ARKIB : 24/11/2010
KUALA LUMPUR - Indra Putra
Mahayuddin, Razman Roslan dan A. Thamil Arasu dicalonkan jurulatih K. Rajagobal
sebagai pengganti tonggak skuad bola sepak negara yang tercedera dalam senarai
awal 30 pemain ke Piala Suzuki AFF yang bermula bulan depan.
Nama pemain Kelantan, Selangor
dan Harimau Muda B itu dikemukakan dalam rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) minggu ini kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan keputusan sama
ada mereka boleh diterima atau tidak, bakal diketahui esok.
Khidmat mereka amat diperlukan
ekoran kecederaan serius yang menimpa Nasriq Baharom, Ahmad Fakri Saarani dan
Norhafiz Zamani Misbah sebelum dan ketika Sukan Asia XVI Guangzhou, baru-baru
ini.
"Kami masih cuba
menyenaraikan tiga pemain baru ini walaupun tarikh penyerahan senarai 30 pemain
itu sudah tutup dan kita tengoklah kalau rayuan FAM itu dapat diterima
penganjur," katanya dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Sebelum ke Guangzhou, skuad
negara turut kehilangan ramai tonggak seperti Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha
Radzak, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal
Marlias dan Azmi Muslim.
Anak buah Rajagobal bakal beraksi
dalam Kumpulan A Piala Suzuki AFF dengan menentang Indonesia (1 Disember) dan
Thailand (4 Disember) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan Laos di Stadium
Jalak Harupat, Bandung (7 Disember).
Piala Suzuki AFF atau dulunya
Piala Tiger atau Kejohanan AFF pernah menyaksikan Malaysia bergelar naib juara
1996 di Singapura tetapi kita terkandas di peringkat kumpulan di Phuket, dua
tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5d3gVgPie
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan