kebangsaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Selangor, K. Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.

Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.

"Negeri Sembilan pula dilihat hanya mengharapkan kepada kemampuan Zaquan Adha Abd. Radzak," kata bekas jurulatih Kedah itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid pula memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat," katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcBXcKpG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan