Selasa, 7 Mei 2019

Lupakan ceria awasi Thailand

ARKIB : 20/12/2002

INDRA Putra Mahyuddin diberi ucapan tahniah selepas menjaringkan gol pada pertemuan Malaysia-Singapura di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. Malaysia menang 4-0. - Gambar Aby Baizura HARUN.

SESUDAH menumbangkan musuh tradisi, Singapura dengan kemenangan bergaya 4-0 pada perlawanan pertama Piala Tiger kelmarin, semangat skuad bola sepak negara tentunya tambah berkobar-kobar untuk terus mencipta kemenangan.

Petang ini, barisan muda negara turun untuk perlawanan kedua dalam Kumpulan B dengan matlamat mahu mengulangi kecemerlangan itu, cuba pula mengejutkan pasukan pilihan yang lebih berpengalaman, Thailand.

Kemenangan ke atas Singapura di Stadium Nasional itu harus tercatat dalam kamus sejarah skuad negara sebagai kemenangan terbesar ke atas pasukan republik itu sejak 25 tahun.

Kali terakhir Malaysia menang besar ke atas Singapura ialah pada 1978 dengan keputusan 6-0.

``Mereka meraikan kemenangan ini seperti sudah menang Piala Dunia. Tetapi saya faham perasaan semua pemain.

``Saya faham mengenai pertemuan antara dua seteru ini. Perlawanan Malaysia - Singapura serupa dengan pertemuan England-Scotland,'' kata jurulatih kebangsaan, Allan Harris.

Jurulatih dari England itu mengakui dia terkejut dengan kemenangan besar pasukan muda bimbingannya ke atas Singapura kerana sebelum ini, beliau meramalkan perlawanan sengit dan salah satu pasukan akan menang hanya dengan satu gol atau pun seri.

``Lupakan dulu kemenangan itu. Kita masih belum selamat (untuk ke separuh akhir). Masih ada dua halangan yang perlu dilalui (bertemu Thailand dan Laos),'' katanya.

Kemenangan besar ke atas Singapura itu pasti menerbitkan rasa gelisah kepada barisan kesebelasan Thailand yang turut dibimbing jurulatih dari England, Peter Withe.

Biarpun turut menang besar 5-1 ke atas Laos dalam perlawanan pertamanya, Thailand mungkin menghadapi nasib serupa Singapura jika tidak berhati-hati.

``Kita memiliki rekod yang baik dengan Malaysia. Kami memiliki banyak kelebihan berbanding mereka dan akan menang perlawanan ini,'' kata Withe melahirkan keyakinannya.

Dalam kempen Piala Tiger sejak 1996, pertemuan Malaysia-Thailand sentiasa memihak kepada skuad negara Gajah Putih itu.

Dalam edisi sulung 1996, pasukan negara yang dikemudi Zainal Abidin Hassan berjaya ke perlawanan akhir tetapi tewas 1-0 kepada Thailand.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan