Ahad, 18 Mac 2018

Kelantan 1 Selangor 1


ARKIB : 12/04/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kiri) diasak oleh lawan dari Selangor, Mohd. Razman Roslan dalam saingan Liga Super di Stadium
Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Mingguan/HAFIZH KHOSMAT

KUALA LUMPUR - Rancak di padang, penonton tenang. Itulah situasi perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan menentang Selangor di Stadium Bukit Jalil yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan tanpa mengundang sebarang insiden tidak diingini, semalam.

Seramai 300 anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal ketat setiap sudut stadium, begitu juga 100 pegawai dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang mahu memastikan peristiwa hitam di Stadium Muhammed IV tidak berulang.

Kelantan yang turun sebagai tuan rumah membuka jaringan menerusi aksi cantik pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin pada masa kecederaan separuh masa pertama, sebelum Mohd. Safee Sali menyamakan kedudukan Selangor pada minit ke-79.

Kehadiran seimbang, 10,000 penyokong tuan rumah dan Selangor menyaksikan tiada insiden balingan objek ke dalam padang seperti yang berlaku pada perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Februari lalu.

Penyokong kedua-dua pasukan kelihatan lebih bersopan menyaksikan perlawanan pantas dan saling menyerang, biarpun pengadil Subkhidin Salleh melayangkan dua kad kuning kepada pemain Kelantan, Indra dan Mohd. Zamri Ramli.

Gol pembukaan Kelantan hadir pada masa kecederaan babak pertama hasil hantaran lambung Mohd. Norfarhan Mohamed yang disambut Indra dalam kotak penalti sebelum dia melakukan aksi akrobatik untuk menewaskan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Ketinggalan 0-1 bagaimanapun tidak mematahkan semangat Selangor untuk bangkit menyamakan kedudukan, 11 minit sebelum tamat permainan selepas Mohd. Safee Sali merembat bola tandukan Rudie Ramli.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A9b9pbaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan