Isnin, 29 April 2019

Junior, Indra perkuat skuad Kuala Lumpur


SUKAN»Bola
Selasa, 5 Disember 2017 | 9:13pm
 
BEKAS pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dan Bekas pemain tengah Sarawak, Junior Aparecido memilih sertai Kuala Lumpur, musim depan.
Junior, Indra perkuat skuad Kuala Lumpur
Oleh Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas pemain tengah Selangor dan Sarawak, Junior Aparecido memilih untuk menyertai rakan senegara dari Brazil memperkuatkan skuad yang baharu menyertai Liga Super, Kuala Lumpur bagi musim depan.

Junior mengikut jejak langkah rakan senegara, Boa Esporte Clube dari pasukan Serie B Brazil yang sudah pun mengikat kontrak untuk beraksi di bawah bimbingan Fabio Maciel.

Gabungan pemain Brazil itu dikatakan mampu memperkuatkan skuad Kuala Lumpur yang ketika ini sudah memiliki penyerang berbakat, Guilherme De Paula dan Paolo Josue.

Dengan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin serta pertahanan, Firdaus Faudzi juga sudah sah bersama pasukan itu, Kuala Lumpur dijangka mampu memberi saingan sengit dalam saingan Liga Super selepas tercicir ke Liga Perdana selama lima musim.

"Saya sebenarnya merancang mahu membawa masuk pemain ini sejak musim lalu, tetapi gagal mendapat pelepasan dari kelabnya. Dia adalah pemain yang bagus dan seorang pemain tengah yang saya idamkan dalam pasukan ini," kata Maciel.

Maciel yang membimbing pasukan menjulang gelaran Liga Perdana 2017, pada awalnya mahu mendapatkan Everton Heleno dari pasukan Serie A, Brazil serta Atletico Goianiense tetapi perpindahan itu tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah peribadi yang membelenggu pemain tengah itu.

Junior, 28, pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Timor Leste pada 2015 dan 2016, sehingga Konfederasi Bolasepak Asia memutuskan pemain Brazil itu bersama lapan lagi rakan sepasukan tidak layak menyarung jersi Timor Leste.

Kuala Lumpur memulakan persediaan pra-musim semalam dengan 19 pemain menyertai sesi pertama latihan di Pudu Ulu, Cheras termasuklah Junior, Indra dan Firdaus.

"Indra mempunyai pengalaman luas dan jika dia bermain baik, saya tidak melihat kepada umurnya," kata Maciel mengenai tonggak berpengalaman berumur 36 tahun itu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan