ARKIB : 26/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
khidmat pemain berpengalaman,
Indra Putra Mahayuddin diperlukan bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera
untuk aksi Piala AFF di Jakarta, Indonesia, Disember ini.
PETALING JAYA - Hasrat jurulatih
skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk menggantikan tiga pemain
tercedera akhirnya tercapai apabila mesyuarat Perwakilan Persekutuan Bola Sepak
ASEAN (AFF) memberi kelonggaran kepada Malaysia menyenaraikan tiga pemain baru.
Berita gembira itu disampaikan
oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad
yang hadir selaku wakil FAM untuk mendengar hasil keputusan yang dibentangkan
oleh perwakilan AFF, semalam.
Menurutnya, Malaysia diberi masa
sehingga esok untuk mendaftarkan tiga pemain tersebut sebelum pukul 5 petang.
''Perwakilan AFF hanya
membenarkan tiga sahaja pemain baru untuk didaftarkan setelah meneliti rayuan
yang kami kemukakan.
''Saya akan berbincang bersama K.
Rajagobal terlebih dahulu mengenai senarai tiga pemain tersebut kerana mungkin
dia mempunyai strategi lain di saat akhir.
''Bukan sahaja skuad kebangsaan
kita yang menghadapi masalah, Thailand dan Vietnam juga turut mengemukakan
rayuan yang sama,'' katanya.
Baru-baru ini, Rajagobal
mendedahkan bahawa dia telah menghantar tiga nama pemain baru iaitu Indra Putra
Mahayuddin, Mohd. Razman Roslan dan A. Thamil Arasu bagi menggantikan pemain
yang tercedera kepada jawatankuasa pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.
Antara tiga tonggak yang cedera
itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nasriq Baharom.
Malaysia akan menghadapi
Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A di Stadium Gelora Bung
Karno pada 1 Disember ini sebelum bertemu Thailand (4 Disember) dan Laos (7
Disember).
Selain itu, Azzuddin berkata FAM
mempunyai perancangan untuk berjumpa wakil Brendan Gan, 24, yang difahamkan
berminat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sekiranya diberikan peluang.
''FAM akan usahakan dalam masa
terdekat menemui Brendan, namun ia perlu mendapat makluman Jawatankuasa
Teknikal terlebih dahulu dan mendapat perkenan Presiden, Sultan Ahmad Shah.
''Banyak perkara perlu kami
teliti terlebih dahulu seperti profil dan laporan prestasi Brendan sebelum kami
mengemukakan tawaran bermain bersama skuad kebangsaan, '' katanya.
Brendan yang beraksi di posisi
tengah dilahirkan di Australia namun ayahnya berasal dari Negeri Sembilan dan
kini sedang beraksi bersama Sydney United dalam Liga Australia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5d46MfK7D
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan