INDRA PUTRA MAHYUDDIN meraikan
jaringannya dalam aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Felda United di
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
30 April 2019 10:50 PM
KUALA LUMPUR 30 April - Kuala
Lumpur perlu bekerja keras dalam aksi kedua selepas terikat 3-3 dengan Felda
United dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad
City Boys perlu menang dalam aksi suku akhir kedua bagi memastikan mereka layak
ke saingan separuh akhir selepas Felda United berjaya meraih bekalan selesa
dengan tiga gol di tempat lawan.
Dalam aksi di Stadium Kuala Lumpur,
Cheras itu, The Fighters terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan
Azim Rahim pada minit ke-23 namun Indra Putra Mahyuddin berjaya menyamakan
kedudukan lima minit sebelum masuk waktu rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan
Indra Putra meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-53
sebelum Azim menjaringkan gol peribadi kedua dalam perlawanan itu pada minit
ke-60.
Pada minit ke-75, pemain tengah
dari Brazil, Jocinei Schad meledak jaringan ketiga buat Felda United tetapi City
Boys bangkit dengan jaringan ketiga mereka menerusi Paulo Josue.
Sementara itu, aksi suku akhir
pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung menyaksikan Perak terikat tanpa
jaringan dengan PKNP.
Pertembungan pasukan ‘abang’ dan
‘adik’ menyaksikan pasukan Perak lebih banyak melakukan asakan ke pintu gol
PKNP pada babak awal permainan.
Antaranya, rembatan Gilmar Jose
Da Silva Filho dari luar kotak penalti pada minit ke-19 namun bola terkena
palang sebelum dikeluarkan pemain PKNP.
Pasukan pelawat hampir meraih gol
menerusi sepakan Brendan Gan pada minit ke-30 namun berjaya ditepis penjaga gol
PKNP, Ahmad Asyraaf Omar.
Palang gol sekali lagi menafikan
peluang Perak untuk mendapatkan jaringan melalui percubaan pemain penyerang,
Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-36.
Perlawanan babak kedua agak
perlahan apabila kedua-dua pasukan gagal melancarkan gerakan berbahaya malah
hanya beberapa percubaan lemah dilakukan dan tidak tepat ke sasaran.
Perak akan melayan kunjungan PKNP
dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh pada 11 Mei ini.-UTUSAN
ONLINE 30 April 2019 10:50 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan